5 Wanita Hebat Yang Telah Bina Empayar Perniagaan Ikonik

5 Wanita Hebat Yang Telah Bina Empayar Perniagaan Ikonik

Kehebatan kaum wanita pada masa kini tidak boleh disangkal lagi. Ramai di antara mereka yang telah membuktikan bahawasanya kaum hawa ini boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi seperti kaum adam.

Daripada Estée Lauder yang melancarkan syarikat kosmetiknya pada 1940-an, kepada Ruth Fertel yang memiliki restoran stik terbaik iaitu Ruth’s Chris Steak House, usahawan wanita telah membuktikan mereka mampu melepasi cabaran ekonomi dan perniagaan untuk menjadi yang terbaik antara terbaik.

Mereka juga tidak pernah kenal erti mengalah, berikut merupakan senarai antara tokoh wanita yang berjaya dalam bisnes hingga menjadi terkenal di seluruh dunia.

1. Oprah Winfrey

Siapa tidak kenal dengan mogul media iaitu Oprah Winfrey? Terus membina empayar ikoniknya, Oprah merupakan seorang personaliti TV yang turut mengasaskan Oxygen Media iaitu sebuah stesen kabel.

Beliau terus mengacarakan rancangan bual bicaranya sehingga 2011 sebelum mencipta OWN: Oprah Winfrey Network, yang mana beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di situ.

Pada 2015, Winfrey membeli pegangan ekuiti dalam Weight Watchers International dan menjadi jurucakap program penurunan berat badan langganan yang popular. Nilai aset bersih Oprah ialah $2.6 bilion, menurut Forbes.

2. Beyoncé

Penyanyi, penulis lagu, pelakon dan usahawan ikonik ini bermula dalam industri seni sebagai ahli kumpulan Destiny’s Child sebelum menjadi artis solo wanita terlaris dan membina jenama globalnya tersendiri.

Beyoncé menandatangani perjanjian sokongan $50 juta dengan PepsiCo pada 2012. Melalui syarikatnya, Parkwood Entertainment, Beyoncé menghasilkan filem, muzik dan pakaian.

Pada 2019, dia menandatangani kontrak $60 juta dengan Netflix untuk menyediakan kandungan kepada perkhidmatan penstriman Netflix.

3. Tory Burch

Tory Burch telah melancarkan koleksi fesyen dan pakaian yang berpangkalan di Amerika pada 2004. Jenama itu kini memperoleh $1.5 bilion bagi  jualan setiap tahun.

Tersenarai sebagai wanita paling berkuasa di dunia menurut Forbes pada 2020, Tory juga dikenali sebagai seorang dermawan dan turut mempunyai Yayasan Tory Burch untuk membantu usahawan wanita.

4. Kiran Mazumdar-Shaw

Merupakan pengasas Biocon yang merupakan syarikat biopharma di India, beliau memulakannya dari bangsal yang disewa dan mengembangkannya menjadi firma biopharma tersenarai terbesar di India dari segi hasil.

Biocon, sebuah syarikat global yang ditubuhkan pada 2004 menjadi syarikat India kedua yang mencapai $1 bilion pada hari pertama dagangannya. Kiran merupakan wanita terkaya di India di atas usaha sendiri dengan nilai bersih sebanyak $4 bilion, menurut Forbes pada Februari 2022.

5. Zhang Xin

Zhang Xin ialah pengasas bersama SOHO China, sebuah firma pembangunan hartanah di China yang ditubuhkan pada 2007.  Dikenali sebagai ‘wanita yang membina Beijing’, beliau pernah menjadi pekerja kilang sebelum menamatkan pengajian dari Universiti Cambridge dengan ijazah sarjana dalam pembangunan ekonomi. 

Zhang bekerja untuk Goldman Sachs sebelum melancarkan syarikatnya. Menurut Forbes, sehingga awal tahun ini, jumlah kekayaan beliau bernilai $3 bilion.

Artikel terbaru

Leave a Reply