Mentaliti jangka pendek vs jangka panjang

Mentaliti jangka pendek vs jangka panjang

ALHAMDULILLAH, saya ingin mulakan dengan rasa syukur masih dapat berpuasa apatah lagi kita sudah pun memasuki 10 malam terakhir Ramadan kali ini. Rasa sekejap saja, sebenarnya kita dah berpuasa selama 22 hari.

Pada masa sama, suka saya nak ulas tentang tambahan duit dalam ekonomi yang telah dan sedang diterima 5.3 juta pemohon daripada pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM40.1 bilion, belum termasuk bonus-bonus yang diumumkan kerajaan.

Saya boleh kata berdasarkan corak pembelian rakyat Malaysia, 99 peratus penerima sebenarnya sudah merancang mahu menggunakannya untuk apa terutama raya seperti beli pakaian raya dan persiapan balik beraya.

Perkara ini saya sudah maklum lebih awal kepada anak didik RichWorks dalam Titanium dan Spire agar mereka bersedia.

Cuma dengan siapa mereka berbelanja, bergantung kepada kemahiran pemasaran dibuat selama ini dan pangkalan data yang disentuh pastinya akan membantu.

Mentaliti usahawan

Perkara lebih utama yang perlu usahawan fikirkan adalah jangan berniaga dengan berharap orang dapat bonus, pengeluaran KWSP, bantuan atau subsidi.

Mereka sepatutnya berbalik kepada asas utama bisnes iaitu menyelesaikan masalah orang, dengan menyediakan produk atau perkhidmatan.

Jangan berniaga jangka pendek, sebaliknya perlu ada pelan jangka panjang yang mampan dan lestari.

Jangka pendek ini umpama hanya mengharapkan bisnes di bazar Ramadan, selepas itu hilang atau kembali seperti biasa.

Tak salah ambil peluang yang ada, ketika ada peluang rebut, namun bila duit-duit yang saya sebut di atas habis, bagaimana?

Mentaliti ramai peniaga gemar melihat jangka pendek, sebaiknya dalam gambaran besar adakah bisnes mereka boleh terus bertahan selepas keadaan menjadi normal

Bangsa usahawan perlu jadikan bisnes mereka dapat bertahan, atau sustainable dalam apa jua keadaan.

Melihat kitaran ekonomi dan sejarah, ada kemungkinan inflasi global bakal berlaku.

Petanda telah dapat kita lihat dengan peningkatan harga bahan mentah dan keperluan di seluruh dunia.

Sebab itu usahawan kena bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi ini dan tidak melihat kepada situasi secara jangka pendek semata-mata.

Usaha dan Tawakal

Dalam kita berusaha jalankan bisnes, jangan pula lupa berdoa kepada Yang Maha Esa.

Ketika ini saya berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah bersama keluarga dan nak kongsikan ibu kepada segala doa yang saya baca terutama ketika tawaf dan saie.

Doa ini disebut dalam ayat 201, Surah al-Baqarah bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

Saya kongsikan doa ini bila diingatkan dengan tiga kematian yang dekat dengan saya iaitu sepupu, kenalan baik dari Singapura dan seorang kakitangan RichWorks ketika Ramadan baru-baru ini.

Pemergian mereka dalam keadaan baik, meskipun hayat agak singkat saya lihat mereka banyak berikan manfaat kepada orang lain.

Bila kita buat sesuatu seperti bisnes atau kerja dengan niat baik untuk memberikan manfaat kepada orang lain, adakah kita akan lakukan dengan sebaiknya?

Artikel terbaru

Leave a Reply