Checklist Urus Kewangan Perniagaan Dengan Baik

Checklist Urus Kewangan Perniagaan Dengan Baik

Orang berniaga, kau pun nak berniaga. Orang buat duit, kau buat hutang!

Ini masalahnya! Ramai peniaga di luar sana yang tahu buat duit, tapi tak tahu urus kewangan perniagaan. Akibatnya, tak tahu berapa hasil jualan, silap-silap terpaksa pula berhutang. Bukan setakat peniaga baru, peniaga lama pun ada yang tak tahu cara urus kewangan perniagaan.

Ramai peniaga yang tahu buat jualan tapi tak nampak untung perniagaannya. Lagi sedih, kalau buat jualan sikit, dan tak tahu perniagaannya untung atau tidak. Mulalah rasa kecewa dan tertekan, kerana impian nak bina bisnes rupanya tak ‘semenggah’ yang dibayangkan.

Kami tak nak anda buat perniagaan dan tak tahu ke mana perginya hasil jualan perniagaan. Berikut kami kongsikan anda dengan beberapa senarai perlu anda semak dalam menguruskan kewangan perniagaan.

7 checklist untuk anda urus kewangan perniagaan

  1. Asingkan Akaun Peribadi Dan Akaun Perniagaan.

Jangan rojakkan akaun anda. Duit perniagaan yang masuk, bukan untuk anda beli sayur, beli tudung, beli susu anak. Bukan! Ada caranya, tapi anda peniaga tak boleh main rembat sahaja.

Sediakan akaun yang khas untuk perniagaan anda. Jika anda berurus niaga menggunakan tunai, disiplinkan diri untuk masukkan duit ke dalam akaun perniagaan anda.

Tetapkan setiap hari, pukul berapa anda harus buat ‘closing’ perniagaan anda dan terus bank-in hasil jualan untuk hari itu. Macam yang Dr Azizan selalu cakap “bila tiada akaun syarikat, tu yang ramai jadi perompak bisnes sendiri.”

  1. Rekod Semua Perbelanjaan.

Simpan semua resit perbelanjaan yang anda buat setiap hari. Sediakan satu file, tampal resit anda di atas kertas A4 mengikut tarikh, dan buat photocopy kerana dakwat resit mudah luntur.

Kemudian filekannya. Anda juga perlu menyediakan ‘payment voucher’ jika anda menggunakan duit syarikat. “Payment voucher’ adalah sejenis dokumen yang penting dalam pengurusan kewangan kerana di atasnya tercatit tandatangan dan siapa yang meluluskan perbelanjaan.

Walaupun, anda berniaga seorang dan tanpa kakitangan, anda masih perlukan ‘payment voucher’ untuk rekodkan semua perbelanjaan.

  1. Rekod Semua Jualan.

Jangan lupa untuk rekodkan semua jualan anda setiap hari. Anda perlu mengeluarkan resit bagi setiap jualan. Jika anda menggunakan kad kredit atau mesin wang, jumlah bayaran yang diterima dan jumlah jualan akan direkodkan secara automatik di dalam mesin tersebut.

Semua resit yang anda keluarkan sepatutnya selari dengan jumlah wang yang masuk ke dalam akaun syarikat. StoreHub adalah aplikasi yang mampu bantu anda buat rekod atas setiap jualan.

Anda hanya memerlukan iPad dan juga boleh dapatkan mesin cetak resit, cash drawer dan berbagai alat lain juga Paling simple ialah untuk anda tulis semua jualan anda untuk hari itu di dalam sebuah buku log. Sementara jualan adalah beberapa ketul sehari, boleh lah tulis tangan kan….

  1. Bayar Gaji Kepada Diri Sendiri.

Peniaga boleh jadi perompak bila mereka tak ada duit. Mereka akan mula ambil sahaja duit hasil jualan yang masuk, ikut suka hati. Jadi, untuk elakkan mereka jadi perompak bisnes sendiri, lebih baik peniaga bayar gaji kepada diri mereka sendiri.

Gaji ini nanti perlu direkodkan sebagai perbelanjaan syarikat. Dari gaji inilah baru boleh digunakan untuk beli sayur, dan segalanya nanti. Barulah ada sistem namanya.

  1. Lantik Akauntan.

Jika rasa tiada masa sangat untuk anda urus kewangan perniagaan, uruskan akaun syarikat, atau memang tak pandai tentang debit kredit dan perakaunan, anda boleh sahaja lantik seorang yang tahu buat full set account untuk bantu anda.

Mereka tak semestinya mempunyai pengalaman yang bertahun-tahun, memadailah dengan pengalaman 1 tahun sebagai permulaan. Atau, anda boleh lantik akauntan dari luar untuk bantu anda.

Anda hanya perlu sediakan dokumen jual beli yang lengkap dan mereka akan bantu anda, dengan sedikit bayaran.

  1. Jangan Lari dari Cukai.

Ramai peniaga suka lari dari ‘Lembaga’. Jangan! Anda perlu ada ilmu untuk menguruskan cukai peribadi dan cukai perniagaan anda. Jangan lupa juga GST. Cari ilmu tentang pengurusan cukai-cukai ini.

Ramai orang lari kerana tak tahu nak buat macama mana atau sangat skeptikal dengan perkataan ‘cukai’. Ingat! lari dari cukai sebenarnya tak bagus untuk perniagaan.

  1. Berzakatlah.

Zakat perniagaan itu wajib. Keberkatan perniagaan kita juga bergantung kepada zakat yang kita keluarkan. Ramai orang fikir, bila dah bayar zakat anda tak perlu bayar cukai.

Ini fahaman songsang sebenarnya. Berzakat, juga perlukan dokumentasi yang lengkap jika ianya mahu digunakan untuk mengurangkan cukai.

Artikel terbaru

Leave a Reply