Selangkah Ke Hadapan, British Airways Perkenal Seragam Baharu Buat Pramugari Berhijab

Selangkah Ke Hadapan, British Airways Perkenal Seragam Baharu Buat Pramugari Berhijab

British Airways telah memperkenalkan seragam baharunya selepas dua dekad buat anak kapalnya yang menampilkan pilihan tunik dan tudung untuk wanita Islam. 

“Pakaian seragam adalah suatu ikon kepada jenama kami, sesuatu yang akan membawa kami ke masa depan. Ia juga mewakili yang terbaik daripada Britain moden dan membantu kami menyampaikan perkhidmatan asli British yang hebat buat para pelanggan yang dikasihi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) British Airways, Sean Doyle, lapor Arab News. 

Pakaian seragam baharu, yang dicipta oleh pereka fesyen Savile Row dan tukang jahit Ozwald Boateng OBE ini menggantikan pakaian semasa yang direka oleh Julien MacDonald.

“Mereka bentuk pakaian seragam ini adalah satu usaha yang besar dan teliti dan ia bukan hanya sekadar pakaian semata-mata. Ia mengenai mewujudkan anjakan yang bertenaga secara dalaman,” kata Boateng. 

“Salah satu objektif utama saya adalah untuk mencipta sesuatu yang boleh ‘bersuara’  dan semestinya istimewa untuk rakan sekerja syarikat penerbangan itu.

“Sesuatu yang memberi inspirasi dan memperkasakan sekali gus mendorong mereka untuk menjalankan tugas dengan penuh bangga dan yang paling penting bagi memastikan mereka berasa dilihat serta didengari.

“Walaupun syarikat penerbangan itu mempunyai legasi yang kukuh, namun adalah penting untuk menyokong dalam penciptaan naratif baharu tentang perubahan dan transendensi sambil mengekalkan ketepatan masa,” tambah Boateng.

Semua kru kabin, juruterbang dan petugas daftar masuk British Airways akan mempunyai tarikh pertukaran daripada pakaian seragam semasa mereka kepada yang baharu pada musim panas 2023.

Sebagai info, pada 2016, polis Scotland mengisytiharkan hijab sebagai salah satu pilihan dalam pemakaian seragamnya untuk menggalakkan lebih ramai wanita Islam memilih polis sebagai pilihan kerjaya mereka.

Artikel terbaru

Leave a Reply