Lahirkan Jutawan Seterusnya! 4 Idea Pupuk Minat Anak Berniaga

Lahirkan Jutawan Seterusnya! 4 Idea Pupuk Minat Anak Berniaga

Pupuk minat anak berniaga, bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Tak asing bagi kita dengan peribahasa yang membawa maksud mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang mengalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan.

Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Anda ada permata hati yang minat berniaga?

Jika ya, jom ikuti 4 idea pupuk minat berniaga dalam diri anak-anak.

1. Bermain jual beli guna wang olok-olok

Masih ingat kita pernah membuat syiling daripada kertas dengan menekap dan mewarna syiling sebenar?

Syiling olok-olok ini boleh ditampal pada kad atau kertas lebih tebal supaya mudah dipegang.

Anak-anak lebih seronok jika anda bersama-sama mereka melakukan aktiviti ini atau dalam bahasa mudahnya bermain ‘jual-jual’.

Jika mahu membelikan anak anda wang mainan pun tak jadi masalah, terpulang kepada kreativiti anda untuk memperkenalkan jenis wang kepada anak anda.

2. Sudut usahawan untuk anak berniaga

Di sekolah, guru-guru boleh adakan sudut usahawan.

Tak semestinya untuk pelajar kelas akaun, perniagaan atau ekonomi di sekolah menengah sahaja.

Mulakan dari sekolah tadika lebih baik.

Jika ada kotak yang besar seperti kotak mesin basuh, boleh digunakan semula untuk membuat sendiri kedai mini.

Galakkan anak-anak mencipta sendiri produk mereka. Contohnya botol bedak, botol minyak wangi dan bekas-bekas air yang dah habis sebagai barang jualan olok-olok.

3. Bantu ibu bapa berniaga

Jika anda merupakan bangsa usahawan, tindakan tepat melibatkan anak-anak dalam aktiviti perniagaan anda.

Anda boleh ajak anak-anak membantu aktiviti yang mudah berkaitan perniagaan. Contohnya, membantu membungkus dan mengira stok.

Aktiviti ini boleh dilakukan bersama-sama dengan bimbingan anda sebagai ibu bapa.

4. Menabung hasil jualan

Galakkan anak-anak menabung hasil jualan.

Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ibu bapa boleh membantu anak-anak mengasingkan wang tabungan dan wang modal pusingan mereka. Ajar mereka bagaimana untuk mengira keuntungan jualan.

Selain untuk belajar berniaga, menabung juga dapat mendidik anak-anak supaya berjimat cermat dan mempunyai simpanan untuk masa hadapan. Terbukti, banyak faedah apabila kita menabung.

Semoga kita lebih terbuka dalam memberikan peluang kerjaya kepada anak-anak. 

Tak salah untuk memupuk minat berniaga dan keusahawanan dalam diri anak-anak.

Mana tahu jika mereka mempunyai bakat yang besar dalam bidang keusahawanan dan bakal menjadi usahawan berjaya seterusnya.

Artikel terbaru

8 Comments

Leave a Reply