10 Panduan Berniaga Dalam Islam

Panduan Berniaga Dalam Islam

Berniaga adalah suatu kegiatan ekonomi yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya dengan aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh.

Rasulullah juga seorang peniaga dan telah menawan hati ramai orang dengan cara Baginda berniaga. Melalui perniagaan, kita boleh membantu lebih ramai orang di luar sana.

Dengan keuntungan perniagaan, kita boleh salurkannya untuk sedekah, wakaf, zakat dan juga membantu memberi peluang pekerjaan yang baik kepada orang lain. Berniaga juga sebenarnya satu cara untuk kita memperkenalkan Islam kepada orang lain.

Justeru itu, terdapat perkara boleh dan tak boleh dilakukan dalam perniagaan yang perlu diikuti terutama bagi umat Islam. Kita tidak boleh melakukan sesuka hati mengikut citarasa sendiri. Berikut kami kongsikan 10 panduan yang boleh diamalkan oleh bangsa usahawan di luar sana.

10 panduan berniaga dalam Islam untuk anda amalkan :

1. Akhlak mulia

Dalam mengendalikan perniagaan Baginda Rasulullah menunjukkan akhlak yang sangat mulia seperti jujur dalam memegang amanah yang diberikan.

Akhlak yang mulia, dengan pakaian yang kemas, tutur kata yang sopan merupakan cara anda membina jenama perniagaan. Juga cara untuk anda menyebarkan Islam melalui perniagaan.

2. Zakat

Jangan lupa berzakat. Keluarkanlah zakat sekiranya perniagaan telah mencapai haul dan nisab. Ini kerana, zakat dapat mensucikan harta kita daripada perkara-perkara haram dan syubhah.

Sekiranya tidak mampu, berilah sedekah atau bantulah golongan yang memerlukan seperti anak-anak fakir miskin atau golongan gelandangan. Harta yang kita miliki bukan milik kita, tapi milik Allah. Dia boleh menarik balik bila masa yang dimahukan.

3. Teknik menjual yang unik

Antara teknik menjual yang tidak bijak ialah dengan meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tapi teknik yang lebih bijak dan lebih digalakkan dalam Islam ialah untuk meletakkan harga pada satu paras dan meminta pembeli untuk tawarkan harga.

Kadang-kadang, bukan keuntungan yang datang sekali yang kita kejar, tapi hasil dari rundingan anda, mungkin pembeli tersebut suka dan akan datang lagi dan ajak orang lain pula untuk membeli dari anda juga.

4. Sentiasa senyum

Perbanyakan senyum. Pelanggan akan berpuas hati dan merasa tenang sekiranya anda selalu senyum. Tidak kiralah dalam keadaan penat, sedih atau marah, jangan sesekali anda tunjukkan masalah tersebut kepada pelanggan.

Layan mereka sebaik mungkin, kerana mereka adalah rezeki yang datang daripada Allah. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastinya keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah.

5. Bukan hanya untuk harta

Rasulullah SAW bekerja keras mencari kehidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan, tetapi untuk mengukuhkan potensi agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.

Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang kaya dan kurang berkemampuan.

6. Jujur dalam urus niaga

Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur.

Oleh itu, tidak hairanlah semasa Baginda menjalankan hasil dagangan Siti Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.

7. Menjual barangan yang elok

Sebagai seorang Islam, kita ditegah daripada mendekati perkara yang diharamkan oleh syariat Islam sendiri.

Dalam hal ini, kita disarankan supaya menghindari barang-barang yang diharamkan dan tidak elok seperti dadah, arak, barangan yang syubhah, barangan yang rosak, lama dan selainnya.

Ini kerana, ia merupakan suatu penganiayaan kepada pelanggan.

8. Jauhi riba

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya.

Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga berpandukan syariat Islam, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.

Orang yang makan hasil riba, akan dilaknat oleh Allah.

9. Tidak memonopoli barang

Memonopoli barangan keperluan merupakan amalan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan seperti gula, beras, minyak dan seumpamanya biasa dibuat para peniaga agar barang keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya, harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal.

Dengan itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

10. Jangan mengurangkan sukatan dan timbangan

Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam.

Artikel terbaru

Leave a Reply