Pengertian Raya Aidilfitri

Pengertian Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri kali ini pastinya disambut dengan berlainan. Demi memastikan keselamatan dan melindungi nyawa orang ramai, kerajaan memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara.

Malah ziarah raya tak dibenarkan, namun sambutan hari kemenangan ini pastinya diraikan dengan berpakaian yang terbaik, berwangi-wangian pada 1 Syawal ini.

Erti Aidilfitri :

Aidilfitri yang sebenar gabungan dua perkataan iaitu Aid dan Fitr. Aid berasal daripada `aud (bererti ulangan). Ia menjelaskan sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun, atau kegembiraannya berulang setiap kali menjelang hari raya atau banyaknya nikmat Allah SWT dikurniakan kepada hamba-hambaNya.

Fitr pula bererti fitrah. Fitrah di sini adalah hari kembalinya kesucian kepada kita. Ia bermaksud kita dahulunya berasal daripada seorang yang suci daripada noda dan dosa iaitu di waktu kita dilahirkan. Di dalam melalui perjalanan kehidupan tentulah ada sedikit sebanyak terpalit dosa dan kesalahan.

Maka dengan hadirnya Aidilfitri, ia seolah-olah mengembalikan kita kepada fitrah atau kesucian buat kali kedua dengan terhapusnya dosa hasil ibadah puasa yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Aidilfitri merupakan hari kemerdekaan umat Islam kerana 1 Syawal merupakan hari pertama selepas bulan Ramadan di mana kita kembali menikmati limpahan rezeki Allah SWT seperti makan dan minum di siang hari dan larangan khusus yang lain pada bulan Ramadan.

Ia adalah hadiah daripada Allah SWT kepada kita yang telah menyerahkan jiwa raga mereka kepadaNya. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat menempuh ujian tahunan yang Allah SWT sediakan bagi menguji siapakah yang terbaik dalam melaksanakan ibadah kepadaNya.

Aidilfitri juga merupakan hari kemenangan secara spritual atau rohani. Ini kerana ia adalah puncak kemenangan manusia dalam peperangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa di bulan Ramadan adalah senjata terkuat manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada berbuat dosa.

Maka, hari raya Aidilfitri adalah satu ganjaran kemenangan daripada Allah SWT kepada hambaNya.

Mungkin tidak berapa meriah raya kali ini dengan amalan norma baharu dan SOP ditetapkan, tapi pernah tak terfikir apakah sebenarnya pengertian raya ini? Persoalan utama adalah bagaimanakah keadaan ibadah Ramadan kita kali ini berbanding sebelumnya?

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply