Kenapa Perlu Bayar Zakat Perniagaan?

Zakat perniagaan

Dalam kita sibuk mengejar impian dan mengembangkan bisnes, jangan lupa untuk menunaikan kewajipan dengan menunaikan zakat perniagaan.

Zakat bermaksud kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila telah cukup syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11 dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Ibadat, hlm. 395)

Zakat mempunyai fungsi sebagai pembersih harta dan jiwa pemberinya. Ia merupakan rukun Islam yang keempat yang menjadi kewajipan malah telah disebutkan secara jelas di dalam Al-Quran.

Penetapan yang jelas ini membuktikan penghambaan diri kepada Allah SWT dengan menjalankan perintahnya serta dapat membersihkan dan menyucikan diri daripada dosa-dosa.

Zakat perniagaan yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan barangan atau perkhidmatan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Tidak kira anda berniaga secara online atau offline, zakat perniagaan perlu dilunaskan agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Namun, sayang jika usahawan ini masih lagi tidak mengetahui akan kewajipan ini ataupun seakan-akan tidak mempedulikannya.

Malahan ada segelintir peniaga lebih cenderung untuk menyalurkan sendiri zakat hasil perniagaan mereka kepada orang di sekitar mereka berbanding membayar di pusat zakat.

Namun tanpa disedari disinilah akan berlaku masalah apabila jumlah zakat yang dikeluarkan berkemungkinan besar tidak mencukupi dengan nilai zakat yang wajib ke atas mereka.

Selain itu, fatwa kebangsaan menjelaskan zakat tersebut hanya boleh diagihkan sendiri kepada keluarga atau kenalan dekat yang benar-benar susah hanya sebanyak 1/3 daripada jumlah zakat.

Manakala, 2/3 perlu dibayar di pusat zakat kerana agihan tersebut perlu diberikan kepada beberapa lagi golongan asnaf lain demi menjaga keadilan kepada mereka.

Islam adalah satu agama yang menitikberatkan amalan tolong menolong serta saling melengkapi dan melindungi antara satu sama lain. Ini dapat dibuktikan dengan adanya sistem perekonomian yang ditetapkan syarak kepada seluruh umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
(Surah al-Baqarah: 267)

Syarat Wajib Zakat Perniagaan :

  1. Muslim. Perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.

2. Sempurna Milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

3. Cukup Nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

4. Cukup Haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

5. Niat Berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

6. Barang Perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal. Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

Sehubungan itu, bangsa usahawan terutama yang beragama Islam hendaklah mengambil perhatian dalam soal zakat perniagaan ini.

Jangan terlupa bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhirat kelak yang kekal selama-lamanya. Gunakan apa yang diberikan dan dikurniakan rezeki oleh Allah SWT, berikan sebahagiannya kepada golongan asnad dan mereka yang memerlukan.

InsyaAllah, rezeki kita lebih diberkati dan akan ditambah lagi oleh Allah SWT.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply