Pakaian Yang Perlu Dipakai Ke Tempat Kerja Untuk Tampak Profesional

Pakaian Yang Perlu Dipakai Ke Tempat Kerja Untuk Tampak Profesional

Apabila sudah bekerja, pasti soal pakaian untuk ke tempat kerja sangat dititikberatkan dan menjadi satu perkara yang penting bagi setiap orang terutama sekali bagi kaum wanita. 

Dalam menentukan pakaian yang sesuai untuk bekerja, ia bermula dengan kod pakaian yang telah ditentukan oleh syarikat

Kod pakaian setiap syarikat berbeza-beza bergantung kepada industri dan budaya syarikat. 

Jika syarikat tempat anda bekerja sudah menetapkan pemakaian seragam, tak perlu lagi anda susah-susah nak memikirkan pakaian setiap hari. Bekerja sebagai mekanik, jangan pula anda pakai blazer di tempat kerja.

Persekitaran yang lebih santai biasanya menjamin anda untuk berpakaian lebih kasual, manakala persekitaran korporat memerlukan anda untuk berpakaian yang lebih profesional. 

Pakaian di tempat kerja mengikut ‘dress code’

Pakaian di tempat kerja boleh membezakan tahap formaliti. Berikut adalah 3 dress code dan contoh pakaian yang sesuai.

1. Kasual

Pakaian kasual sering digayakan oleh pekerja di dalam industri teknologi dan industri kreatif.

Walaupun bergaya lebih santai berbanding kategori kod pakaian yang lain, pakaian anda perlu dipastikan bersih dan kemas. 

Sejuk hati orang yang memandang terutama sekali mereka yang kerja berjumpa dengan pelanggan. Barulah pelanggan nak membeli dengan anda.

Contoh pakaian kasual adalah seperti  seluar jeans, skirt paras bawah lutut dengan fabrik kapas, seluar pendek bawah lutut, baju-T yang kemas dan tiada gambar-gambar yang jelik, kemeja polo berkolar, kasut sukan yang bersih dan juga sandal.

2. Separuh formal

Kod pakaian separuh formal lebih tampak profesional jika nak dibandingkan dengan pakaian kasual. 

Pakaian separuh formal membolehkan anda lebih mengekspresikan personaliti melalui warna dan aksesori. 

Pakaian separuh formal ini juga dianggap gabungan antara kedua-dua pakaian kasual dan formal. 

Sebagai contoh, anda tidak ada masalah untuk memakai jeans untuk kod pakaian kasual. Tetapi untuk kod pakaian separuh formal, anda masih dibenarkan untuk memakai jeans dalam rona gelap digayakan dengan kemeja formal atau blazer.

Contoh pakaian semi formal adalah seperti blaus, kemeja berkolar lengan panjang atau pendek, seluar khaki atau jeans gelap tanpa lubang, sweater ringkas dalam warna dan corak yang sederhana, t-shirt berkolar, jaket dan kasut flat, Oxfords atau loafer.

3. Formal

Jika anda seorang pemimpin atau bekerja dalam persekitaran kerja korporat, kebiasaanya anda perlu mematuhi kod pakaian formal. 

Industri yang biasa mengenakan kod pakaian formal seperti industri kewangan, perkhidmatan profesional, perundingan, kerajaan dan undang-undang.

Contoh pakaian formal adalah seperti sut dalam warna neutral seperti kelabu, hitam, coklat, atau biru tua, skirt bawah paras lutut, baju berbutang serta berkolar, kemeja dengan corak dan warna yang konservatif, stokin gelap dan kasut bertutup serta bertumit seperti Oxfords dan kasut tumit tinggi.

Apa yang perlu dipakai apabila tiada ‘dress code’?

Tempat kerja tiada kod pakaian? Pertimbangkan untuk pilih pakaian yang selesa tetapi masih mengekalkan profesional dalam berpakaian. 

Banyak syarikat tanpa kod pakaian menerima jika pekerja mengenakan pakaian kasual ke pejabat. 

Namun, untuk menampakan personaliti yang lebih profesional, pakaian separuh formal lebih sesuai untuk digayakan.

Elakkan pakai pakaian ini di tempat kerja

Adalah lebih baik untuk mengelakkan pakaian yang membuatkan anda kelihatan terlalu santai semasa di pejabat. Lebih-lebih lagi jika kerja anda berhadapan dengan pelanggan setiap hari. 

Elakkan memakai seluar jeans dengan rekaan yang keterlaluan, pakaian dengan corak yang jelik, pakaian yang mencolok mata, seluar pendek atau memakai selipar. 

Pakaian yang terlalu kasual tidak sesuai sama sekali untuk dipakai di tempat kerja melainkan anda bekerja seorang diri atau tempat kerja anda menetapkan anda berpakaian seperti itu.

Jika anda tidak pasti pakaian apa yang sesuai untuk anda gayakan di tempat kerja terutama sekali jika anda baru di situ, jangan lupa untuk berunding dengan HR. 

Mereka akan berikan kod pakaian yang sesuai untuk anda gayakan di syarikat tersebut. 

Setelah pasti apa yang boleh dan tidak, bolehlah anda penuhkan almari baju dengan pakaian yang mematuhi piawaian pemakaian syarikat tempat anda bekerja.

Artikel terbaru

Leave a Reply