Usahawan Jangan Abai Soal Pendaftaran Perniagaan

Pendaftaran Perniagaan
Pendaftaran Perniagaan

Usahawan-usahawan perlu membuat pendaftaran perniagaan tidak kira yang kecil sama ada berniaga online mahupun fizikal apatah lagi yang sudah besar operasinya.

Hal ini kerana ia telah termaktub dalam peraturan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Sehubungan itu, usahawan perlulah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Apatah lagi, dalam RichWorks sendiri melalui program latihan & bimbingan yang dijalankan, soal compliance atau pematuhan menjadi salah satu perkara penting yang ditekankan kepada bisnes-bisnes untuk mereka dapat berkembang lagi tanpa ada sebarang masalah di masa akan datang,

Apakah kebaikan mendaftar perniagaan?

Pertama sekali ia merupakan keperluan yang perlu dipatuhi oleh semua entiti perniagaan di negara ini bagi mengelakkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Selain itu, bisnes yang berdaftar lebih kelihatan kredibiliti dan peniaga yang boleh dipercayai. Anda boleh mempamerkan nombor pendaftaran perniagaan kepada orang ramai bagi menunjukkan bisnes yang dijalankan adalah benar dan sahih.

Bukan itu saja, ia juga akan memudahkan urusan perniagaan bersama pembekal dari dalam atau luar negara. Bukti bahawa bisnes itu wujud dengan urusan pembelian barangan dan keperluan lain menggunakan nama syarikat yang sah.

Anda juga boleh mula merekodkan duit keluar masuk dan dokumentasi yang lengkap. Hal ini akan memudahkan pelbagai urusan di masa depan, termasuklah pengistiharan cukai dan pembayaran zakat perniagaan.

Tahukah anda?

Tindakan boleh diambil atas kesalahan di bawah peruntukan akta pendaftaran perniagaan 1956 dan kaedah-kaedah pendaftaran perniagaan 1957?

  1. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan atau meneruskan perjalanan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
  2. Tidak mempamerkan perakuan pendaftaran apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda sebanyak RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.
  3. Sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini atau sebarang peraturan-peraturan di bawah Akta ini di mana tiada penalti disebut dengan nyata apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Platform Bagi Usahawan

Kini, usahawan lebih mudah untuk membuat pendaftaran perniagaan dan lesen yang mana sebuah portal sehenti telah dibangunkan iaitu MalaysiaBiz.

Portal yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan SME Corp. Malaysia itu susulan kerajaan menyedari kepentingan platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.

Portal MalaysiaBiz diintegrasikan dengan sistem dalam talian di 17 agensi, antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan beberapa lagi Badan Pendaftar Perniagaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Hanya melalui lima langkah mudah, pengguna boleh melaksanakan urusan secara end to end, bermula dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat bayaran.

Melalui enjin carian yang interaktif, pengguna boleh memilih jenis pendaftaran dan lesen perniagaan yang ingin dimohon melalui menu Add to MySelection. Urusan mengemukakan permohonan akan dilaksanakan melalui menu MyTray.

Seterusnya, pengguna boleh menyemak status permohonan di menu MyTracker. Semua permohonan yang telah diluluskan akan dipaparkan dalam menu MyBusiness (pendaftaran perniagaan) dan MyLicense (lesen perniagaan).

Pengguna juga boleh memperbaharui pendaftaran dan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh terus melalui menu MyBusiness dan MyLicense.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan portal MalaysiaBiz pada 7 Disember lalu, portal tersebut menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat.

Katanya, secara tidak langsung ia juga menyokong agenda kerajaan digital.

“Portal ini berfungsi sebagai one stop center dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisien.

“MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendukung agenda kerajaan digital. Insya-Allah,”

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tambah beliau lagi, tahun lalu, PKS menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus pada 2018 manakala sebanyak 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang tahun 2025 dan 50 peratus pada tahun 2030.

Justeru itu, kami berharap usahawan-usahawan dapat memastikan bahawa mereka mendaftarkan dan mendapatkan lesen perniagaan. Jangan mengabaikannya, kelak yang merana dan susahnya nanti anda sendiri.

Gunakan kemudahan disediakan ini yang memudahkan lagi usahawan membuat pendaftaran dan permohonan lesen berkenaan. Kini semuanya di hujung jari anda.

Artikel terbaru

Leave a Reply