Persaingan dalam perniagaan, kadang-kadang boleh menjadi suatu perkara yang menakutkan. Terutama sekali kepada mereka yang berada di dalam bidang yang pasarannya kecil. Potensi pembeli tidak ramai berbanding perniagaan dalam pasaran yang besar. Betul ke betul?
Suka atau tidak, persaingan pasti akan ada dalam mana-mana perniagaan sekalipun. Sangat luar biasa jika anda berniaga tetapi tidak ada persaingan. Walau bagaimanapun, ia adalah satu proses yang sihat.
Bayangkan jika bermain badminton, adakah kita akan buat yang terbaik jika tiada pihak lawan? Pasti kita akan duduk di dalam zon yang selesa sambil berusaha memukul bulu tangkis sendiri.
Sama macam perniagaan, jika tiada pesaing pasti kita akan selesa di mana sahaja tahap perniagaan sekarang. Sebab kita tahu tiada siapa yang akan bersaing dengan perniagaan kita. Malah pelanggan akan tetap membeli dari kita disebabkan tiada pilihan lain yang lebih baik.
Dengan persaingan yang sihat, akan membuatkan usahawan lebih kuat. Jangan takut, tapi terima persaingan dengan hati yang terbuka.
Usahawan yang jelas dengan apa yang dilakukan dan tak takut dengan persaingan akan lebih mudah untuk kecapi kejayaan dalam perniagaan berbanding mereka yang berniaga hanya sekadar nak cukup makan dan pakai setiap bulan.
Macam mana nak pastikan perniagaan boleh sustain walaupun dengan persaingan yang hebat? Dengan ilmu, semuanya tak mustahil. Bila ada ilmu, kita boleh selesaikan apa yang dah berlaku dan menjangkakan apa yang bakal berlaku. Jadi, boleh lah buat persediaan awal atau elakkannya daripada terjadi.
Persediaan awal itu sangat penting kerana ia juga adalah salah satu dari kunci kejayaan perniagaan.
Jadi, carilah ilmu perniagaan dari guru yang betul serta terbukti kejayaannya. Kalau berniaga syok sendiri, umpama membuka peluang kepada pesaing untuk mendahului anda. Bila tak berjaya, mulalah nak salahkan orang lain dan takdir. Jangan macam ni tau!
3 strategi menang dalam persaingan
1. Cari apa perbezaan anda dengan pesaing
Pembeli sukakan kelainan. Dengan mencari perbezaan atau keunikan dalam produk atau perkhidmatan anda, dapat membantu menonjol di pasaran. Ini boleh melibatkan ciri-ciri unik, inovasi produk atau pendekatan yang berbeza dalam memberikan perkhidmatan. Memahami keperluan pasaran dan menyediakan sesuatu yang tidak ditawarkan oleh pesaing dapat menjadi kelebihan kompetitif yang besar.
Bila perniagaan lain dari yang lain, kita seolah-olah tidak lagi bersaing kerana cara kita tak sama dengan mana-mana perniagaan yang ada. Mungkin dari segi marketing, komunikasi, produk yang lebih baik dan sebagainya.
Tapi jaga-jaga, pesaing sentiasa memerhati dan mungkin bakal tiru. Kalau anda buat perkara yang sama saja tanpa perubahan, dengan sedikit inovasi mereka dah boleh menang dalam bersaing.
2. Cepat, jangan berlengah!
Rasa macam dah laju, segala pemasaran atau teknologi baru dah buat. Tahu-tahu, pesaing dah buat dulu. Esok, pesaing lain pula buat. Masing-masing macam sedang dalam perlumbaan yang tak menggunakan litar. Apa tandanya? Anda kena lebih pantas lagi.
Pesaing sama macam anda, nak menang dalam game perniagaan. Mereka juga akan buat apa sahaja untuk pastikan pelanggan nampak perniagaan mereka dan bukannya anda. Usahawan yang lambat, akan gagal dalam persaingan. Lebih baik tambahkan kelajuan sewaktu pesaing di belakang daripada tunggu perniagaan anda yang berada di belakang.
Jika gagal, tak mengapa. Ambil masa untuk tambah baik strategi perniagaan dan buat pecutan semula. Yang penting jangan give up! Jangan buka peluang pesaing anggap anda lemah dan mudah untuk dikalahkan. Jika pesaing fikir begitu, tak mustahil pelanggan fikirkan perkara yang sama.
3. Bina branding untuk lebih dikenali
Branding bukan marketing dan branding juga bukan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Branding adalah proses dalam mencipta nama perniagaan atau produk untuk dikenali. Bila dengar je jenama atau nampak logo perniagaan anda, ramai orang yang kenal. Proses ini boleh berlaku melalui kempen marketing yang konsisten.
Bila dah dikenali, boleh lah nak letakkan harga yang setimpal dengan pasaran. Tak perlulah sampai terpaksa buang harga semata-mata nak pelanggan membeli. Pelanggan dah kenal dan ada kepercayaan, mereka pasti akan membeli dengan anda.
Contohnya jenama-jenama besar seperti Andalusia, Rizman Ruzaini, Sabella dan banyak lagi. Sebut je jenama-jenama ini, hampir satu Malaysia kenal. Orang tetap beli walaupun harga tak ‘marhaen’ kerana percaya dengan jenama mereka. Anda juga boleh jadi seperti mereka dengan teknik dan strategi yang betul.
Membina branding tak semestinya perlukan modal yang besar, apa yang penting adalah ilmu dan strategi pemasaran yang efektif.
Bagi memastikan kita sentiasa di depan dalam persaingan perniagaan, cubalah ketiga-tiga strategi yang telah dikongsikan tadi. Insya-Allah perniagaan anda akan berjaya. Ingat, kejayaan datang dengan usaha yang berterusan dan fleksibiliti dalam mengadaptasi perubahan. Saya doakan perniagaan anda terus berkembang pesat!