Pematuhan Undang-Undang

Pematuhan penting bagi sesebuah perniagaan untuk berkembang hingga ke tahap lebih tinggi. Sebaik sahaja anda mendaftarkan perniagaan anda secara sah, anda secara tidak langsung terikat dengan dua akta berkaitan perniagaan di Malaysia.

Akta tersebut adalah Akta Pendaftaran Peniagaan 1956 dan juga Akta Cukai Pendapatan. Dua akta ini perlu anda faham dan patuhi dalam undang-undang perniagaan.

Kami senaraikan empat agensi kerajaan yang perlu anda rujuk untuk melengkapkan pematuhan undang-undang bagi syarikat anda.

Empat agensi utama bagi pematuhan dalam perniagaan:

1.Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Yang ini memang anda tidak boleh elakkan. Inilah langkah pertama bagi yang ingin memulakan perniagan, tidak kira apa jua jenis perniagaan di dalam negara ini, pemilik harus mendaftar nama syarikat mereka di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bermula tahun 2017, kerajaan telah mewajibkan setiap peniaga dalam talian untuk mendaftarkan dalam SSM. Selain dari itu, anda perlu sentiasa memperbaharui lesen syarikat anda di sini.

2. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Ini adalah bagi urusan pembayaran cukai syarikat anda. Kadar dikenakan berbeza dengan struktur syarikat itu sendiri. Bagi Enterprise, pemilik sendiri yang membayar cukai dan kadar cukainya tinggi. Peluang perancangan cukainya agak terhad. Keuntungan perniagaan akan dikenakan cukai secara peribadi terhadap pemilik.

Syarat peruntukan cukai juga kurang memuaskan. Manakala bagi Sdn. Bhd. Syarikat yang membayar cukai, bukan pemilik. Kadar cukai rendah dengan perancangan cukai dapat dilakukan dengan lebih baik sedangkan syarikat merupakan entiti yang berasingan. Pengarah dapat menjimat cukai sekurang-kurangnya 20% berbanding dengan cukai peribadi.

3. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KWSP adalah satu caruman dari gaji untuk tabungan pekerja anda. Sebagai pemilik, anda adalah majikan yang bertanggungjawab mendaftarkan pekerja anda. Pendaftaran KWSP (Majikan) boleh dilakukan secara terus di mana-mana pejabat dan kios KWSP yang berdekatan. Untuk makluman majikan, Akta KWSP 1991 pada Seksyen 41(1) telah mewartakan bahawa majikan perlu mendaftar dengan KWSP dalam tempoh 7 hari dari hari pertama mengambil pekerja pertamanya. Oleh yang demikian, majikan dikehendaki mendaftar dengan KWSP mengikut cara yang telah ditetapkan oleh Lembaga KWSP.

4. PERKESO

Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Selain daripada itu, pertubuhan ini juga menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungan mereka. Ia merupakan satu kesalahan jika majikan tidak membuat potongan PERKESO untuk pekerja mereka.

Demikianlah pematuhan undang-undang secara asas yang perlu anda ikuti. Dinasihatkan untuk anda pergi ke organisasi tersebut dan mematuhi tatacara termaktub supaya tidak memberi masalah pada perniagaan anda di kemudian hari.

Artikel terbaru

Leave a Reply