Moratorium, Apa Perlu Anda Tahu?

Pada 7 Julai lalu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), peminjam-peminjam sudah boleh membuat permohonan bagi mendapatkan moratorium selama 6 bulan.

Kelulusan akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan buat semua lapisan masyarakat tidak kira di bawah kategori T20, M40 dan B40. Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam berkenaan.

Bagaimanapun, apakah kesannya terhadap pinjaman itu nanti? Adakah hanya berlaku penangguhan tanpa ada sebarang caj dikenakan? Ini beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum membuat permohonan.

  1. Tempoh pinjaman akan dipanjangkan (bergantung kepada penawaran bank itu) bila anda mengambil moratorium selama 6 bulan ataupun mengurangkan bayaran bulanan sehingga 50%. Difahamkan ada bank yang mengenakan tambahan tempoh pembayaran lebih panjang berbanding 6 bulan penangguhan yang peminjam buat.
  2. Kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana interest akan terus diambil kira setiap bulan.
  3. Bank tidak mengenakan caj interest ke atas interest atau keuntungan atas keuntungan (interest/keuntungan terkompaun).
  4. Bank tidak mengenakan apa-apa interest/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan – 6 bulan itu.

Oleh itu, sebelum buat apa-apa keputusan anda perlulah baca terma ditetapkan bank masing-masing untuk pastikan anda faham apa yang akan dihadapi selepas moratorium nanti.

Jadi siapa yang sepatutnya mempertimbangkan untuk mengambil moratorium ini?

  1. Mereka tiada tabung kecemasan yang diperlukan sekurang-kurangnya 6 ke 12 bulan sebagai persediaan berdepan keadaan di luar jangka dan keadaan diperlukan.
  2. Jika kehilangan pekerjaan atau pekerjaan yang tidak stabil ketika ini dengan alami pengurangan gaji dan sebagainya.
  3. Aliran tunai perniagaan yang terkesan disebabkan dengan keadaan semasa.

Dalam pada itu, duit yang ada daripada moratorium dibuat jangan pula gunakan pada perkara-perkara tak diperlukan dan tak sepatutnya ketika ini. Contohnya beli perabot baru, berbelanja sakan dan lain-lain yang sebenarnya hanya kehendak bukannya keperluan.

Apatah lagi, jika ada yang hendak melabur duit dalam skim pelaburan yang kemungkinan tidak sahih dan menjanjikan keuntungan singkat dan berganda-ganda malah meragukan.

Jika anda merasa terdapat kesusahan ketika berbincang dengan bank masing-masing, atau bayaran ansuran selepas moratorium nanti meningkat tak munasabah, hubungi terus BNMTELELINK menerusi bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan.

Moga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan anda idea dan perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memohon moratorium ini.



1 Comment

Leave a Reply