Perniagaan Jadi Pilihan Sebab Nak Kaya Atau Sebaliknya? 

Perniagaan Jadi Pilihan Sebab Nak Kaya Atau Sebaliknya? 

Ramai orang merancang untuk kaya, ada juga yang merancang untuk hidup sederhana sahaja. Tapi, ada ke yang merancang untuk hidup susah? Yang dah memang hidup susah tapi tak nak upgrade kepada hidup yang lebih baik memang ramai. 

Kesilapan fikiran kita adalah kita sering rasa nak jadi kaya sebab nak hidup senang sahaja, tak nak susah. Jika anda ada pemikiran ini, anda salah.

Siapa kata orang kaya hanya hidup senang sahaja? Kekayaan tak menjamin hidup kita akan senang tanpa kesusahan. Mereka juga ada cabaran dan risiko yang perlu dihadapi. Kesenangan sebenar adalah di akhirat kelak sekiranya kita telah memanfaatkan hidup di dunia ini.

Sebaik-baik manusia adalah mereka yang kaya dunia dan juga kaya akhirat. Jadikan kekayaan yang kita ada di dunia ini sebagai punca mendapatkan banyak pahala untuk kejayaan di akhirat kelak. 

Bagaimana nak kaya di dunia? Adakah dengan perniagaan sahaja? Berniaga atau bekerja, kedua-duanya boleh menjadi kaya. Bezanya dengan berniaga insya-Allah kita dapat kumpulkan kekayaan dengan lebih cepat. Bukan sahaja kaya wang malah kaya masa untuk dinikmati kekayaan yang dimiliki.

Apakah sebab utama anda berniaga?

Sebagai usahawan, kenapa anda nak berniaga pada awalnya? Ada orang berniaga kerana nak baiki taraf ekonomi, ada juga yang nak memiliki hidup lebih baik dan tak kurang yang mahu kebabasan wang dan masa. 

Perniagaan yang berjaya membantu kita memiliki pilihan yang lebih besar. Kita boleh pilih untuk menderma kepada siapa dan bila-bila masa dengan pilihan kita sendiri dan tanpa rasa bimbang.

Bermula daripada niat mampu cipta kejayaan

Dalam hidup ini, segala-galanya bermula dengan niat. Apa yang anda nak capai? Apa yang anda nak lakukan setelah bergelar jutawan? Adakah kekayaan anda bakal memberi manfaat kepada orang lain atau hanya memberi kesenangan pada diri sendiri? 

Jika niat dan matlamat anda baik, ia pasti dipermudahkan oleh Allah SWT. Tapi jika niat tak betul, susah anda nak capai apa yang diimpikan.

Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu ingin berniaga dan sebab-sebab ini boleh menjadi faktor kejayaan buat usahawan.

1. Kepuasan

Ada orang yang mudah berpuas hati dengan kejayaan walaupun hanya sekecil-kecil kejayaan. Ada pula yang dah kecapi kejayaan yang besar, masih mencari kejayaan yang lebih memuaskan. 

Jadi apa yang memberikan kepuasan di dalam diri anda? Ramai usahawan berasa puas dengan berniaga. Proses berniaga itu sendiri membakar semangat mereka untuk kecapi kejayaan demi kejayaan.

2. Jaminan

Jaminan menjadikan manusia rasa selamat. Ada orang rasa selamat dengan hanya makan gaji. Hujung bulan confirm gaji masuk ke dalam akaun bank. Ada orang pula rasa terjamin dengan ada bisnes kerana bebas untuk membuat keputusan sendiri yang dirasakan menjamin masa depan.

3. Pengiktirafan

Kita pasti rasa dihargai apabila segala penat lelah mendapat pengiktirafan. Pengiktirafan boleh datang sebagai ucapan terima kasih, mendapat ganjaran serta pujian yang ikhlas. Lain orang lain kepuasan dalam menerima pengiktirafan. Semua orang akan rasa seronok dan akan memberikan hasil yang terbaik.

4. Pencapaian

Usahawan yang sering mengejar pencapaian kadang-kala sanggup melakukan perkara-perkara yang luar biasa. Mereka akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaian bisnes. Ini membuatkan mereka sentiasa bersedia dan mencari cabaran yang baru untuk kecapi kejayaan yang berulang. 

5. Terbaik

Orang yang sentiasa mahukan kejayaan yang terbaik mempunyai satu penanda aras yang tinggi dalam diri mereka. Mereka sentiasa mahukan yang terbaik dan sanggup mengambil tindakan tambahan bagi memastikan segalanya yang terbaik.

6. Peningkatan 

Ramai usahawan sentiasa mahukan peningkatan. Berapa ramai sahaja yang tak kisah berada di tempat yang sama sahaja. Mereka sering mahukan yang terbaik bagi memastikan bisnes meningkat ke tahap yang lebih baik.

Orang yang sebegini selalu dahagakan ilmu kerana bagi mereka ilmu dapat membantu dalam peningkatan bisnes mereka.

7. Sumbangan

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” Usahawan ini selalunya rasa puas hati apabila dapat menyumbang kepada orang lain dan itu menjadi keutamaan bagi dirinya.

Perlu ada ‘Big Why’ dalam bisnes

Kadang-kadang kita tak dapat capai apa yang kita inginkan kerana keinginan untuk mencapainya tidak kuat. Datuk Wira Dr. Azizan Osman selalu menekankan bahawa jika nak berjaya di dalam perniagaan atau apa jua bidang yang diceburi, anda perlu tahu apakah yang betul mendorong anda untuk berjaya?

Beliau juga sering mengajak peserta program untuk menulis 101 impian dan berfikir apakah ‘Big Why’ mereka? 

‘Big Why’ adalah sesuatu yang menjadi pendorong yang kuat untuk kita lakukan sehingga capai kejayaan yang diimpikan. ‘Big Why‘ juga mampu menjadikan kita terus bangkit dan terus melangkah setelah tersungkur di tengah jalan. Kita perlu jelas tentang sebab sebenar kenapa kita nak mencapai sesuatu.

Sebagai usahawan, kenapa anda memilih untuk berniaga di awalnya? Kongsikan di ruangan komen.

Artikel terbaru

Leave a Reply