5 Peribahasa Beri Inspirasi Bangsa Usahawan

bangsa usahawan

Bangsa usahawan dan peribahasa, bila kali terakhir anda menggunakan peribahasa? Kata-kata yang indah, penuh maksud dan kata-kata tersirat.

Saya masih ingat lagi, guru Bahasa Melayu sering mengingatkan supaya menyelitkan peribahasa di dalam penulisan karangan supaya karangan tersebut lebih baik hasilnya.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ismail Ahmad, peribahasa merupakan manifestasi pemikiran genius orang Melayu sejak dulu lagi.

Kelompok kata tersebut berperanan peranan penting untuk menyampaikan nasihat serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Keindahan peribahasa yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu dilihat semakin dilupakan oleh segelintir generasi muda hari ini.

Jadi bagi mengelakkan kita terlupa peribahasa yang sering kita gunakan dibangku sekolah dahulu, jom kita baca peribahasa yang sesuai dengan situasi yang dihadapi oleh bangsa usahawan.

1. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih

Maksud peribahasa ini, jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan demikian juga sebaliknya.

Jangan sentiasa memberi alasan terhadap sesuatu perkerjaan yang perlu anda lakukan.

Jika itu sikap bangsa usahawan, kejayaan bukan milik anda. BANGKIT dan lakukan dengan seribu daya.

2. Alah bisa, tegal biasa

Perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.

Mula-mula anda mungkin tidak biasa menguruskan jual beli secara atas talian, rasa sukar untuk mengisi keperluan maklumat di atas talian, dah biasa selama ini berurusan di kuanter perkhidmatan.

Namum, apabila anda sudah melakukan perkara itu beberapa kali anda telah mahir.

Begitu juga dengan pekerja anda, pada awal bekerja belum lagi mahir menggunakan peralatan di fasiliti anda. Apabila menggunakan peralatan tersebut lama-lama akan mahir sekali gus meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa.

Sebab itu, kita perlu sayang dan menghargai pekerja. Pekerja mahir juga merupakan aset kepada syarikat.

3. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian

Peribahasa ini amat popular, yang bermaksud untuk mendapat kesenangan, terpaksa bersusah payah dahulu.

Banyak kisah inspirasi yang kami kongsi kepada anda, banyak usaha dan keringat ditumpahkan oleh bangsa usahawan untuk berada pada tahap yang membanggakan dan mencapai kejayaan seperti anda lihat sekarang.

Setelah melalui pelbagai perit getir dan ranjau, mereka mencapai impian, memperoleh jualan jutaan ringgit, kediaman dan kenderaan impian, mengembirakan ibu bapa dan ahli keluarga serta membantu insan lain yang memerlukan.

4. Jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu

Tidak akan tercapai cita-cita tanpa usaha gigih dan kuat.

Tak ada jalan mudah untuk berjaya mendapatkan apa yang disasarkan.

Berusahalah, cari jalan buat dengan betul berdasarkan caranya, kena jalannya, insyaallah lambat laun berjaya.

5. Yang secupak takkan jadi segantang

Peribahasa ini bermaksud sesuatu yang tidak dapat diubah lagi.

Peribahasa sama makna adalah yang sesukat tak kan jadi segantang, yang sehasta tak kan jadi sedepa dan yang sejengkal takkan jadi sedepa.

Peribahasa ini menekankan sikap untuk menerima sesuatu yang tidak dapat diubah lagi dalam keadaan semasa.

Ertinya seseorang itu perlu menerima keadaan semasa dan berusaha berdasarkan apa yang ada di tangan.

Yang pentingnya, terima kenyataan apa yang ada sekarang dan itulah yang perlu dijadikan modal untuk masa yang akan datang.

Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman juga sering memberi nasihat, untuk memulakan sesuatu perniagaan mulakan dengan apa yang ada di tangan.

Jika anda masih menunggu dan terus menantikan sesuatu yang belum jelas, belum tentu anda akan memperoleh kejayaan.

Semoga peribahasa ini memberi inspirasi kepada anda, boleh juga dibaca bersama anak-anak dan berkongsi peribahasa yang lain.

Artikel terbaru

4 Comments

Leave a Reply