3 Amalan Perniagaan Mengikut Syariat

3 Amalan Perniagaan Mengikut Syariat

Islam amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan kerana merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji.

Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sama ada sebelum mahupun setelah baginda dilantik menjadi rasul.

Berdasarkan catatan yang direkodkan di dalam kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad SAW mengikuti rombongan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib ke Syam bagi tujuan berniaga.

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membantu isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan.

Terdapat ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang melibatkan diri di dalam kegiatan perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan pelbagai lagi.

Berikut, tiga amalan perniagaan mengikut syariat, bahagia dunia akhirat:

1.       Tidak melalaikan

Peniaga khususnya perlu menyedari bahawa sesibuk mana sekalipun kita dengan aktiviti perniagaan, hakikatnya seruan Allah itu merupakan perkara utama yang mesti didahulukan.

Ini kerana setiap rezeki yang kita dapati daripada perniagaan adalah kurniaan Allah SWT.

Dalam hal ini, ahli-ahli perniagaan di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dijadikan contoh teladan yang baik di kalangan para peniaga yang ada pada hari ini.

Oleh itu janganlah kita mengabaikan kewajipan terhadap Allah SWT untuk menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat, terutama sekali untuk menghentikan aktiviti perniagaan ketika laungan azan solat fardhu dan Jumaat berkumandang.

Firman Allah dalam Surah an-Nur ayat 37: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar”.

2.       Bersifat jujur

Islam melarang dengan tegas sebarang bentuk aktiviti penipuan dalam perniagaan.

Antara bentuk penipuan adalah seperti mengurangkan timbangan, bercakap bohong mengenai nilai barangan, dan mengkhianati perjanjian dan lain-lain lagi.

Semua ini adalah antara perkara keji yang melanggar etika perniagaan dalam Islam.

Firman Allah SWT dalam surah As-Syu’ara’ ayat ke 181- 183; “Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang tepat timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi”.

3.       Amanah dan bertanggungjawab

Antara kewajipan dan tanggungjawab seorang peniaga ialah menyediakan barangan keperluan masyarakat dengan kadar nilaian harga yang berpatutan.

Islam melarang keras perbuatan segelintir peniaga yang sengaja menyembunyikan barangan keperluan dengan tujuan meningkatkan permintaan pengguna, seterusnya menaikkan harga jualan sehingga berlipat kali ganda.

Sebagai seorang yang beriman kita yakin bahawa perbuatan seperti ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hadis daripada Umar al-khattab R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Barangsiapa yang menyembunyikan makanan keatas kaum muslimin maka Allah akan menimpakan kepadanya penyakit kusta atau muflis”.

(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Islam sebagai agama yang sempurna telah menetapkan undang-undang dan peraturannya bertujuan menjamin kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Maka seharusnya melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan, umat Islam dapat hidup bersatu padu dan saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Artikel terbaru

Leave a Reply