Syukur Dan 3 Bahagian Sabar

“Daripada takrifan ini ulama telah simpulkan pengertian SYUKUR itu terdiri daripada tiga gabungan, iaitu: HATI, membuat penyaksian tentang nikmat yang diberi. LIDAH, membesarkan nikmat Allah dengan menyatakan kebaikan dan memuji Allah dan ANGGOTA, digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t.

“SABAR pula mengikut Dr. Abd Karim Zaidan bermaksud, ‘Cekal dan tabah dengan ujian Allah dalam keadaan patuh pada kehendak-Nya’, iaitu menerimanya dengan redha di samping berusaha membuang kemudaratan tersebut.

“Syeikh Al-Jurjani r.a pula mentakrifkan, ‘sabar meninggalkan pengaduan musibah selain daripada Allah. Ini bermakna pengaduan hamba, doa munajat kepada Allah dikira sebagai tuntutan sabar dan tidak menyalahinya.”

Sifat syukur dan sabar adalah satu tuntutan dalam agama. Allah s.w.t menggunakan ayat perintah pada kedua-dua sifat tersebut bagi menunjukkan suruhan tersebut sebagai wajib. Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nahl, ayat 114 yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersyukur dengan nikmat Allah.” Dalam surah Lukman, ayat 17 pula Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “Bersabarlah atas apa yang menimpa kamu.”

“Setiap Muslim mukmin wajib menyemai kedua-dua sifat ini secara serentak dalam kehidupannya. Ini kerana nikmat bencana, bahagia, derita, sihat, sakit, kaya, papa silih berganti dalam kehidupan seseorang. Maka ketika ini sudah pasti salah satu daripada sifat tersebut akan digunakan pada tempat dan keadaannya sebagai tanda ketakwaan.

“Kita biasa mendengar hari ini seseorang itu kaya, tetapi esoknya sudah menjadi papa, atau hari ini sihat esok dah lumpuh, atau hari ini bergembira bersama keluarga dan anak pinak esoknya pula sebatang kara akibat kemalangan. Di sinilah peranan sifat syukur dan sabar mengimbangi dirinya daripada berkelakuan seperti seorang bukan Islam yang terlalai dengan kenikmatan sehingga hilang arah sewaktu ditimpa musibah.

“Berbahagialah orang mukmin yang mempunyai kedua dua sifat ini sebagaimana dinyatakan oleh Nabi s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: ‘Hebat sungguh urusan seorang mukmin, semua urusannya menjadi kebaikan untuknya. Hal ini hanya berlaku pada seorang mukmin, jika dia mendapat kegembiraan dia bersyukur maka baik untuknya, jika kemudaratan menimpanya dia bersabar, maka baik untuknya (mendapat pahala)’.”

Bila perlu bersyukur dan bila perlu bersabar?

Menurut Zaini jika kita rujuk pada ayat al-Quran, hadis dan pertaliannya dengan sirah, bersyukur adalah merujuk kepada nikmat yang diterima. Allah s.w.t berfirman di dalam surah an-Nahl, ayat 114 yang bermaksud, “Bersyukurlah kamu semua dengan NIKMAT Allah, jika Allah sahaja yang kamu sembah.” Begitu juga di dalam surah Saba’, ayat 15 yang bermaksud. “Makanlah daripada rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepadanya.”

“Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah meredhai hamba-Nya yang makan dan minum kemudian bersyukur dengannya.”

“Mengenai masa untuk bersyukur, Nabi s.a.w menggalakkan kita agar sentiasa mengingati Allah s.w.t semasa dalam keadaan senang. Ini kerana Allah s.w.t akan mengingati (membantu) kita semasa dalam musibah. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “Jagalah (agama) Allah, Allah bersamamu, ingatlah Allah semasa senang, Allah mengingatimu semasa susah.”

“Sementara sabar pula merujuk dengan musibah bencana atau kemudaratan yang menimpa. Firman Allah s.w.t dalam surah Lukman, ayat 17 yang bermaksud, “Bersabarlah atas apa yang menimpa kamu.”

“Dalam sebuah hadis juga, Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa seorang Muslim yang bergaul dengan masyarakat dan bersabar dengan provokasi yang menyakitkan lebih baik daripada yang bersendirian tidak mencampuri urusan umat dan tidak sabar dengan ujian mereka.”

“Para ulama menyatakan bahawa musibah yang mengenai orang soleh adalah ujian peningkatan iman dan kedudukan, bagi orang kafir ia merupakan bala. Akramah berkata: “Musibah yang berlaku ke atas orang soleh ialah syarat yang dikehendaki Allah sebagai kafarah menyucikan dosanya, atau sebagai syarat untuk ketinggian darjatnya dan mesti dilaluinya.”

“Ujian yang paling dahsyat adalah para nabi dan orang yang mengikuti jejaknya seperti mana yang dinyatakan oleh Baginda s.a.w. Nabi Ayub kekasih Allah diuji dengan sakit yang luar biasa, keimanannya ditunjuk oleh sifat sabar, maka maqamnya di sisi Allah s.w.t ditinggikan. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiya, ayat 83 yang bermaksud, ‘Dan Ayub mengadu kepada Tuhannya sesungguhnya aku ditimpa kemudaratan dan Engkaulah (Allah) Maha Mengasihani,” katanya.

3 BAHAGIAN SABAR

IMAN al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin membahagikan sabar kepada 3 bahagian, iaitu:

1. Sabar melakukan ketaatan

Istiqamah dalam perintah dan larangan Allah swt. Firman-Nya di dalam surah Luqman ayat 17 yang bermaksud, “Wahai anakku dirikanlah sembahyang, suruhlah kepada kebaikan, tegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas apa yang menimpa kamu”.

2. Sabar melawan maksiat

Berjuang menolak tarikan kejahatan melalui hawa nafsu dan godaan syaitan. Allah swt berfirman dalam surah al-Nazi’at, ayat 40-41 yang bermaksud, “Sesiapa yang takut keagungan Tuhannya dan dia menahan hawa nafsunya sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya”.

3. Sabar menghadapi musibah

Dunia sebagai tempat Allah swt menguji Iman hamba-Nya dengan berbagai bentuk musibah bagi membezakan yang berkualiti dengan tidak.

Maksud firman Allah sut di dalam surah al-Ankabut ayat 1-2 yang bermaksud, “Apakah manusia menyangka mereka dibiarkan mendakwa beriman sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka).”

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Syukur Dan 3 Bahagian Sabar” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️



Leave a Reply