Hari Thaipusam yang di sambut di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam.
Kebanyakan penganut Hindu membawa ‘Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan mereka.
Di Malaysia, Thaipusam bukan saja dianggap sekadar upacara keagamaan tetapi menjadi platform tarikan negara ini yang tercatat dalam kalendar pelancongan.
Pengunjung berbilang bangsa tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan wabak C0vid-19.
Apa yang menarik mengenai sambutan hari Thaipusam?
5 fakta hari Thaipusam:
1. Kemuncak bulan kesepuluh kalendar Tamil
Thaipusam diraikan pada kemuncak bulan kesepuluh kalendar Tamil iaitu bulan Thai, yang jatuhnya pada sekitar Januari dan Februari.
Pada hari tersebut, bulan penuh Thai berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama Pusam, maka dari situ asal namanya.
2. Memperingati hari lahir dan menerima lembing
Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak lelaki bongsu Dewa Shiva dan Dewi Parvati.
Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.
3. Berpuasa 48 hari dan kavadi
Penganut Hindu akan membayar nazar mereka yang tertunai dan menyucikan diri daripada dosa dengan pelbagai cara, bermula dengan berpuasa selama 48 hari.
Setelah itu, ada yang membawa susu dan mencukur rambut.
Menjadi identiti terbesar perayaan adalah individu membawa kavadi dengan mencucuk anggota badan dengan besi dan cangkuk berbeban.
4. Pertembungan antara Asura dan dewa
Menurut satu tradisi, perayaan ini dikatakan tercipta apabila berlaku satu pertembungan antara satu Asura (makhluk jahat) bernama Surapadma dengan dewa.
Dewa tidak dapat mengekang kebuasan Surapadma, lantas merayu kepada Dewa Shiva untuk mengurniakan mereka pemimpin yang dapat mengalahkan Surapadma.
Maka dengan kuasa Achintya Shakti dimilikinya, diciptakan satu pahlawan unggul sebagai Dewa Peperangan bernama Murugan, yang turut dikenali dengan nama Subramaniam, Skanda, Kumara dan Kartikeya.
Kemudian isteri Shiva, Parvati mengurniakan kepada anaknya Murugan senjata suci berupa lembing dipanggil ‘Vel’ yang akhirnya berjaya menyatukan kuasa alam semesta dan mengalahkan Surapadma serta konco-konconya.
5. Laungan ‘Vel! Vel!’
Maka setiap kali sambutan hari Thaipusam, ‘Vel! Vel!’ dilaungkan mengikut rentak paluan genderang yang begitu mengasyikkan, sempena memperingati kejayaan menghapuskan ‘kegelapan’ menggunakan senjata sakti itu (lembing Vel).
Juga diucapkan ‘Verti Vel!’ yang membawa maksud ‘lembing kemenangan!’.
Perayaan tradisi tahunan itu bukan saja dizahirkan sebagai sebahagian keunikan budaya di Malaysia, lebih manis lagi ia bukti melambangkan sikap keterbukaan rakyat negara ini dalam menerima kepelbagaian budaya dan adat resam.