Lawan Rasa Ngantuk, Keberkatan Menanti Buat Mereka Yang Bangun Di Pagi Hari

Bangun di awal pagi memang menjadi antara cabaran terbesar buat sesetengah daripada kita. Pergerakan terasa begitu sukar dan mata terasa seolah-olah dilekat dengan ‘gam gajah’.

Namun begitu, walau betapa sukar dugaannya kita sebagai hamba yang Maha Esa haruslah berusaha sebaik mungkin untuk melawan belenggu tersebut agar tidak terjerumus dalam perangkap si iblis.

Bukan saja-saja agama Islam menuntut kita untuk bangun awal di pagi hari. Selain memudahkan segala urusan kerja dan rutin harian, rahmat Allah SWT dan keberkatan pagi juga turun buat hambaNya yang berpagi-pagi.

Sebab itulah kita sering dengar orang kata: “Jangan tidur lepas Subuh, nanti rezeki tak masuk.”

Sememangnya ayat itu memang berkait rapat dengan keberkatan pada waktu pagi. Pastinya ramai yang tertanya-tanya mengapa waktu pagi begitu signifikan dalam Islam? Mengapa ia begitu istimewa?

Memetik penjelasan daripada pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa kepada Sinar Harian, sesiapa yang bangun awal pagi iaitu sebelum subuh, maka mereka akan mendapat keberkatan waktu tersebut.

Jelas beliau, perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Baginda berdoa: “Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Baginda SAW mendoakan setiap pekerjaan yang umat baginda lakukan pada pagi hari sama ada perniagaan, pertanian, penternakan, nelayan dan pekerjaan lain agar mendapat keberkatan.

“Apakah itu keberkatan? Ia bermaksud kebaikan yang melimpah ruah kepada seseorang. Antara kebaikan berkenaan adalah dari segi fizikal. Bila kita bangun pagi dan mandi, badan rasa segar,” katanya.

Ujarnya lagi, sebaik-baik waktu ialah pada waktu sahur sepertimana yang biasa kita lakukan ketika bulan Ramadan.

Mereka yang bangun awal pagi juga akan mendapat rahmat Allah SWT dalam bentuk peruntukan masa bersama Sang Pencipta yang sedia mendengar masalah hamba-hambaNya.

“Di dunia ini, hendak dapat waktu berjumpa dengan raja mahupun pemimpin bukan mudah. Namun, untuk kita ‘berjumpa’ ALLAH amat mudah asalkan kita bangun awal pagi iaitu sebelum Subuh yang dipanggil waktu sahur.

“Pada masa itu, mengadulah kepada Allah apa masalah dan hajat kita padaNya kerana Dia sedang ‘melayan’ kita pada waktu itu,” jelasnya.

Tambahnya lagi, secara logiknya orang yang bangun lambat pula akan mengejar masa dan sentiasa merasakan kekurangan waktu.

“Katakan kalau kita bekerja di Kuala Lumpur. Apabila bangun selepas Subuh, kemudian mandi, solat, gosok baju dan pergi kerja, kita akan stres dengan jalan yang sesak. Keberkatan pagi sudah tiada.

“Bila sudah lambat, minta kawan tolong ‘punch in’ di tempat kerja. Jadi, sudah hilang keberkatan kerana ada unsur penipuan dalam kerja kita. Sebab itu asasnya ialah bangun awal pagi kerana ia merupakan satu terapi dan memang dijanjikan keberkatan pada kita iaitu kebaikan pada umurnya,” ujarnya.

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Lawan Rasa Ngantuk, Keberkatan Menanti Buat Mereka Yang Bangun Di Pagi Hari” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️



One-on-one business check-up for free today

Sesi Eksklusif bersama Team RichWorks secara Percuma

2 Comments

Leave a Reply