Usah Jadi Saudara Syaitan, Cegah Amalan Membazir

Usah Jadi Saudara Syaitan, Cegah Amalan Membazir

Kita sering mendengar pepatah yang mengatakan membazir itu amalan syaitan. Sememangnya ia bukanlah sekadar pepatah kerana dalam Al-Quran sendiri ada menyebut kalimah “ikhwan syayathin” (saudara syaitan), bila menyentuh bab ini.

Surah Isra’ ayat 27 telah membangkitkan soal pembaziran, dan jelas ia adalah suatu kecaman terhadap sesiapa yang bergaya hidup membazir.

Secara umumnya pembaziran bermakna menggunakan sesuatu secara berlebihan sehingga berbaki dan dibuang.

Namun secara lebih luas ia juga bermakna menyalahgunakan sesuatu sumber sama ada yang zahir mahupun tidak nampak. 

Sumber boleh sahaja bersifat wang dan harta mahupun kesihatan, ilmu, sumber alam, kepakaran, bakat, masa, ruang, peluang, keamanan, kesejahteraan.

Tidak cermat ketika mengguna mana-mana sumber tersebut adalah juga dianggap pembaziran.

Ibnu Mas’ud menjelaskan, pembaziran adalah perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul iaitu tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah serta tidak berlandaskan tuntutan sunnah Rasulullah SAW.

Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara maksiat yang melanggar perintah Allah.

Seperti amalan mulia memberi sedekah makanan, ia boleh berubah menjadi suatu bentuk pembaziran jika tidak dilakukan dengan betul.

Ia terjadi apabila terlalu banyak makanan yang disediakan sehingga tidak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan seperti golongan tidak mampu atau gelandangan.

Selain itu, ada juga dalam kalangan peniaga yang menjual makanan dan minuman ala kadar dengan harga tidak munasabah serta tidak mencapai kualiti yang diharapkan pembeli.

Sikap tamakkan keuntungan lumayan seperti ini sudah tersasar daripada matlamat perniagaan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan mencari keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda mengenai sifat tamak ini yang bermaksud: “Sesungguhnya, seandainya anak Adam diberikan satu lembah yang penuh dengan emas, pasti dia akan ingin memiliki lembah yang kedua, dan seandainya dia sudah diberikan yang kedua, pasti dia ingin mempunyai yang ketiga. Tidak ada yang dapat menutup perut anak Adam kecuali tanah, dan Allah SWT Maha Menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.”

Hadis itu menjelaskan sikap segelintir manusia yang tamakkan harta.

Oleh itu, di dalam hadis itu manusia disuruh bertaubat kepada Allah SWT atas sikap mazmumahnya itu. Allah SWT menerima taubat orang yang ikhlas, jujur dan benar.

Pembaziran sememangnya banyak mengundang keburukan dalam hidup dan boleh memberi impak yang sangat besar jika tidak ditangani dengan baik. 

Syarikat yang diusahakan juga boleh mengalami kerugian jika amalan membazir tidak ditangani segera. Sama-samalah kita jadikan hadis ini sebagai pedoman hidup agar kita dapat menjadi seorang muslim yang lebih baik di sisi Yang Maha Esa.

Artikel terbaru

Leave a Reply