Squishmallows, Plushie Comel Yang Menjadi Kegilaan Golongan Dewasa Masa Kini

Squishmallows, Plushie Comel Yang Menjadi Kegilaan Golongan Dewasa Masa Kini

Adakah anda tahu tentang Squishmallows? Bila bercakap tentang Squishmallows, pasti ramai di antara anda yang membayangkan sebuah bantal yang sangat gebu, comel dan berbentuk seperti telur.

Bukan kanak-kanak sahaja, golongan dewasa juga sebenarnya turut menggemarinya malah menjadi pengumpul setia setiap edisi Squishmallows yang dikeluarkan.

Dicipta oleh pereka mainan Sunny Cho, plushie itu pertama kali dikeluarkan pada 2017 dan meraih pengikut setianya dengan sangat pantas. Produk ini juga turut melonjak naik sewaktu wabak pandemik dan telah menawan hati semua peringkat umur terutamanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

“Sangat menarik untuk melihat bahawa ia bukan hanya untuk kanak-kanak malah untuk orang dewasa.

“Demografi kami sangat luas dan ia sangat luar biasa dalam perniagaan kami untuk memilikinya,” ujar Laura Zebersky, presiden syarikat induk Squishmallow, Jazwares, kepada CNBC.

Menariknya, seratus juta unit Squishmallow yang berharga antara $5.99 dan $39.99, telah dijual pada tahun lepas sahaja, menurut CNBC.

Industri mainan telah menggelarkannya sebagai trend “kidulting” yang mana golongan dewasa secara aktif mencari produk yang membangkitkan nostalgia dari masa muda mereka.

Menurut wakil syarikat Jazwares, pengguna berumur 18 tahun ke atas merupakan demografi yang memacu jualan produk mereka hingga meningkat kepada 40% sejak dua tahun lalu.

Walaupun syarikat itu telah bekerjasama dengan francais utama seperti Star Wars, Pokémon dan Hello Kitty bagi mengeluarkan plushie edisi terhad, namun mereka juga tetap berhati-hati untuk tidak terlalu ‘gelojoh’ memenuhi pasaran dengan produk mereka.  

“Ia berlaku dengan cara yang tidak dijangkakan. Sebahagian daripada daya tarikan awal Squishmallows ialah hakikat bahawa ia agak sukar untuk diperoleh,” kata James Zahn, Ketua Pengarang Toy Book dan Editor Kanan di Toy Insider kepada Washington Post.

Di samping itu, terdapat juga komuniti Squishmallows yang bukan hanya sekadar mengumpul mainan malah mula menjalinkan hubungan persahabatan di kalangan mereka.

Para pengumpul Squishmallows ini menganjurkan pertemuan, menjual dan berinteraksi sesama mereka dengan menggunakan pengaruh di platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok.

Nancy Ferrell, 31, yang mempunyai kira-kira 200 Squishmallows bersama isterinya memberitahu Washington Post bahawa mengumpul mainan mewah itu memberikannya suatu pengalaman berbeza apabila dapat berkumpul bersama komuniti dalam talian.

“Ia membawa seribu satu kegembiraan,” luahnya.

Siapa sangka, plushie yang disangka menarik perhatian kanak-kanak rupa-rupanya menjadi kegilaan golongan dewasa pula.

Sanggup berhabis ribuan ringgit demi minat yang tersendiri, usahawan boleh pelajari sesuatu daripada kisah ini mengenai sasaran pelanggan yang menjadi keutamaan dalam bisnes yang diusahakan.

Artikel terbaru

Leave a Reply