Isu kepemimpinan amat dititikberatkan oleh Islam kerana pemimpin merupakan nakhoda dalam sesebuah organisasi.
Setiap gerak geri mereka akan dinilai dan menjadi contoh teladan oleh orang bawahan sepanjang masa.
Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain.
Pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya sebagai pemimpin merupakan satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegahkan.
Perkara penting ini perlu sentiasa diingatkan sejak sebelum orang yang terlibat menjadi pemimpin.
Tiada istilah istimewa apabila dilantik menjadi pemimpin kerana sepatutnya mereka menjadi ‘pekerja’ kepada rakyat dan bukan sebaliknya.
ASAS KEPIMPINAN
Secara umumnya apabila membincangkan hal kepengurusan, terdapat dua perkara asas yang perlu difahami dengan jelas.
Pertama; golongan yang menduduki sesuatu kedudukan dalam hirarki pengurusan organisasi yang disebut sebagai pihak pengurusan.
Kedua; kebolehan menjana kuasa atau autoriti yang dimiliki untuk mengarah orang bawahan bagi melaksanakan sesuatu kerja.
Dengan kata lain, aspek pengurusan bukan hanya menekankan soal pangkat tetapi juga cara memimpin serta keupayaan untuk ’manipulasi’ kuasa yang diberi bagi membawa organisasi ke arah kejayaan.
Justeru, pengurusan itu lebih menekankan tentang kaedah yang digunapakai oleh seseorang pengurus (mengikut hierarki) untuk memimpin golongan pekerja bawahannya bagi menjayakan misi (tugas) yang dipertanggungjawab kepadanya.
Dan ini amat berkait rapat dengan soal kepimpinan dan hubungan di antara pemimpin dan golongan yang dipimpin.
ORGANISASI CEMERLANG
Organisasi dimaksudkan sebagai suatu bentuk kegiatan dilakukan secara berkumpulan yang dibahagikan mengikut sektor-sektor tertentu demi mencapai matlamat secara kolektif.
Kejayaan atau kegagalan fungsi sesebuah organisasi berpunca dari tiga faktor.
Pertama, majikan selaku pemimpin yang menerajui sesebuah organisasi.
Kedua, pekerja yang bertindak sebagai pelaksana terhadap gerak kerja yang disusun atur oleh majikan dan ketiga adalah sistem yang guna pakai oleh majikan dan pekerja untuk menyelaras pekerjaan.
Pada masa sama, persefahaman (consensus) ini menjadikan setiap organisasi seolah-olah satu komuniti atau keluarga kecil yang mempunyai peranan tersendiri dan saling memerlukan sesama mereka dalam mencapai matlamat diinginkan atau ditentukan oleh organisasi.
Untuk menggapai matlamat sesebuah organisasi memerlukan pengurusan yang bijaksana dan mampu menggabungkan keseluruhan elemen dalam organisasi agar sama-sama berperanan demi kesejahteraan bersama.
KEPIMPINAN RASULULLAH SAW
Seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya menurut acuan Islam.
Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia hingga mampu menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara.
Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian.
Pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin.
Oleh itu, pemimpin yang pernah memikul tanggungjawab kepemimpinan negara perlu berfikir berpandukan iman dalam usaha mereka untuk kembali menjadi pemimpin.
Keadaan negara hari ini merupakan kesan kepemimpinan pemimpin sebelum ini yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab.
Sejauh mana pemimpin sebelum ini berjaya meraih reda Allah SWT atau mereka gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin sepertimana yang dikehendaki oleh-Nya. Tepuk dada tanya iman.
Sekiranya pemimpin memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah), sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika pemimpin menjalankan tanggungjawab dengan baik pasti akan menguntungkan semua pihak.
Ini bukan sahaja tertakluk kepada pemimpin negara, malah mana-mana individu sekalipun yang menggalas tanggungjawab ini.
Jatuh bangun sesebuah perniagaan juga bergantung kepada kepintaran dan kebijaksanaan pemimpinnya.