Cukai – Panduan Dan Pengertian Menyeluruh Tentang Cukai

richworks cukai

Sebut tentang cukai pasti ramai yang merasakan ianya satu tanggungan yang perlu dilangsaikan pada tempoh tertentu. Mungkin kerana ramai yang masih kabur tentang pengertiannya lalu merasakan cukai adalah satu beban yang dikenakan oleh sesuatu organisasi atau pihak berkuasa.

Sebenarnya tanggapan ini adalah salah. Fahami apa itu cukai dan pengurusannya agar ia tidak menjadi beban pada anda.

Cukai sebenarnya satu biaya yang wajib dibayar oleh syarikat atau individu kepada badan pemerintah sesebuah negara seperti mana yang telah termaktub dalam undang-undang. Hasilnya, kutipan cukai ini mampu menjadi pendapatan untuk menanggung kembali keperluan yang dikhususkan untuk rakyat.

Bagaimanapun, cara pengumpulan cukai, jumlah dan di mana perbelanjaan disalurkan adalah berbeza mengikut negara dan undang-undang yang mereka tubuhkan.

Kandungan Artikel

1. Kepentingan Cukai

Seperti yang anda ketahui, cukai adalah satu tanggungjawab wajib bagi kita. Ianya juga adalah satu sumber pendapatan negara untuk memenuhi keperluan rakyat. Ia sekaligus menggambarkan bahawa cukai adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentadbiran Negara dan ekonomi. Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat manfaat daripada cukai yang dikenakan adalah diri kita sendiri. Jadi, sebelum kita menerima cukai dengan hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham bagaimana cukai dimanfaatkan oleh sesebuah negara, peniaga dan individu itu sendiri.

1. Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Untuk Rakyat
Hasil dari kutipan cukai diguna pakai kembali oleh pemerintah untuk memberi pelbagai kemudahan dan infrastruktur pada rakyat. Antara manfaat besar yang diperolehi oleh rakyat ialah pembangunan pusat pendidikan, kemahiran dan sekolah.

Bayangkan apa terjadi jika kemudahan pendidikan ini tidak mampu kita dan anak-anak kita kecapi? Begitu juga dengan pembinaan jalan raya yang menghubungkan kampung dan pendalaman. Tanpa kemudahan ini pasti peniaga hanya terhad melakukan pemasaran hanya di kawasan liputan dan bandar semata-mata. Pemerintah juga mampu membina dewan atau pasar-pasar untuk kemudahan peniaga sekaligus mengembangkan tahap ekonomi setempat.

Di bandar-bandar pula, banyak kemudahan dibina untuk pembangunan dan perhubungan seperti lapangan terbang, pusat rekreasi, wisma, pusat pentadbiran, pasar dan pendidikan yang mampu memberi kesejahteraan pada masyarakat.

2. Sokongan Pada Peniaga Tempatan
Pada dasarnya, memang ada peniaga merasakan cukai adalah satu bentuk tekanan namun jika mereka melihat pada konteks yang lebih besar, mereka akan menyedari banyak manfaat diperolehi dari pihak peniaga itu sendiri.

Bukan saja dari cukai, terbinanya pasar dan infrastruktur perhubungan untuk pemasaran, peniaga juga mendapat manfaat besar yang tersembunyi. Contohnya, cukai import yang dikenakan sebenarnya untuk melindungi peniaga tempatan.

Kenaikan harga barang import kerana cukai tersebut membuatkan pembeli beralih dan memberi sokongan pada pengeluar anak tempatan. Ia sekaligus menyokong industri dalam negara dan melindungi kuasa pasaran peniaga itu sendiri. Jadi, siapa kata cukai ini untuk menekankan peniaga?

3. Memberi Jaminan Keselamatan Dan Kesihatan Pada Rakyat
Impak cukai ini kedengaran sangat luar biasa tapi sebenarnya inilah hakikat yang ramai terlepas pandang. Sebenarnya kerajaan mengenakan cukai yang tinggi pada barang atau produk yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Contohnya alkohol dan rokok. Beban cukai dikenakan ke atas barangan ini bagi mengelakkan aktiviti tidak sihat berleluasa seperti merokok, berjudi dan ketagih minuman keras.

Atas sebab yang sama juga, pemerintah telah memberi pelepasan cukai pada sesuatu yang menyumbang pada kebaikan contohnya buku. Buku-buku diberi pelepasan untuk menggalakkan aktiviti membaca sekaligus meningkatkan tahap ilmiah rakyat itu sendiri.

Bukan itu sahaja, demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat, pusat perubatan dan hospital dibangunkan untuk melindungi dan memberi rawatan terbaik. Malah di Malaysia, kita dikenali sebagai negara yang memberi subsidi tinggi sekaligus membuatkan rakyat mendapat antara rawatan paling murah di dunia iaitu dari serendah RM3 bagi kemasukan wad dan RM 1 bagi rawatan pesakit luar.

Dari segi keselamatan, pemerintah membiayai latihan, teknologi peralatan, kenderaan, infrastruktur dan sara diri badan keselamatan seperti polis, tentera dan bomba. Semuanya untuk kesejahteraan rakyat itu sendiri.

Dengan kepentingan ini, anda pasti menyedari bahawa segala cukai yang dikenakan sebenarnya adalah untuk dibelanjakan ke atas diri kita kembali. Tanpa kita sedar, kita memerlukan semua kemudahan ini dan ianya adalah menjadi hak dan tanggungjawab untuk kita melunaskannya.

2. Jenis-jenis Cukai

Di Malaysia terdapat tiga jenis cukai yang dikenakan dan di dalam kategori ini, ada cukai lain untuk mengasingkan pecahannya. Berikut adalah senarai cukai untuk rujukan anda.

1/ CUKAI SECARA LANGSUNG
Contoh: Cukai Kekayaan, Cukai Pendapatan, Cukai Harta, Cukai Korporat, Tugas Import dan Eksport

Cukai langsung dirujuk sebagai cukai, yang dikenakan ke atas pendapatan dan harta kekayaan seseorang dan dibayar langsung kepada pemerintah. Salah satu cukai yang tersenarai ialah cukai pendapatan di mana semakin tinggi pendapatan kita, lebih banyak cukai pendapatan yang kita perlu bayar. Satu lagi jenis cukai langsung adalah Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau dikenali dengan nama RPGT. Ia adalah cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain). Memandangkan ianya bersasar pada mereka yang berkemampuan, ianya kelebihan pada mereka yang kurang pendapatan di mana ianya mempunyai perlepasan tertentu bergantung pada status dan situasi.

2/ CUKAI SECARA TIDAK LANGSUNG
Contoh: Cukai Jualan Pusat, VAT (Cukai Nilai Ditambah), Cukai Perkhidmatan, STT (Cukai Transaksi Keselamatan), Duti Eksais, Duti Kastam

Cukai tidak langsung dirujuk sebagai cukai yang dikenakan ke atas seseorang yang menggunakan barangan dan perkhidmatan dan dibayar secara tidak langsung kepada kerajaan. Pelepasan cukai pada individu itu adalah sukar dilakukan kerana ianya melibatkan barang dan perkhidmatan. Ia dikenakan pada setiap orang sama ada kaya atau miskin selagi barang dan perkhidmatan itu diperlukan. Contohnya apabila kita menginap di sebuah hotel atau makan di kedai-kedai tertentu, kita akan membuat pembayaran yang disertakan sekali dengan cukai perkhidmatan. Itulah jumlah cukai yang kita bayar kepada pihak hotel, dan seterusnya hotel akan membayar cukai tersebut kepada kerajaan.

3/ CUKAI JUALAN
Cukai jualan adalah cukai yang dikenakan ke atas pengeluar yang mengeluarkan barangan dan juga kepada pengimport yang mengimport barang. Kebanyakan item yang tertakluk kepada cukai jualan ialah 10%.

Contoh barang yang tertakluk kepada cukai jualan ialah perabot, peti sejuk, televisyen, pakaian, kasut, beg tangan dan banyak lagi barangan. Sebagai pengguna sememangnya kita tidak didedahkan bahawa produk ini tertakluk kepada cukai jualan. Namun elemen cukai jualan telah diambil kira sebagai kos dan peniaga telah memasukkan ke dalam harga jualan produk tersebut.

4/ CUKAI JUALAN DAN PERKHIDMATAN (SST)
SST diperkenalkan menerusi Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Yang mana setiap pembelian yang melibatkan penjualan dan servis akan dikenakan sebanyak 6% bagi setiap transaksi. Untuk memahami maksud SST, ia dikenakan ke atas pengilang sahaja di peringkat output dan tidak boleh dituntut. Ia juga lebih mudah dianggap sebagai kos kepada perniagaan. Di Malaysia, ada beberapa senarai barangan dan perkhidmatan dikecualikan dari SST seperti ayam, ikan segar, bihun dan mee kuning, rempah ratus, telur ayam dan itik, bijirin, sardin, vitamin, insuran kesihatan individu dan susu formula bayi.

3. Pengurusan Cukai Individu Dan Perniagaan

  1. Secara amnya, cukai-cukai yang disenaraikan di atas memerlukan pengurusan berbeza. Namun dalam konteks kali ini, ianya lebih mudah diterangkan pengurusan cukai yang lazim dikenakan iaitu cukai pendapatan individu dan perniagaan.

Seperti yang anda sedia maklum, cukai pendapatan merujuk kepada cukai yang dikenakan ke atas pendapatan daripada penggajian, ‘overtime’, komisen, elaun, yuran, dividen, sewa, royalty, pendapatan perniagaan yang diterima individu, syarikat, koperasi dan persatuan saban tahun. Kutipan cukai dikuatkuasakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pihak yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan akta tersebut dan melakukan kutipan cukai bagi pihak kerajaan adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Setiap individu dan perniagaan yang memenuhi syarat bayar cukai perlu menyerahkan borang taksiran secara online melalui sistem e-filing kepada LHDN.

Di dalam borang taksiran, anda perlu mengisytiharkan beberapa perkara seperti pendapatan bercukai, pelepasan dan pemotongan cukai serta rebat cukai yang pernah diperolehi. Pengiraan cukai tak perlu dilakukan secara manual, sebaliknya sistem e-filing akan membuat pengiraan secara automatik.

Bagi anda yang mungkin pertama kali hendak melakukan potongan cukai, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah membuka fail dengan LHDN dan mendaftar di e-daftar. Sistem e-filing boleh digunakan untuk urusan selanjutnya selepas anda berjaya mendapatkan nombor pin.

Cukai Pendapatan Individu
Individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan. Permohonan pendaftaran nombor rujukan cukai pendapatan boleh dilakukan di cawangan yang berhampiran.

Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran :

  1. Satu salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini / Slip Gaji terkini ;
  2. Satu salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa ;
  3. Satu salinan sijil perkahwinan (jika ada).

Anda juga boleh membuat pendaftaran nombor rujukan cukai melalui e-Daftar.

Cukai Pendapatan Perniagaan
Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesional adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai.

Perniagaan terdiri daripada:

  1. Milikan Tunggal /Bekerja Sendiri
    Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan
  2. Perkongsian
    Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan. Perkongsian mungkin wujud di antara lebih dari satu individu, dua syarikat, Individu dan syarikat atau individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian

Contoh Perniagaan :

  • Perniagaan runcit
  • Perniagaan jualan langsung
  • Pertanian dan penternakan
  • Perniagaan gerai
  • Klinik, firma guaman atau lain-lain pengamal professional
  • Bidang penulisan dan lakonan
  • Broker Saham

Untuk anda yang ingin mengisytiharkan cukai pendapatan perniagaan, anda perlu rujuk akauntan terlebih dahulu untuk menyediakan penyata akaun untung rugi dan kunci kira-kira sebelum mengisi e-filing di LHDN. Ini kerana, terdapat ruangan di borang yang pautkan yang mana anda perlu mengisi butiran maklumat dari akaun untung rugi serta kunci kira-kira tersebut.

Hal ini kerana, ramai peniaga yang isytihar cukai sendiri tetapi terdapat banyak kesalahan dalam pengisian borang e-B tersebut dan mengakibatkan peniaga dikenakan penalty apabila audit siasatan dijalankan.

4. Kebaikan Pengurusan Cukai Pada Peniaga

Memang benar cukai adalah satu tanggungjawab penting pada peniaga tetapi ramai yang menguruskan cukai secara tidak terurus dan tidak sistematik. Malah ramai yang merasakan pengurusan cukai adalah perkara remeh. Sebenarnya, peniaga perlu memberi tumpuan penuh pada pengurusan cukai kerana ianya melibatkan banyak perkara terutama soal masa depan perniagaan itu sendiri. Jadi, apakah manfaat yang peniaga dapat hasil dari pengurusan cukai yang betul? Berikut adalah senarai untuk anda rujuk:

1. Sebagai blue print untuk peniaga sendiri
Sebenarnya, dalam menguruskan cukai yang betul, peniaga perlu menyimpan rekod jualan dan pembelian untuk rujukan pemotongan cukai. Ianya sudah tentu melibatkan pengurusan kewangan dan akaun yang betul supaya tidak ada kesilapan kira-kira dan mengelakkan pemotongan cukai yang salah. Sebenarnya, dengan rekod yang ada ini, ianya boleh menjadi blueprint pada peniaga dan syarikat itu sendiri untuk mencapai visi dan misi akan datang. Kira-kira tanggungan cukai yang betul akan memastikan anda tahu bajet untuk syarikat anda terus berkembang.

2. Mengelakkan pembaziran
Kedengaran seperti sukar untuk dipercayai tetapi inilah yang peniaga harus terima. Sebenarnya, dengan perancangan dan pengurusan cukai yang betul, ianya bukan sahaja mengelakkan anda didenda tetapi ia mengelakkan wujudnya pembaziran. Pemilik syarikat boleh merancang perbelanjaan hasil dari kira-kira untuk pemotongan cukai yang betul. Dalam sesetengah situasi, peniaga telah terlebih belanja sehingga ketika melakukan kira-kira untuk cukai, baru mereka sedari syarikat telah kekurangan dana. Jadi lakukan pengurusan cukai dari awal syarikat anda ditubuhkan untuk memastikan anda tidak tersilap kira di saat cukai dituntut.

3. Rujukan pelabur akan datang
Di mata pelabur, syarikat yang mempunyai rekod cukai yang kemas dan tersusun adalah syarikat yang kukuh. Ini adalah pendapat yang tidak boleh dinafikan. Memang benar selagi ada keuntungan, selagi itu peniaga membayar cukai tersebut. Pelabur akan menggunakan rekod pembayaran cukai anda sebagai rujukan mereka bagi memastikan anda bukanlah peniaga yang sentiasa mengalami kerugian. Jika sentiasa ada tunggakan, bagaimana mereka akan yakin dengan anda? Ini juga adalah sebab lain anda perlu mulakan tabiat menguruskan cukai dengan betul dari mula anda berniaga. Mana tahu, mungkin suatu hari nanti anda ingin mengembangkan lagi syarikat dan anda ingin meyakinkan pelabur luar?

5. Kenali Organisasi Dan Badan Pencukaian

Kenali badan dan organisasi pencukaian yang ada di Malaysia untuk memudahkan urusan anda akan datang.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
LHDN adalah salah satu agensi utama di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara. LHDNM ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 untuk memperolehi lebih kuasa terutamanya dalam bidang kewangan dan pengurusan kakitangan bagi meningkatkan kualiti pentadbiran percukaian.

Agensi ini bertanggungjawab bagi keseluruhan pentadbiran cukai langsung di bawah akta berikut :

  • Akta Cukai Pendapatan 1967
  • Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967
  • Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976
  • Akta Penggalakan Pelaburan 1986
  • Akta Setem 1949
  • Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990

Fungsi Lembaga Hasil Dalam Negeri Adalah:

  • Untuk bertindak sebagai ejen Kerajaan dan memberi perkhidmatan dalam pentadbiran, penaksiran, pemungutan dan penguatkuasaan pembayaran cukai pendapatan, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti harta pusaka, duti setem dan apa-apa cukai lain sebagaimana yang dipersetujui antara Kerajaan dengan Lembaga
  • Untuk menasihati Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan percukaian dan menghubungi Kementerian dan badan berkanun yang sewajarnya mengenai perkara-perkara tersebut
  • Untuk turut serta di dalam atau di luar Malaysia berkenaan dengan perkara-perkara yang berhubungan dengan percukaian,
  • Untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberi kepada Lembaga oleh mana-mana undang-undang bertulis.
  • Bertindak sebagai ejen pemungutan untuk dan bagi pihak mana-mana badan untuk mendapatkan pinjaman yang kena dibayar balik kepada badan itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia
Jabatan Kastam Diraja Malaysia ditubuhkan dengan misi memungut hasil negara, memberi fasiliti perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang bagi kemakmuran. Ianya adalah badan yang berkhidmat untuk pemerintah sekaligus memastikan kelancaran kutipan hasil dan cukai tidak langsung yang dikenakan. Contoh cukai yang berada di bawah kastam: Cukai Jualan Pusat, VAT (Cukai Nilai Ditambah), Cukai Perkhidmatan, STT (Cukai Transaksi Keselamatan), Duti Eksais, Duti Kastam.

Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP)
Penubuhan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) ini adalah sebagai tribunal rayuan yang berwibawa dan dihormati bagi membicarakan dan memutuskan rayuan pembayar cukai pendapatan menurut peruntukkan Akta Cukai Pendapatan 1967. Pesuruhjaya ini akan menjalankan tugas membicarakan dan memutuskan rayuan-rayuan mengikut Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang. Mereka juga akan membicara dan memutuskan persoalan fakta dan undang-undang berhubung rayuan ke atas cukai pendapatan oleh pembayar cukai mengikut keadilan undang-undang di bawah:

  • Akta Cukai Pendapatan 1967
  • Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976
  • Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967
  • Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990

Secara keseluruhan, badan ini berfungsi dalam membicara dan memutuskan kes-kes rayuan cukai pendapatan yang difailkan oleh pembayar cukai terhadap taksiran Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri menurut peruntukan undang-undang dengan adil dan saksama.

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Cukai – Panduan Dan Pengertian Menyeluruh Tentang Cukai” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️

Leave a Reply

Artikel Berkaitan Cukai

Leave a Reply