33 Tips Menulis Tajuk Yang Menarik

Tips Menulis Headline atau Tajuk Yang Menarik

Dalam sesuatu penulisan tak kira sama ada untuk pengiklanan, artikel, berita, majalah, mahupun siaran media sosial, perkara pertama yang orang baca adalah tajuk atau headlines. Jika tajuk atau headline ini tidak cukup kuat, besar kemungkinan penulisan itu tidak akan mendapat sambutan.

Tajuk menggambarkan keseluruhan isi penulisan yang bakal dihidangkan pada pembaca sasaran. Bagi copywriting, ianya sangat penting bagi memastikan sesebuah iklan itu menarik. Tak guna anda mengarang penulisan dalam pengiklanan anda dengan cukup bagus jika tajuk anda sendu dan biasa-biasa aje. Silap hari bulan, produk dan servis anda tak mendapat sambutan walaupun anda dah buat kempen setiap hari.

Sebab itulah menulis tajuk atau headline ada rahsia dan strategi tersendiri. Dari pengalaman 13 tahun RichWorks dalam membangunkan usahawan, kami senaraikan untuk anda 33 rahsia dan tips menulis tajuk yang menarik sasaran membaca penulisan anda sampai habis.

33 rahsia dan tips untuk menulis tajuk yang menarik:

  1. Tahu sasaran penulisan anda
    Ini adalah perkara pertama anda perlu beri perhatian sebelum membina tajuk. Jika anda mahu sasaran membaca penulisan anda, anda perlu tahu siapa sasaran tersebut. Amatlah merugikan jika penulisan anda bagus tetapi tajuk tidak kena dengan sasaran. Adakah sesuai jika sasaran anda adalah pengikut wanita yang menggemari fesyen tetapi tajuk anda adalah tentang automotif?
  2. Jelas dan ada kaitan
    Satu kesilapan yang selalu dilakukan dalam copywriting adalah tajuk yang mengelirukan. Sebagai contoh, anda menulis kelebihan krim jerawat di dalam satu siaran tetapi tajuk anda adalah ‘Ramai orang tengok anda pakai krim ni’. Tajuk ini sangat mengelirukan dan tidak jelas. Malahan ayat juga berterabur. Sebaliknya, letak tajuk ‘Ramai Puji Kulit Cantik Bebas Jerawat Hanya Dengan Krim Berkesan Ini’.
  3. Elakkan menipu melalui tajuk
    Ini juga khas untuk anda yang ingin tahu lebih lanjut tips menulis tajuk yang menarik. Sebelum anda memikirkan tajuk, jangan sekali berniat untuk menipu melalui tajuk yang terlalu gempak atau indah khabar dari rupa. Dalam bahasa mudah ‘clickbait’. Sekali dua, mungkin orang baca siaran anda. Tapi selepas itu mungkin orang akan rasa tertipu dan silap hari bulan, akaun anda disekat.
  4. Tanya soalan
    Mulakan tajuk anda dengan ayat pertanyaan. Contohnya ‘Adakah anda ingin berjaya?’ atau ‘Anda ingin letupkan bisnes anda’? Bila anda gunakan persoalan, sudah pasti pembaca ingin tahu, betul? Secara automatik mereka akan klik link yang anda bagi untuk bacaan lanjut. Selain itu, bila anda gunakan ayat tanya, ia seperti anda sedang berkomunikasi dua hala dengan pembaca anda. Ia mewujudkan persoalan yang membuatkan pembaca ingin tahu.
  5. Sentuh emosi
    Headline juga mesti perlu ada emosi. Seperti anda baca berita kematian dan kemalangan di akhbar, sama lah dengan copywriting anda. Yang berbeza adalah, anda ingin beri ilmu pemasaran dan perniagaan pada pembaca anda. Jadi, emosi yang perlu anda tulis adalah keterujaan, inspirasi, motivasi, kesedaran atau perasaan ingin tahu. Contohnya bila anda tulis ‘Kena perli dan ditertawakan rakan kelas kerana kulit menggerutu, kini mereka menyesal dan minta maaf.’ Tajuk ini menerbitkan emosi simpati dan geram untuk pembaca mengetahui kisahnya.
  6. Gunakan ‘Jangan’
    Penggunaan ‘jangan’ dalam penulisan lebih kepada untuk memberi didikan atau peringatan kepada pembaca. Contohnya, ‘Jangan Berikan Anak Anda 10 Makanan Ringan Ini,” atau ‘Jangan Pindah Rumah Sebelum Anda Ada 10 Persediaan Ini’. Jika anda gunakan dalam penulisan anda, ia seperti satu arahan yang perlu kita patuh, betul? Selain itu, anda boleh menulis artikel yang berkaitan ‘do and don’t’ dalam bisnes. Sesuaikan tajuk penulisan anda dengan artikel yang anda mahu tulis.
  7. Teknik perkataan senarai
    Ramai yang gunakan perkataan senarai seperti 7 tips, 5 teknik atau 9 langkah. Jika anda lihat post-post kami sebelum ini, kami banyak gunakan teknik ini. Ia untuk memberitahu anda secara terus apa yang kami sediakan untuk anda, seperti ‘5 Tips untuk berjaya’. Ini bermakna, kami kongsikan dengan anda 5 cara untuk anda mencapai kejayaan.
  8. Nombor lebih menarik dari perkataan!
    Kajian menunjukkan, jika sesuatu tajuk diletakkan nombor, ianya lebih menarik perhatian mata pembaca. Jika anda menggunakan semua perkataan huruf dalam tajuk, jumlah manfaat yang anda tawarkan tidak akan menyerlah. Contohnya, ‘50 Idea Bisnes Online Yang Boleh Anda Mula’ kelihatan lebih menarik dari ‘Lima Puluh Bisnes Online Yang Boleh Anda Mula’
  9. Berikan janji/tawaran
    Anda juga boleh sertakan janji dalam penulisan tajuk artikel. Contohnya ‘Tawaran ‘Couple Ticket’ – Untuk Siapa Anda Mahu Berjaya?’ Ini adalah contoh tajuk yang kami gunakan dalam emel IMKK sebelum ini. Selain itu, anda boleh minta mereka baca sampai habis kerana ada tawaran menarik yang anda ingin berikan. Bila anda tawarkan janji menarik yang susah mereka nak dapat, pasti mereka akan baca sampai habis dan rebut tawaran tersebut.
  10. Tajuk yang berinspirasi dan guna perkataan bermotivasi
    Sekali sekala, tulis tajuk yang boleh memberi inspirasi dan menenangkan pembaca. Bila pembaca diberi kata inspirasi, mereka akan lebih bermotivasi dalam hidup dan ingin lebih mencuba. Contoh jika anda mengusahakan pusat tuisyen, anda boleh kisahkan kejayaan pelajar dengan tajuk: ‘Asbab Tak Putus Asa Dan Berbakti Pada Ibu, Pelajar Ini Peroleh Keputusan Cemerlang’. Lain-lain perkataan bermotivasi dan postitif adalah : Semangat, percaya, gigih, cemerlang, terbaik dan banyak lagi.
  11. Letak garis masa
    Jika anda mengiklankan produk, jangan abaikan garis masa. Sebagai contoh, jika anda jurulatih senaman yang ingin berkongsi video senaman, anda boleh letakkan tajuk ‘Kempiskan Perut Anda Dalam Masa 1 Minggu Dengan Senaman Mudah Ini’. Garis masa ‘1 minggu’ atau ‘hari’ membuatkan perkongsian anda lebih meyakinkan
  12. Jangan lupakan perkataan magik
    Apakah perkataan magik yang mampu memukau pembaca? Sudah pasti mereka suka dengan perkataan: Murah, Percuma, Tawaran, Free, Pertama dan Terakhir. Dengan syarat, perkataan magik ini memang betul-betul ada dalam kempen anda! Jangan pula anda mengaku anda yang pertama di Malaysia sedangkan banyak lagi produk terlebih dulu dikenali sebelum anda!
  13. Gabungan perkataan magik berganda
    Anda sudah tahu perkataan magik mampu memukau pembaca. Apa kata anda gandakan perkataan tersebut dengan perkataan lain. Contohnya, murah giler, tawaran akhir, 100% percuma dan tawaran murah pertama kali dalam sejarah.
  14. Kait kata kunci viral atau isu semasa
    Apabila anda guna perkataan yang sedang viral, siaran anda akan mudah muncul dalam carian media sosial. Bukan itu sahaja, adakalanya perkataan viral adalah menghiburkan. Contoh: ‘Kerepek Udang Rangup! Tak Sempat Bawa ‘Rentas Negeri’, Dah Habis!’- Rentas negeri adalah perkataan viral dan pasti akan menarik perhatian pembaca.
  15. Sebab dan alasan
    Letakkan perkataan alasan dalam siaran anda. Contoh: ‘10 Alasan Anda Perlu Pakai Krim Muka Berasaskan Semulajadi’ atau ‘5 Sebab Anda Perlu Beli Rumah Di Sekitar Setia Alam’.
  16. Tajuk tergempar
    Tajuk tergempar bukanlah bermakna anda membuat pengumuman tentang isu gempar. Sebaliknya anda boleh bermain dan bergurau sedikit dengan meletakkan perkataan gempar. Contohnya: ‘Gempar! Keluaran Terbaru (Brand) Habis Dalam Masa 10 Minit!’ Perkataan lain yang anda boleh guna ialah gempak atau kecoh. Ianya mampu menarik perhatian pembaca.
  17. Tulis banyak headline
    Jangan bergantung pada satu idea tajuk sahaja. Jika boleh tulislah banyak headline atau tajuk boleh anda tentukan nanti. Dengan merujuk pilihan yang ada, anda akan dapat menilai yang mana yang terbaik untuk digabungkan dengan isi siaran anda.
  18. Lebih banyak nombor digabung, lebih menarik
    Ha, ini adalah tips dan rahsia yang tak ramai orang tahu! Lebih banyak nombor yang diberikan, sudah pasti lebih menarik. Kami tak bermaksudkan jumlah yang anda tawarkan tapi sebenarnya adalah gabungan yang tepat mengikut garis masa yang betul. Contoh: ‘Hilang Berat Badan Sebanyak 5 Kg Dalam Masa 7 Hari’ atau ‘Rambut Lebat Dengan Penggunaan 1 Botol Dalam Masa 2 Minggu’.
  19. Amaran
    Perkataan berbaur amaran juga mempunyai kekuatan tersendiri. Ianya menarik pembaca untuk berhenti mencari dan terus membaca siaran anda. Contoh, Awas! Jangan Lakukan Perkara Ini Jika Tidak Mahu Bibir Anda Merekah.
  20. Gambarkan akibat
    Akibat juga seperti meletakkan amaran namun ianya lebih pada penjelasan. Namun ramai yang boleh tertarik dengan perkataan akibat. Sebagai contoh: gunakan tajuk ‘Akibat Dibuang Kerja, Keluarga Dihalau Dari Rumah Sewa’
  21. Guna selebriti, tokoh atau jenama popular
    Jika tokoh atau selebriti itu adalah contoh pada masyarakat, anda boleh gunakan mereka sebagai satu tarikan dalam penulisan anda. Dengan syarat, penulisan anda bukanlah bertujuan menjatuhkan dan sumber yang ada ada adalah sahih dan dibenarkan untuk perkongsian. Contoh: ‘Bagaimana Nak Berjaya Seperti Sabella?’ ataupun, ‘Kalau Singgah Petronas, Jangan Lupa Beli Kerepek (Brand)’
  22. Ajak berimaginasi
    Adakalanya, perkataan anda mendorong pembaca untuk melakukan apa yang anda minta tanpa mereka sedar. Contohnya: jika anda gunakan perkataan ‘bayangkan’ dengan tajuk ‘Bayangkan Jika Ini Rumah Anda 5 Tahun Akan Datang….’ Percayalah! Jika anda menyiarkan gambar hiasan dalaman rumah, mereka akan lihat sampai habis.
  23. Dari zero kepada hero
    Letak dua situasi yang berbeza untuk memudahkan pembaca menggambarkan dua situasi ketara dari manfaat yang ingin anda sampaikan. Contohnya: ‘Dulu peperiksaan selalu gagal, sekarang dapat 13A’. Nampak tak? Ini adalah perbezaan dari zero ke hero untuk menggambarkan keberkesanan sesebuah isi penceritaan, iklan buku atau servis tuisyen.
  24. Kata-kata testimoni
    Tajuk anda tidak semestinya perlu ayat penyata semata-mata. Sebaliknya, anda boleh gunakan tajuk dalam bentuk bicara. Sebagai contoh: “Anak saya sekarang senang untuk tidur malam dan tidak lagi ketagih gajet”-Pn Suriati. Ini adalah tajuk berbentuk testimoni yang dapat mencuri hati pembaca.
  25. Baru dan terkini
    Semua orang suka perkataan baru dan terkini. Jika anda sememangnya baru melancarkan produk atau servis, jangan tinggalkan perkataan ini. Baru dan terkini mempunyai kekuatan tersendiri kerana semua pengguna suka pada kelainan dan menjadi yang pertama. Contoh: ‘Tudung Rekaan Terbaru Yang Wajib Dimiliki Oleh Wanita Moden!’
  26. Letakkan perkataan manfaat / kebaikan /kelebihan
    Berterus terang lebih baik! Anda sedang kongsi manfaat makanan sunnah jadi sudah pasti anda perlu letakkan perkataan ‘manfaat’. Contoh: ‘10 Manfaat Susu Kambing Untuk Ibu Hamil’ lebih menarik dari hanya menulis Susu Kambing Untuk Kesihatan Ibu Hamil.
  27. Tarik penjelasan pendek dari isi cerita
    Tak perlu susah-susah fikir tajuk gempak sebaliknya, tarik penjelasan pendek yang ada dalam isi penulisan anda. Sebagai contoh: Sudah 5 Tahun Berniaga Tetapi Tak Pernah Berjaya, Akhirnya Jual Perkasam.
  28. Tinggalkan teka-teki
    Kalau anda tahu strategi penulisan yang betul, anda boleh bermain teka-teki dengan pembaca anda. Mereka akan lebih teruja membaca kerana ingin mengetahui kesudahan. Sebagai contoh, gunakan tajuk seperti ‘Selalu Menghabiskan Wang Untuk Beli Baju Branded, Rupa-Rupanya…..’ Tajuk yang dibiarkan tergantung ini akan meninggalkan teka teki untuk pembaca membaca isi kandungan seterusnya.
  29. Gunakan bagaimana
    Bagaimana mempunyai kekuatan sendiri di mata pembaca lebih-lebih lagi isu yang dikongsi adalah menarik. Contohnya ‘Bagaimana Anda Boleh Kurus Dalam Masa Seminggu’ atau ‘Bagaimana Nak Tampil Bergaya Di Hari Raya Dengan Bajet Bawah RM50’.
  30. Letak perkataan rahsia atau misteri.
    Pembaca sangat suka dengan perkataan misteri atau rahsia. Ianya akan menghidupkan keinginan untuk tahu lebih mendalam apa yang cuba anda sampaikan. Sebagai contoh, ‘Inilah 10 Rahsia Di Sebalik Corak Tudung Bawal Yang Tidak Ramai Tahu’ lebih menarik dari ‘Maksud Corak Tudung Bawal (Brand)’
  31. Gabungkan mana-mana di atas
    Jangan takut menggabungkan mana-mana tips di atas. Cuba anda ambil tips-tips tersebut dan bina satu tajuk? Tajuk anda akan kelihatan menarik dan mencuri perhatian. Sebagai contoh: “Dulu buta huruf tapi sekarang dalam masa 2 hari boleh faham cara baca Quran. Rupa-rupanya….”-Tuan Nadir. Ini adalah contoh tajuk yang berbentuk kata-kata testimoni yang menggunakan nombor dan garis masa dan dibiarkan menjadi teka-teki untuk pembaca.
  32. Arahan
    Jika anda yakin penulisan yang anda kongsi boleh memberi manfaat pada ramai orang, tak salah jika anda meletakkan tajuk berbentuk arahan supaya mereka membaca penulisan anda. Sebagai contoh: ‘Sila Baca Artikel Ini Jika Anda Tak Nak Rugi Membeli Rumah’ atau ‘Tolong Tinggalkan Tabiat Ini Jika Nak Anak Cergas’
  33. Tulis isi penceritaan/ iklan dulu
    Kalaulah semua tips kami ini tetap tidak mampu memberikan idea tajuk untuk anda, tidak ada salahnya jika anda mulakan dengan menulis atau menyiapkan video anda dulu tanpa meletakkan tajuk. Dari situ, anda boleh baca dan lihat mana manfaat atau isi yang paling menarik. Mungkin dari situ anda boleh memilih dan seterusnya mula membina tajuk paling power untuk siaran anda.

Macam mana? Menulis headline atau tajuk tidaklah susah sangat, kan? Asalkan anda rujuk tips kami ini dan selalu berlatih mengarang, anda akan rasa semua ini mudah sebenarnya. Ada juga pengarang lebih suka menggunakan khidmat headline generator namun bagi memberi hasil yang berkesan, lebih baik anda bina sendiri. Manfaat pun dapat disampaikan dan pembaca juga akan ingat penulisan anda nanti.

Selamat mencuba!

**** Di RichWorks, kami komited untuk memberi bimbingan terutama melibatkan bidang pemasaran, online dan digital kepada peniaga mengikut tahap perniagaan mereka. Dapatkan bimbingan percuma berterusan bersama komuniti peniaga terbesar di Malaysia dengan menyertai Telegram Azizan Osman Official.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply