Rancang Model Perniagaan

Jadi, anda memang sudah bertekad untuk menceburi bidang bisnes? Apa langkah pertama untuk memulakan perniagaan? Jangan terburu-buru. Rancanglah model perniagaan anda terlebih dahulu. Anda perlu tahu apa jenis atau bidang perniagaan yang anda ingin lakukan. Model perniagaan adalah umpama pilihan bagaimana anda mahu memulakan perniagaan tersebut. Rujuk pada apa yang anda ada. Tanya diri anda, apa yang anda boleh tawarkan? Apa jenis perniagaan sesuai dengan kelebihan anda? Dari situlah anda boleh mengembangkan lagi pilihan ini kepada strategi dan langkah lain.

Sebenarnya, banyak jenis atau model perniagaan yang boleh anda pilih seperti:

1. PERMASARAN DAN JUALAN

Contoh: Ejen, Dropship, Perniagaan Bundle/Barang Terpakai

Kelebihan jika anda memilih memulakan perniagaan dalam permasaran dan jualan adalah anda tidak perlu risau tentang modal besar dan menghasilkan produk sendiri. Silap-silap, anda tidak perlu keluarkan modal langsung contohnya menjadi dropship. Yang penting produk dan servis itu benar-benar wujud. Jangan pula anda memilih tanpa mengkaji siapa pemilik produk itu pula.

Selain itu, anda perlu memastikan produk / servis tersebut mendapat permintaan tinggi di pasaran yang penting anda mampu fokus pada strategi pemasarannya.

Apa yang lebih menarik adalah, anda boleh menimba pengalaman berurusan dengan pelanggan jika anda bermula dengan permasaran dan jualan dahulu. Siapa tahu, suatu hari nanti anda mengeluarkan produk sendiri dan pengalaman anda boleh digunakan untuk melatih ejen dan dropship anda nanti?

2. BAKAT, KEMAHIRAN DAN PENGALAMAN

Contoh: Nyanyian, Tuisyen, Pemandu, Penghantaran, Pengajian Al-Quran.

Jangan sangka perniagaan di bidang bakat, kemahiran dan pengalaman tak boleh berjaya. Sebenarnya, bidang ini sangat sesuai jika anda tidak mahu pening kepala memikirkan produk.

3. PENGENDALIAN / PENGURUSAN PERNIAGAAN ORANG LAIN

Contoh: Uruskan cawangan / francais orang lain

Yang ini pula, anda tidak perlu susah-susah membina jenama. Selalunya, anda hanya mengembangkan jenama dan perniagaan sedia ada. Perniagaan ini selalunya sudah dikenali ramai jadi pilih jenama yang memang ramai pelanggannya dan tinggi pula permintaannya.

4. PENGUSAHA

Contoh: Katering, Perladangan, Penternakan, Homestay, Restoran, Kosmetik,

Bidang ini memerlukan kemahiran. Anda tidak boleh terjun sesuka hati tanpa ilmu. Contohnya, jika anda memilih penternakkan udang galah. Anda perlu tahu jenis-jenis udang dan kesesuaian pembiakan. Pasti anda tidak mahu menanggung kerugian masa dan tenaga jika pembiakan udang tidak menjadi, bukan?

5. PENGELUAR / PENGILANG

Contoh: Menghasilkan produk jenama orang lain

Jika ini pilihan anda, anda perlu memastikan anda punya modal untuk peralatan, tenaga kerja dan lokasi.

6. PERDAGANGAN

Contoh: Jualan pukal

Anda adalah pemborong secara pukal. Selalunya pelanggan anda boleh terdiri dari kalangan peniaga lain. Contoh mudah yang pasti semua orang tahu adalah GM Klang.

7. FIRMA PROFESIONAL  /  PERUNDINGAN / KONSULTAN (BERLESEN)

Contoh: Akauntan, Doktor, Peguam, Insuran, Agensi Percutian

Pastinya bidang ini juga memerlukan ilmu akademik yang tinggi kerana anda memberikan khidmat pada pelanggan berdasarkan ilmu pengetahuan anda.

8. ORANG TENGAH

Contoh: Ejen Hartanah, Ejen Nombor Pendaftaran, Runner, Ejen Pengiklanan

Bidang ini juga boleh mengasah kemahiran komunikasi dengan pelanggan dan pemasaran.

9. INTRAPRENEUR

Contoh: Ketua dalam syarikat / organisasi yang memainkan peranan besar dalam membina pemasaran strategik.

10. PELABUR / PEMEGANG SAHAM

Contoh: Melabur dalam syarikat orang lain, Melabur dalam saham untuk dividen.

Jika anda mahir dalam pasaran tempatan dan luar negara, apa salahnya anda memilih bidang ini? Namun anda haruslah benar-benar yakin dan jangan melabur hanya kerana percaya pada khabar angin.

Artikel terbaru

16 Comments

Leave a Reply