Sedekah Amalan Pahala Berganda

Sedekah Amalan Pahala Berganda

Setiap kebaikan yang dilakukan oleh Muslim pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT.

Tidak ada istilah rugi atau sia-sia atas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Islam selagimana ia menepati syarat yang ditetapkan.

Amalan mestilah dilakukan hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana selain daripada-Nya.

Maka sesiapa yang melakukan sesuatu ibadah untuk mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT, maka dia akan memperolehnya.

Bagi yang melakukan amalan kerana tujuan selain daripada mengharapkan keredaan daripada Allah SWT, maka sudah pasti Allah tidak akan melihat amalan tersebut.

Meskipun orang sebegini akan mendapat habuan di dunia, namun malangnya dia tidak akan mendapat ganjaran di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di Akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”  (Surah asy-Syura, ayat 20)

Oleh itu, syarat utama untuk sesuatu ibadah diterima oleh Allah SWT, ia mesti dilakukan dengan ikhlas hanya kerana-Nya.

Penjelasan tentang amalan yang dilakukan bukan kerana Allah SWT dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”  (Surah al-Ma’un, ayat 4-6)

Selain ibadah mesti dilakukan kerana Allah SWT, pelaksanaan ibadah juga perlu mengikut ketetapan sepertimana yang ditunjukan oleh Rasulullah SAW. Tidak boleh ada pihak yang mengajar sesuatu perkara yang dilabel sebagai ibadah tanpa ada sebarang petunjuk daripada Rasulullah SAW. Islam adalah agama samawi yang cukup jelas dalam menyatakan perkara-perkara berkaitan ibadah sama ada dengan dalil yang umum mahupun khusus.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah Ali ‘Imran, ayat 31)

Sesungguhnya setiap amalan baik yang dikerjakan oleh umat Islam akan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran berupa pahala.  Tidak ada orang yang pernah melihat pahala kerana ia termasuk dalam perkara ghaib. 

Namun Allah SWT memperlihatkan sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani kepada setiap hamba-Nya dengan mengurniakan pahala berganda sekiranya sesuatu ibadah dilakukan dengan ikhlas dan mengikut petunjuk Rasulullah SAW.

Sedekah merupakan antara amalan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang berganda.

 Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”  (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Maha luas rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang membalas perbuatan baik yang dilakukan oleh hamba-Nya dengan pahala yang berlipat ganda.

Satu sedekah dibalas dengan tujuh ratus pahala sepertimana tujuh ratus benih yang tumbuh daripada satu benih sahaja.

Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemurah kepada setiap hamba-Nya yang bersedekah hanya kerana-Nya tanpa mengharapkan sebarang pujian atau balasan duniawi.

Marilah kita bersedekah, “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.”(HR Muslim)

Artikel terbaru

Leave a Reply