Duit – Panduan Lengkap Cari Duit Dan Penjelasannya

duit

Duit bukan segala-galanya tetapi boleh dikatakan di zaman sekarang, segala-galanya memerlukan duit. Ciri-ciri penting sesuatu wang dan duit yang dicipta haruslah dari sesuatu yang sukar didapati. Contohnya pada zaman kuno dahulu, wang dan duit adalah daripada logam atau cengkerang siput. Hari ini, duit yang tercipta harus mempunyai ciri khas yang tak boleh ditiru, ada ciri keselamatan dan mempunyai nilai tersendiri.

Jika melihat konteks yang lebih luas, duit bukan saja menggambarkan tahap keselesaan hidup seseorang tetapi juga menggambarkan kestabilan sesebuah negara. Kerana itulah wujudnya nilai mata wang sesebuah negara dan ianya menggambarkan ekonomi mereka. Apabila sesuatu nilai mata wang itu jatuh, kita akan tahu bahawa mereka mempunyai konflik samada dari segi aliran tunai, pendapatan negara atau politik. Selalunya negara yang paling kukuh mata wang dianggap negara yang paling stabil untuk pelaburan.

Semua keperluan asas dalam dunia ini memerlukan duit sebagai bayaran. Begitu juga urusan jual beli. Segala-galanya melibatkan wang. Tetapi kenapa ada yang merasakan begitu sukar mencari duit? Di mana silapnya?

Memang benar kita menganggap rezeki adalah urusan Allah tetapi jangan lupakan bahawa kita juga diminta untuk berusaha mencari rezeki dan barulah berdoa dan bertawakal. Sebenarnya ada banyak strategi untuk menarik duit dalam kehidupan kita. Berdasarkan pada pemerhatian, kami gariskan apa yang perlu anda lakukan untuk memudahkan usaha anda mencari duit cara pantas atau dalam jangka masa panjang.

Kandungan Artikel

1. Fahami Kepentingan Duit

Sebelum anda berusaha mencari duit, anda perlu memahami dan menerima kepentingan memilikinya. Ini kerana tanpa mengakui semua ini, anda mudah tidak menghargai duit yang masuk atau mudah tidak berusaha untuk membaiki tahap kewangan anda. Jadi, memahami kepentingan adalah langkah pertama sebelum anda berusaha lebih jauh.

Mereka yang menafikan kepentingan duit akan culas untuk memperbaiki hidup dan cenderung untuk berada di tahap yang sama dalam tempoh yang lama. Pemikiran kita menguasai tindakan. Menganggap wang dan duit sebagai remeh maka hasilnya, usaha anda juga peringkat ‘remeh’. Dengan senarai penjelasan di bawah, semangat anda dapat dipupuk kembali dan anda pasti berusaha lebih gigih.

Duit penting untuk kesejahteraan diri sendiri
Walaupun ramai yang menafikan betapa pentingnya duit dan wang namun tiada sesiapa yang dapat menafikan duit mampu membeli apa saja untuk keselesaan dan kelangsungan hidup. Tanpa duit, bagaimana ingin mendapatkan ubat atau rawatan jika mempunyai penyakit? Tanpa duit juga, bagaimana ingin mendapatkan tempat tinggal dan makanan?

Duit penting untuk kesejahteraan keluarga
Memang benar duit tidak boleh membeli kebahagiaan sepenuhnya tetapi tahukah anda masalah kewangan adalah penyumbang utama perceraian di negara kita. Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah perceraian meningkat 3.2% daripada 49,965 kes pada 2016 kepada 51,642 kes pada 2017 dan individu yang berumur 30 hingga 34 tahun mencatatkan bilangan kes perceraian tertinggi dan bilangan ini semakin meningkat. Seperti dijangka, kes perceraian adalah berpunca dari kewangan. Walaupun kita dituntut untuk menerima kekurangan dan kelebihan pasangan atau keluarga kita namun dengan duit, banyak keperluan dan keselesaan keluarga dapat dipenuhi. Keluarga kita juga berhak untuk menikmatinya, bukan?

Duit penting untuk masyarakat
Apabila kita mempunyai duit yang banyak dan kewangan yang stabil, itu tidak bermakna kita perlu menayangkannya pada masyarakat. Tetapi sebenarnya, duit mampu membuatkan kita dapat membantu masyarakat. Dengan duit, kita boleh memberi bantuan pada yang memerlukan. Bukan itu sahaja, dengan duit kita boleh menyelamatkan nyawa. Pernahkah anda dengar sumbangan yang diperlukan untuk membiaya pembedahan yang melibatkan nyawa atau mereka yang susah untuk sara keluarga? Bayangkan jika anda mempunyai duit? Pasti anda mampu memberikan bantuan pada masyarakat yang memerlukan.

Duit penting untuk agama dan bangsa
Memang benar kita tidak boleh bertuhankan duit. Namun tidak salah kita mengakui keperluannya. Tanpa kewangan yang kukuh, kita tidak mampu membiayai perjuangan untuk agama kita. Untuk membina sesebuah masjid atau rumah ibadat pun memerlukan duit. Untuk membuat sebarang aktiviti agama secara kecil atau besar memerlukan duit agar peserta selesa. Dalam Islam, kita disarankan untuk membaiki ekonomi ummah. Kerana apa? Kerana banyak perjuangan agama dapat dinaik tarafkan melalui ekonomi yang mantap dari kedudukan kewangan yang kukuh.

2. Apa Yang Menghalang Duit Masuk

Apabila bercakap soal duit dalam konteks rezeki, pastinya ianya menjadi luas dan tidak terbatas. Apalagi jika rezeki semuanya di tangan tuhan dan atas izin-Nya. Namun ada banyak perkara yang menghalang rezeki yang sememangnya tuhan sudah beri untuk kita. Kita tidak diminta untuk berdoa semata-mata tanpa memperbaiki diri. Rujuk senarai di bawah untuk kita perbaiki diri sebelum berusaha lebih jauh.

Mindset
Iya, cara kita berfikir mempengaruhi duit yang masuk. Memiliki kuasa perbelanjaan dan kekayaan adalah satu kejayaan peribadi tetapi kejayaan ini tidak mungkin tercapai jika kita tidak percaya pada diri sendiri. Begitu juga jika anda tidak menanamkan pada diri bahawa duit penting untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama seperti telah kami terangkan tadi. Ubahlah mindset anda dengan berfikiran positif setiap hari terutama pada tuhan dan diri sendiri.

Kurang Bersyukur
Kita selalu mendengar dengan bersyukur, tuhan akan tambah nikmat yang diberikan. Begitu juga dengan nikmat kewangan dan duit. Tetapi macam mana nak bersyukur jika duit tak pernah masuk dan kewangan sempit? Jangan salah faham. Bersyukur ini adalah luas konsepnya. Tidak semestinya anda perlu bersyukur soal duit semata-mata tetapi bersyukurlah jika anda ada tenaga dan masih sihat mental dan fizikal. Mereka yang bersyukur atas tenaga dan kesihatan pasti akan menggunakan peluang ini dengan penuh semangat untuk mencari rezeki dan kewangan yang kukuh. Mereka yang bersyukur atas kewangan dan duit yang dikurniakan atas usahanya tidak akan membazir dan menghargai susah payah yang dilalui untuk berjaya. Yang lebih penting, mereka yang bersyukur akan banyak memberi dan membantu masyarakat dan agama sebagai tanda berterima kasih atas kurniaan rezeki.

Tiada ilmu
Manfaat ilmu begitu besar untuk agama, bangsa dan diri sendiri. Dengan ilmu, kita mampu menambah kemahiran yang membantu buat duit. Semestinya ilmu ini luas. Tidak terhad pada menimba ilmu di pusat pengajian tinggi semata-mata. Malah kita juga boleh mempelajari ilmu kehidupan dan rohani yang mampu digunakan sebagai benteng dari kita melakukan kesilapan terutama soal rezeki.

Tidak Mendapat Sokongan Yang Betul
Berkawan dan binalah hubungan dengan pihak(circle) yang memberi sokongan dunia dan akhirat pada anda. Sokongan dari pihak yang membina akan membantu mindset dan tindakan anda. Jika anda melibatkan diri dengan mereka yang hanya tahu mengecam dan menindas, hidup anda akan menjadi lebih mundur dan tindakan anda akan cenderung ke arah kesilapan terutama dalam hal kewangan. Jika anda berniaga, ada baiknya anda bina hubungan dengan mereka yang sudah berilmu dan berpengalaman niaga. Mereka mampu memberikan anda nasihat dari mereka yang hanya tahu mengeluh tanpa bertindak.

Tidak Ada Kecekapan Urus Duit
Adakalanya, bukan duit yang tidak masuk kepada anda tetapi mungkin anda yang tidak tahu menghargai duit. Jika tiada kecekapan mengurus, besar kemungkinan duit yang masuk tidak dapat dipertahankan malah anda cenderung melakukan kesilapan dan pembaziran.

3. Persepsi salah tentang duit

Ada beberapa persepsi salah tentang duit yang timbul dalam budaya dan masyarakat kita. Malah persepsi ini melemahkan semangat dan menimbulkan banyak salah faham terutama pada peniaga di luar sana. Padamkan persepsi ini dalam kamus hidup anda agar anda lebih bersikap positif sekaligus menarik duit ke dalam kuasa kewangan anda.

Ulat dalam batu pun boleh hidup.
Iya, persepsi ini digunakan secara meluas untuk mereka menyedapkan hati sendiri apabila tiada kewangan yang baik. Tidak mengapa untuk anda kecewa namun persepsi ini jika disematkan dalam fikiran anda akan menghalang anda bertindak. Memang ulat boleh hidup dalam batu tetapi jangan samakan dengan keperluan manusia terutama soal kasih sayang dan keinginan.

Kita tak boleh ubah takdir
Kami bersetuju bahawa takdir Allah memang tidak boleh ubah tetapi kita boleh mengubah nasib kita. Bukankah nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri yang merubahnya? Takdir dari segi ajal dan rezeki tidak boleh kita elakkan jika kita sudah berusaha sebaik mungkin. Jangan jadikan alasan takdir sebagai penyebab kita tidak mahu berusaha dan mencegah.

Keturunan menentukan kejayaan
Ada yang merasakan keturunan yang sememangnya susah akan melahirkan generasi yang terus susah. Terutama jika mempunyai keluarga yang tidak mampu menyara pendidikan apalagi membiaya untuk membuka perniagaan. Ini adalah persepsi salah sama sekali. Jika kita melihat tokoh atau cendekiawan dunia mahupun Malaysia sendiri, kita akan menyedari ramai yang bukannya lahir dari keluarga berada. Malah ada juga keluarga sedia berada melahirkan generasi bermasalah jika mereka tidak cukup ilmu didikan. Kejayaan ditentukan oleh diri sendiri. Hentikan menyalahkan keturunan.

Hanya orang berduit boleh berjaya
Sekali lagi inilah pendapat yang salah sama sekali. Jika anda berduit tidak bermakna anda tidak melakukan kesilapan. Ada yang sudah sedia berduit akhirnya muflis dan gagal dalam hidup. Malah ramai yang berjaya bermula dari tanpa wang yang kukuh dan mempunyai masalah duit.

Orang kaya pasti berduit
Ini adalah pendapat salah. Orang berduit pasti kaya tetapi yang kaya belum tentu berduit. Adakalanya yang kelihatan kaya adalah kerana hutangnya semata-mata. Di mana saja anda tinggal, apa saja kenderaan anda pakai, tidak ada gunanya jika semua itu adalah hutang jahat yang membuatkan anda kehilangan kuasa beli lain dan menambah lagi hutang. Adakalanya, mereka yang tidak kelihatan kaya lebih mampu membeli keperluan cuma mereka bijak berbelanja.

Orang berpendidikan tinggi pastinya mampu mencari duit
Pastinya bila berpendidikan tinggi mereka mampu membina kerjaya impian dengan gaji besar tetapi tidak semua yang berpendidikan tinggi mampu membina kerjaya pantas. Ada yang bermula dari bawah, ada yang mendapat kerjaya lain dari kos pembelajaran asas dan ada juga yang terpaksa menganggur. Namun mereka yang berpelajaran tinggi sememangnya boleh berjaya jika mereka tidak berhenti menguasai ilmu lain sebagai sokongan. Termasuk juga anda. Jika anda tidak berpendidikan tinggi, tidak bermakna peluang untuk mendapatkan ilmu mencari duit terhenti selama-lamanya. Anda juga boleh berjaya asalkan anda tidak putus asa.

4. Idea Mudah Cari Duit

Kesusahan dan kesempitan sepatutnya mengajar kita mencari jalan keluar. Sebenarnya ada banyak cara untuk mencari duit. Apa yang diperlukan adalah mindset yang betul dan bertindak sekarang. Jangan sesekali bertangguh.

Menjual produk orang lain tanpa modal
Sekarang ini terlalu ramai peniaga mengeluarkan produk sendiri. Dari itu tercipta satu sistem di mana anda tak perlu keluar modal untuk mendapatkan produk seterusnya menjual pada pembeli. Malah anda tidak perlu keluar rumah untuk penghantaran. Semuanya dilakukan oleh pembekal. Apa yang anda perlu buat adalah mendaftar sebagai ejen seterusnya mencari pembeli yang berminat. Kemudian dapatkan bayaran. Selepas itu semua urusan pembungkusan dan penghantaran dilakukan oleh pihak pembekal. Mudahkan? Hari ini juga anda boleh mula.

Bekerja part time
Bergantung pada keperluan sekarang, banyak organisasi memerlukan pekerja sambilan. Contohnya ketika kerajaan melancarkan program vaksinasi negara, mereka memerlukan sukarelawan untuk membantu pelancaran. Sukarelawan ini dibayar gaji yang agak lumayan dan ramai yang mendapat manfaatnya. Begitu juga pekerjaan sambilan yang lain seperti bidang penghantaran dan pembuatan. Jangan takut dan malu mencuba kerja sambilan kerana duit hasil berkerja itu adalah untuk anda nikmati bukan orang lain.

Gunakan sosial media
Hari ini ramai yang menggunakan sosial media untuk menjana pendapatan. Ada pelbagai platform yang boleh anda guna. Dengan hanya berkongsi resepi masakan, anda mampu menjana duit apabila video masakan anda dikongsi dan ditonton. Malah jika nama anda menjadi brand, anda boleh membuat review barangan peniaga lain sekaligus mendapat bayaran dari situ.

Gunakan bakat sedia ada
Melalui bakat, anda mampu memperolehi komisyen dan royalti. Jangan sembunyikan dan malu pada bakat yang dikurniakan. Jika anda pandai menyanyi, gunakan untuk mengumpul peminat anda. Begitu juga jika anda pandai melukis. Selalu menampilkan lukisan menarik akan menarik pembeli. Gunakan platform online dan digital untuk menarik perhatian mereka. Jika anda pandai menulis, anda boleh menjual artikel dan menghasilkan buku untuk mendapat komisen.

Asah minat agar menjadi duit
Iya, minat juga boleh menjadi duit. Tahukah anda jika anda suka bermain e-game sekalipun, ianya boleh menjana wang melalui pertandingan atau melalui peminat online? Begitu juga dengan sukan lain jika anda komited asah minat dan berlatih. Minat juga berkaitan dengan membina bakat. Jika anda minat melukis tetapi tiada bakat, tiada salahnya anda berlatih sehingga mahir. Seterusnya ianya menjadi sumber pendapatan anda.

5. Organisasi Yang Membantu Mendapatkan Duit

Tidak semua orang bernasib baik sepanjang masa. Cubaan pasti akan berlaku dalam hidup. Jika ini terjadi dan anda tidak mempunyai pilihan, jangan malu untuk meminta bantuan untuk meneruskan hidup.

Ada beberapa organisasi yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan duit. Namun mereka mempunyai syarat tertentu untuk mengelakkan disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab. Elakkan memohon jika anda sebenarnya mempunyai keupayaan fizikal dan masih ada peluang untuk perbaiki kewangan bagi memberi ruang pada mereka yang betul-betul memerlukan.

Mara
Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) selalunya mengutamakan pembangunan ekonomi bagi golongan bumiputera di kawasan luar bandar dan bumiputra. Secara general, banyak bantuan diberikan terutama untuk memperkasakan pendidikan mahupun perniagaan. Semuanya untuk memperbaiki taraf hidup. Malah mereka mempunyai bantuan Giat Mara untuk mereka yang tidak mampu membiaya kos menambah kemahiran secara percuma.

Antara skim yang ditawarkan oleh pihak MARA untuk peniaga pula adalah Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM) dan Mara Entrepreneur Guarantee Scheme (MEGS). Skim-skim tersebut bernilai lebih RM250,000 hingga RM2,000,000.

Pusat Pengutipan Zakat

Hanya jika mereka benar-benar memerlukan boleh memohon zakat. Mereka yang berada dalam golongan asnaf atau terbukti mempunyai tanggungan serta tidak mampu menjana pendapatan boleh memohon melalui organisasi zakat setempat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh memberi bantuan pada mereka yang terjejas pendapatan dan kehilangan upaya. Mereka akan menyalurkan bantuan bulanan yang sesuai mengikut kesukaran yang dialami pemohon. Malah terdapat banyak lagi bantuan yang disalurkan oleh mereka termasuk untuk mereka yang terkena musibah penyakit, bantuan anak-anak asnaf, warga emas dan sebagainya.

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Duit – Panduan Lengkap Cari Duit Dan Penjelasannya” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️

2 Comments

Leave a Reply

Artikel Berkaitan Duit

2 Comments

Leave a Reply