Rancangan Perniagaan – Panduan Lengkap Dalam Menyediakan Rancangan Perniagaan

richworks rancangan perniagaan

Jika seseorang individu sedang mencari pekerjaan, persediaan yang penting dan perlu ada ialah resume untuk rujukan tentang kebolehan diri anda pada pihak majikan. Begitu juga untuk sesebuah organisasi dan syarikat. Bagaikan resume pada sesebuah syarikat, peniaga memerlukan Rancangan Perniagaan untuk rujukan syarikat dan juga berkongsi keupayaan operasi bisnes anda pada pihak luar.

Rancangan Perniagaan adalah satu dokumen berupa maklumat lengkap sesebuah perniagaan / syarikat itu beroperasi. Selain dari untuk merekodkan informasi penting untuk rujukan pemilik sendiri, dokumen Rancangan Perniagaan juga adalah satu rujukan pemberi dana, pelabur atau organisasi perbankan untuk pinjaman. Rancangan Perniagaan yang lengkap mampu menarik rakan kongsi dan pelabur apabila mereka yakin dan nampak dengan jelas pulangan yang mereka akan dapat dari bisnes anda.

Jadi, apa perbezaan antara Rancangan Perniagaan, kertas kerja dan proposal syarikat?
Sebenarnya, ianya adalah dokumen yang sama. Apa yang penting adalah maklumat di dalamnya lengkap dan tersusun agar Rancangan Perniagaan anda mampu menarik dan meyakinkan pihak lain. Bukan itu saja, Rancangan Perniagaan yang tersusun dapat membantu anda merujuk sendiri operasi syarikat anda seterusnya membuat keputusan yang terbaik di masa akan datang.

Kandungan Artikel

1. Kepentingan Rancangan Perniagaan

Sudah tentu mempunyai profile dalam bentuk dokumen adalah penting untuk memperkenalkan perniagaan anda. Antara lain-lain kepentingan Rancangan Perniagaan adalah:

1. Menjadi blueprint / panduan sebelum mahupun selepas sesuatu projek atau operasi perniagaan yang dijalankan.
Segala informasi projek yang bakal diadakan atau selesai perlu dinyatakan dalam Rancangan Perniagaan ini. Sekaligus ianya menjadi seperti blue print untuk pihak anda. Dari situ, anda juga boleh merujuk pada kejayaan yang bakal atau telah syarikat anda lakukan.

2. Mampu menjadi kajian pasaran sama ada sesuatu perniagaan mampu berdaya saing atau sebaliknya.
Rancangan Perniagaan yang menarik mampu menggambarkan kekuatan pasaran atau persaingan yang ada. Dari situ, ianya mampu menjadi satu kajian pemasaran yang baik untuk mengukur tahap kemampuan syarikat bersaing.

3. Meyakinkan institusi kewangan dan pelabur yang mampu memberi pinjaman berdasarkan dokumentasi di dalam Rancangan Perniagaan yang lengkap.
Pemberi pinjaman atau mencari pelabur akan merujuk pada Rancangan Perniagaan syarikat yang memohon. Jika Rancangan Perniagaan anda meyakinkan dan tersusun, sudah pasti peluang anda akan lebih cerah.

4. Pemilik sendiri boleh membuat rujukan dan penilaian dari projek atau aktiviti perniagaan dari sudut teknikal dan kewangan.
Selalunya, Rancangan Perniagaan yang lengkap akan mempunyai rekod unjuran kewangan. Ianya bukan sahaja menjadi rujukan pelabur malah rujukan pihak peniaga itu sendiri dari segi pengurusan kewangan mereka.

2. Apa Yang Perlu Ada Dalam Rancangan Perniagaan

Bagi menyediakan Rancangan Perniagaan yang lengkap, ia mestilah mempunyai:

1)Jadual kandungan / muka surat
Seperti sebuah buku yang teratur, Rancangan Perniagaan perlu mempunyai jadual kandungan untuk rujukan muka surat yang memudahkan pembaca dan pemerhati sasaran melangkau dan mencari maklumat yang diperlukan

2)Ringkasan / Sinopsis
Menerangkan secara ringkas dan serba sedikit tentang perniagaan yang sedang atau bakal dijalankan dan juga tujuan sesebuah perniagaan.

3)Tujuan Penyediaan Rancangan Perniagaan
Perlu dinyatakan secara jelas apakah tujuan Rancangan Perniagaan ini samaada untuk mendapatkan pelaburan atau pinjaman. Mungkin juga ia bertujuan untuk mendapatkan projek baru bagi mengembangkan perniagaan atau sekadar dokumen rujukan mana-mana usahawan lain.

4)Latar Belakang Syarikat
Apakah nama perniagaan, alamat, nombor telefon dan apakah bentuk perniagaan tersebut. Bayangkan seperti resume, namun ianya menerangkan secara jelas sesebuah syarikat atau perniagaan ditubuhkan. Ini bermakna, ia perlu mempunyai tarikh penubuhan, nombor pendaftaran dan modal sebenar sewaktu ia bermula.

5)Latar Belakang Pemilik / Pemegang Saham
Butir-butir pemilik dan pemegang saham seperti nama, kelulusan akademik, nombor telefon perlu dinyatakan di sini. Rancangan Perniagaan yang menarik juga perlu menyenaraikan pengalaman mereka bagi meyakinkan pembaca dan mereka yang merujuknya.

6)Maklumat Pengurusan Dan Organisasi
Apa visi dan misi syarikat? Nyatakan dan tampilkan dengan menarik supaya matlamat syarikat anda jelas. Bagi organisasi, anda boleh meletakkan carta yang tersusun dan kemas supaya gambaran pengurusan syarikat kelihatan teratur. Nyatakan jawatan mereka dalam organisasi beserta tugas dan peranan.

7)Maklumat Operasi Mengikut Lokasi Dan Sektor
Bahagian ini sangat penting dalam Rancangan Perniagaan anda. Analisis harus dibuat dan disampaikan dengan jelas di sini. Rancangan Perniagaan yang memaparkan maklumat perniagaan yang baik akan menggambarkan masa depan produk atau projek yang dicadangkan atau sedang dibuat. Nyatakan bagaimana penyimpanan bahan mentah, teknologi, berapa ramai tenaga kerja terlibat, halangan, persaingan serta penyelesaian yang telah dilakukan.

8)Rancangan Kewangan
Ini adalah satu lagi topik penting yang perlu ada dalam Rancangan Kewangan anda. Ia mampu menggambarkan analisis berkaitan untung rugi secara realistik. Rancangan kewangan perlu mengandungi kos, modal, sumber pembiayaan, carta aliran tunai, penyata pendapatan dan analisis pulangan modal.

9) Outcome Dan Impak Kepada Penduduk Tempatan/Luar Bandar
Nyatakan impak projek/perniagaan sama ada kepada penduduk setempat serta kawasan luar bandar. Berikan contoh bagaimana perubahan yang syarikat anda lakukan kepada masyarakat setempat, pembangunan luar bandar, ekonomi atau industri negara.

3. Maklumat Operasi Dalam Rancangan Perniagaan Mengikut Sektor

Semua Rancangan Perniagaan perlu mempunyai maklumat operasi namun ianya berbeza mengikut sektor. Ianya boleh terdiri daripada empat (4) bidang utama seperti perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian atau kombinasi mana-mana sektor. Kenal pasti sektor anda agar Rancangan Perniagaan anda lebih informatif. Berikut adalah maklumat yang perlu ada mengikut sektor anda.

1. Rancangan Pemasaran
Penerangan ini adalah bagi produk/perkhidmatan yang ditawarkan dengan mengaitkannya dengan kehendak dan keperluan pengguna. Ianya perlu ada:

  • Profil pelanggan iaitu kumpulan sasaran pelanggan
  • Saiz pasaran dalam bentuk unit jualan atau Ringgit Malaysia atau kedua-duanya sekali
  • Pesaing-pesaing utama di kawasan pasaran. Senaraikan status kekuatan serta kelemahan mereka dan nyatakan bahagian syer pasaran yang dicadangkan dan pesaing-pesaing utama
  • Unjuran pendapatan dan perbelanjaan untuk tahun pertama perniagaan dan tahun ke 2 hingga ke 5. Nyatakan bentuk jualan samada secara tunai, kredit atau kedua-duanya sekali
  • Strategi pemasaran yang akan digunakan bagi mencapai jualan yang diramalkan
  • Contoh strategi barangan, strategi harga, strategi promosi dan strategi edaran
  • Butiran perbelanjaan untuk pemasaran.

2. Rancangan Pengeluaran/Operasi
Dalam melengkapkan maklumat pengeluaran dan operasi, perlulah ada:

  • Proses pengeluaran dalam bentuk carta aliran proses.
  • Huraian produk yang dihasilkan
  • Keperluan bahan mentah bulanan dalam satu jadual
  • Senarai jawatan dan jumlah tenaga pekerja operasi serta imbuhan mereka.
  • Nyatakan jika pengeluaran dapat mewujudkan/meningkatkan peluang pekerjaan.
  • Nama Pembekal
  • Pelan lokasi aktiviti pengeluaran atau operasi.
  • Overhead operasi yang merangkumi kemudahan bekalan air, elektrik, telefon dan lain-lain yang menjadi penggerak operasi
  • Butiran perbelanjaan operasi
  • Kelulusan pihak berkuasa di atas tempat operasi atau bangunan

3. Latar Belakang Projek
Latar belakang ini disediakan untuk menunjukkan fasa atau projek yang akan atau sedang berlaku melalui syarikat anda. Ianya merangkumi:

  • Progres daripada peringkat idea kepada pelaksanaan.
  • Jadual dengan menggunakan carta yang menunjukkan dengan jelas kesemua aktiviti-aktiviti yang akan dibuat pada tarikh atau waktu aktiviti itu akan dilakukan.
  • Kelulusan pihak berkuasa atas perlaksanaan projek atau bangunan operasi
  • Nyatakan juga objektif projek untuk jangka masa pendek dan panjang perniagaan anda secara terperinci.
  • Lakaran atau plan lokasi projek untuk rujukan.

4. Dokumen Sokongan Yang Perlu Ada Untuk Rancangan Perniagaan Yang Lengkap

Jadi, anda sudah mula memahami apa maklumat yang perlu ada dalam Rancangan Perniagaan anda. Namun sudah pasti tanpa dokumen sokongan, Rancangan Perniagaan anda kelihatan kurang meyakinkan. Jadi sediakan dokumen ini untuk melengkapkan lagi Rancangan Perniagaan anda:

  • Lesen perniagaan
  • Lesen tempat beroperasi
  • Lesen kewangan syarikat
  • Nombor akaun dan bank syarikat
  • Sijil-sijil produk atau perkhidmatan
  • Gambar produk atau projek
  • Sijil pengiktirafan pemaju, pembekal atau rakan kongsi
  • Sijil penghargaan jika ada
  • Surat sebut harga
  • Sijil kursus
  • Surat dapat tender
  • Lakaran lokasi projek atau tempat beroperasi

Bagaimanapun, semua sijil dan dokumen ini bergantung pada operasi dan jenis perniagaan anda. Jangan melampirkan dokumen atau gambar yang sama sekali tidak menyokong sektor perniagaan anda.

5. Kesilapan Peniaga Dalam Menyediakan Rancangan Perniagaan

Rancangan Perniagaan adalah satu rujukan penting yang menggambarkan bagaimana syarikat anda beroperasi dan berkembang. Kesilapan dalam penyediaan Rancangan Perniagaan ini akan membuatkan mereka kehilangan peluang pelaburan atau tersalah rancang untuk masa akan datang. Antara kesilapan yang sering peniaga lakukan ialah:

Tidak Berkongsi Manfaat Dari Operasi Perniagaan Anda
Ramai peniaga menyangka Rancangan Perniagaan yang lengkap adalah dengan menyenaraikan semua operasi,, lokasi dan kos semata-mata. Sebenarnya anda tidak memerlukan Rancangan Perniagaan yang panjang berjela untuk meyakinkan orang ramai tentang syarikat anda. Sebaliknya ia perlu ada kepentingan syarikat anda beroperasi. Walaupun dalam bentuk ringkas namun ianya mampu menarik perhatian pelabur. Contohnya, nyatakan dalam Rancangan Perniagaan jika syarikat anda memberi keutamaan terhadap penggunaan sumber/bahan mentah serta mesin/peralatan/mekanisasi tempatan. Begitu juga jika pembuatan produk anda adalah berasaskan aktiviti/sumber ekonomi setempat dan mesra alam. Dengan maklumat ini, ianya akan menunjukkan potensi dari segi daya maju, daya saing dan daya tahan syarikat anda pada pelabur.

Tidak Berpijak Dunia Nyata
Jangan kerana anda memerlukan dana, semua operasi yang sedang atau bakal dijalankan adalah maklumat palsu yang diadakan semata-mata untuk meyakinkan pelabur. Berlaku jujur dan yakinlah bahawa jika anda berniaga atas niat yang baik, pasti ianya akan dipermudahkan.

Tamak
Ada juga peniaga yang meletakkan kos tinggi untuk projek akan datang agar mereka memperolehi dana lebih besar. Sebenarnya tindakan ini akan merugikan anda di mana pelabur juga sangat teliti teliti tentang kos yang mereka akan laburkan. Bayangkan jika mereka bersetuju, anda pasti akan mempunyai masalah di kemudian hari di mana syarikat anda tidak mampu melaksanakan projek mengikut keupayaan syarikat anda sendiri.

Sambil Lewa
Jangan meletakkan maklumat sambil lewa terutama soal kewangan syarikat. Sediakanlah maklumat kewangan yang lengkap dan tepat untuk rujukan anda dan juga pihak luar. Kesilapan dalam menyediakan carta aliran tunai akan membawa masalah pada perancangan kewangan anda.

Dokumen Sokongan Tidak Lengkap
Tanpa dokumen sokongan, Rancangan Perniagaan anda akan kelihatan hanya sebagai rujukan kosong. Dokumen sokongan adalah bukti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Jadi, jangan sesekali tidak melampirkan dokumen atau gambar sokongan dalam Rancangan Perniagaan ini!

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Rancangan Perniagaan – Panduan Lengkap Dalam Menyediakan Rancangan Perniagaan” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️

Leave a Reply

Artikel Berkaitan Rancangan Perniagaan

Rancang Model Perniagaan

Jadi, anda memang sudah bertekad untuk menceburi bidang bisnes? Apa langkah pertama untuk memulakan perniagaan? Jangan terburu-buru. Rancanglah model perniagaan anda terlebih dahulu. Anda perlu

Baca Lebih lanjut »

Leave a Reply