Siaran Media Hambar? Ini 4 Cara Jadikannya Lebih Menarik!

Siaran Media Hambar? Ini 4 Cara Jadikannya Lebih Menarik!

Menghantar siaran media adalah cara terbaik untuk menaikkan nama syarikat anda. Walau bagaimanapun, sesetengah saluran berita menerima beratus-ratus siaran akhbar dalam satu hari hingga membuatkan kebanyakan wartawan menghabiskan kurang daripada satu minit untuk membaca setiap satu daripadanya.

Jadi tidak hairanlah cabaran untuk menonjol lebih daripada yang lain di dunia digital hari ini menjadi semakin sukar kerana persaingannya yang sengit. 

Jika mahu menyerlah daripada yang lain, anda perlulah membuat beberapa kerja tambahan agar siaran akhbar anda mendapat liputan meluas daripada pihak media

Sebelum itu, anda perlu semak dahulu beberapa aspek ini. Apa yang menjadikan sesebuah siaran media itu hebat? 

1. Kandungan anda benar-benar bernilai berita

Ini adalah ujian besar pertama: 

Adakah topik siaran media anda benar-benar layak diberitakan? 

Adakah ia sesuatu yang wartawan dan masyarakat akan mengambil kisah mengenainya?

Dalam banyak situasi, wartawan bertindak sebagai gatekeeper kepada berita. Seperti dijelaskan Ketua Pengarang untuk majalah dalam talian digital Belanda Sprout dan MT, Remy Ludo Gieling: “Kami agak khusus, jadi kami mempunyai garis panduan editorial yang sangat jelas. Cerita itu hanya menarik jika usahawan boleh belajar daripadanya.

“Hakikat bahawa sesuatu adalah berita besar dalam syarikat mereka tidak bermakna ia menambah apa-apa nilai kepada orang lain,” jelasnya.

Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi sama ada siaran media itu benar-benar layak diberitakan termasuklah ketepatan masa, saiz syarikat dan kesan acara itu terhadap pasaran secara keseluruhan. 

Maka, sebelum mula menulis siaran media anda, pastikan ia memenuhi nilai berita.

2. Tajuk yang menjual cerita

Dalam dunia kewartawanan yang semakin bergerak pantas, wartawan semakin kesuntukan masa. Oleh itu, tajuk utama dan tajuk kecil memainkan peranan penting bagi mendorong editor untuk terus membaca.

Tajuk siaran media tidak seharusnya sekadar pernyataan hambar tentang apa yang berlaku dalam syarikat anda! Kata sifat yang relevan dan butiran ringkas akan menarik minat wartawan untuk terus membaca daripada tajuk yang bosan dan formal.

Sebagai contoh, jika syarikat anda baru sahaja menjalankan tinjauan industri utama, tajuk utama harus menceritakan tentang perkara yang didedahkan dalam tinjauan berkenaan.

‘Tinjauan Syarikat Mendedahkan Kebanyakan Pelanggan Lebih Memilih Kandungan Video Pendek’ akan jauh lebih menarik daripada Syarikat Mengeluarkan Hasil Tinjauan Mengenai Pilihan Kandungan Video.”

Tajuk kecil ialah tempat anda mengembangkan cerita yang dibuat dalam tajuk utama. Ini mungkin termasuk beberapa statistik khusus daripada kajian atau butiran tentang anugerah yang dimenangi ahli syarikat anda. Di sinilah seorang wartawan akan menilai sama ada kandungan anda yang lain berbaloi atau tidak dengan masa mereka.

3. Wajib masukkan 5 W 

Bagi mendapatkan perhatian pembaca, perenggan pertama artikel anda haruslah merangkumi 5W (who, what, where, when & why).

Melalui cara ini, pembaca dapat menangkap segala butiran dengan jelas dan cepat. Perenggan seterusnya adalah perkembangan untuk maklumat yang telah dinyatakan dalam perenggan pertama.

Selain itu, sebarang petikan temu bual yang anda sertakan dalam artikel haruslah sesuatu yang bernilai dan bermanfaat. Jangan bazirkan ruang untuk ceramah kosong yang terlalu hard selling!

4. Kandungan adalah relevan untuk khalayak sasaran

Bahagian terakhir untuk memastikan siaran akhbar anda akan menjadi kejayaan sebenar adalah dengan memberi tumpuan kepada khalayak sasaran yang anda mahukan.

Tidak kira betapa bagusnya sesebuah siaran akhbar itu, menghantarnya kepada wartawan yang menganggapnya tidak relevan adalah membuang masa. Lakukan usaha wajar anda dengan menyelidik wartawan dan penerbitan yang sesuai dengan kandungan yang ingin diterbitkan.

Penyasaran yang betul digandingkan dengan cerita yang bernilai berita boleh menutup cela sesebuah penulisan yang kurang sempurna.

5. Tulis siaran akhbar yang berfungsi

Walaupun artikel siaran media anda ditulis dengan baik, tidak ada jaminan bahawa setiap saluran berita yang anda pilih akan membuat liputan cerita tentangnya. 

Walau bagaimanapun, dengan mengikuti garis panduan penting ini, ia akan dapat mengelakkan kesilapan siaran media yang sering dilakukan selain memastikan bahawa kandungan anda akan mempunyai peluang yang cerah untuk menonjol dalam peti emel wartawan.

Apabila anda menghantar siaran media yang memenuhi kriteria ini secara konsisten, wartawan akan mula mengambil perhatian dan jumlah liputan yang anda peroleh untuk perniagaan anda akan meningkat dengan sewajarnya.

Artikel terbaru

Leave a Reply