Singapura Adakan Perjanjian Eksklusif Bersama Taylor Swift Demi ‘The Eras Tour’

Singapura Adakan Perjanjian Eksklusif Bersama Taylor Swift Demi ‘The Eras Tour’

Perdana Menteri Thailand telah mendakwa bahawa Singapura membuat perjanjian dengan Taylor Swift untuk menghalangnya daripada melakukan konsert di tempat lain di Asia Tenggara dalam jelajah ‘Eras’ yang dilakukannya.

Srettha Thavisin berkata penganjur konsert iaitu AEG telah memaklumkan kepadanya bahawa kerajaan Singapura menawarkan subsidi sebanyak AS$2m-$3m (£1.6m-£2.4m) sebagai sebahagian daripada perjanjian eksklusif.

Swift bakal mengadakan enam buah persembahan yang mana keseluruhan tiket habis dijual di Stadium Nasional dengan 55,000 tempat duduk di Singapura pada bulan Mac akan datang.

“[AEG] tidak memberitahu saya angka yang tepat tetapi mereka berkata kerajaan Singapura menawarkan subsidi antara $2 juta dan $3 juta,” kata Srettha secara terbuka di forum perniagaan di Bangkok. 

“Tetapi kerajaan Singapura bijak. Mereka memberitahu [penganjur] untuk tidak mengadakan sebarang persembahan lain di Asia [tenggara],” tambahnya.

Kerajaan Singapura berkata Lembaga Pelancongan Singapura telah menyokong acara itu melalui geran. 

Mereka menyedari bahawa akan ada permintaan besar daripada warga Singapura serta peminat di seluruh rantau untuk Swift mengadakan persembahan di Singapura. Maka, mereka bekerja sama secara langsung bersama AEG Presents agar penyanyi terkenal itu dapat membuat persembahan eksklusif di Singapura.

Peminat Swift di seluruh Asia Tenggara berasa sangat kecewa apabila mengetahui pada tahun lalu bahawa dia akan melangkau sebahagian besar wilayah itu dan akan hanya singgah di Singapura semasa jelajah Erasnya.

Bukan itu saja, proses untuk mendapatkan tiketnya juga adalah sukar termasuklah buat mereka yang berkemampuan kerana ia laris bak pisang goreng panas.

Ramai peminat meminta ahli keluarga dan rakan untuk mendaftar bagi pihak mereka dan menunggu berjam-jam dalam giliran barisan dalam talian.

Selain Singapura, Jepun dan Australia turut disertakan dalam lawatan jelajah tersebut. Asia Tenggara adalah rumah kepada ramai peminat setia Swift, di mana Quezon City di Filipina pernah disenaraikan oleh Spotify sebagai rumah kepada jumlah pendengarnya yang kelima terbesar dalam ranking bandar global.

Konsert Singapura dijangka membawa rangsangan besar kepada sektor pelancongan. Menteri Komuniti, Kebudayaan dan Belia, Edwin Tong, berkata apabila tarikh lawatan diumumkan, ia menunjukkan contoh acara berkaliber yang disasarkan Singapura untuk menambah nilai kepada rakyat Singapura serta pelancong.

Artikel terbaru

Leave a Reply