Pemimpin, Penentu Kejayaan Negara Dan Organisasi

Isu   kepemimpinan amat dititikberatkan oleh Islam kerana pemimpin merupakan  nakhoda  dalam  sesebuah  organisasi.

Setiap  gerak  geri  mereka akan  dinilai  dan  menjadi  contoh  teladan  oleh  orang  bawahan  sepanjang masa.

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain.

Pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya sebagai pemimpin merupakan satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegahkan.

Perkara penting ini perlu sentiasa diingatkan sejak sebelum orang yang terlibat menjadi pemimpin.

Tiada istilah istimewa apabila dilantik menjadi pemimpin kerana sepatutnya mereka menjadi ‘pekerja’ kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

ASAS KEPIMPINAN

Secara umumnya apabila membincangkan hal kepengurusan, terdapat dua perkara asas yang perlu difahami dengan jelas.

Pertama; golongan yang menduduki  sesuatu  kedudukan  dalam  hirarki  pengurusan  organisasi  yang disebut  sebagai  pihak  pengurusan.

Kedua; kebolehan menjana kuasa atau autoriti yang dimiliki untuk mengarah orang bawahan bagi melaksanakan sesuatu kerja.

Dengan kata lain, aspek pengurusan bukan hanya menekankan soal pangkat tetapi juga cara memimpin serta keupayaan untuk ’manipulasi’ kuasa  yang  diberi  bagi  membawa  organisasi  ke  arah  kejayaan. 

Justeru, pengurusan itu lebih menekankan tentang kaedah yang digunapakai  oleh seseorang pengurus (mengikut hierarki) untuk memimpin golongan pekerja bawahannya   bagi   menjayakan   misi   (tugas)   yang   dipertanggungjawab kepadanya.

Dan ini amat berkait rapat dengan soal kepimpinan dan hubungan di antara pemimpin dan golongan yang dipimpin.

ORGANISASI CEMERLANG

Organisasi dimaksudkan   sebagai   suatu   bentuk   kegiatan dilakukan secara berkumpulan yang  dibahagikan  mengikut  sektor-sektor tertentu demi mencapai matlamat secara kolektif.

Kejayaan atau kegagalan fungsi sesebuah organisasi berpunca dari tiga faktor.

Pertama, majikan selaku pemimpin yang menerajui sesebuah organisasi.

Kedua, pekerja yang  bertindak  sebagai  pelaksana  terhadap  gerak  kerja  yang  disusun  atur oleh majikan dan ketiga adalah sistem yang guna pakai oleh majikan dan pekerja untuk menyelaras pekerjaan.

Pada masa sama, persefahaman (consensus)  ini  menjadikan  setiap  organisasi  seolah-olah satu komuniti atau keluarga kecil yang mempunyai peranan tersendiri dan  saling  memerlukan  sesama  mereka  dalam  mencapai  matlamat  diinginkan  atau  ditentukan  oleh  organisasi. 

Untuk menggapai matlamat sesebuah organisasi memerlukan pengurusan yang bijaksana dan mampu menggabungkan keseluruhan  elemen  dalam  organisasi  agar  sama-sama berperanan   demi   kesejahteraan   bersama.

KEPIMPINAN RASULULLAH SAW

Seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya menurut acuan Islam.

Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia hingga mampu menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara.

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian.

Pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin.

Oleh itu, pemimpin yang pernah memikul tanggungjawab kepemimpinan negara perlu berfikir berpandukan iman dalam usaha mereka untuk kembali menjadi pemimpin.

Keadaan negara hari ini merupakan kesan kepemimpinan pemimpin sebelum ini yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab.

Sejauh mana pemimpin sebelum ini berjaya meraih reda Allah SWT atau mereka gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin sepertimana yang dikehendaki oleh-Nya. Tepuk dada tanya iman.

Sekiranya pemimpin memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah), sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika pemimpin  menjalankan tanggungjawab dengan baik pasti akan menguntungkan semua pihak. 

Ini bukan sahaja tertakluk kepada pemimpin negara, malah mana-mana individu sekalipun yang menggalas tanggungjawab ini.

Jatuh bangun sesebuah perniagaan juga bergantung kepada kepintaran dan kebijaksanaan pemimpinnya. 

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Pemimpin, Penentu Kejayaan Negara Dan Organisasi” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️



One-on-one business check-up for free today

Sesi Eksklusif bersama Team RichWorks secara Percuma

Leave a Reply