Koleksi Edisi Terhad Blackpink X Starbucks Buatkan Peminat Jadi Tak Keruan!

Koleksi Edisi Terhad Blackpink X Starbucks Buatkan Peminat Jadi Tak Keruan!

Blackpink in your area!

Adakah anda peminat kumpulan k-pop terkemuka, Blackpink?

Jika ya, anda pasti mengetahui barangan edisi terhad kumpulan itu daripada Starbucks yang dikeluarkan baru-baru ini di cawangan Malaysia.

Adakah anda di kalangan orang ramai yang beratur berjam-jam sebelum Starbucks dibuka lagi untuk mendapatkan barangan tersebut?

Beratur untuk sesuatu yang menjadi tular di internet nampaknya menjadi trend terkini hari ini dan barangan Blackpink daripada Starbucks juga tidak terkecuali.

Sekumpulan peminat dan personal shopper dilihat beratur di luar Aeon Mall di Shah Alam walaupun pusat membeli-belah itu belum dibuka lagi.

Apabila pengawal keselamatan di situ membuka bidai, kelihatan kumpulan orang ramai itu berlari pecut ke arah Starbucks untuk menjadi yang pertama dalam barisan bagi mendapatkannya.

Ia pastinya merupakan hari yang sibuk untuk barista yang memulakan hari mereka dengan melayani pelanggan yang kebanyakannya berpusu-pusu masuk ke kedai untuk mendapatkan barangan edisi terhad ini seperti mana yang telah dijangkakan sebelum ini.

Kolaborasi yang dikenali sebagai Starbucks X Blackpink itu bukan hanya menyajikan minuman bermusim bahkan barangan edisi terhad seperti cawan, tumblr, mug, pemegang pasport dan juga apron yang menjadi rebutan ramai pada saat ini.

Pemasaran ini juga nampaknya berjalan pada waktu yang tepat di mana pada saat ini dunia sedang dilanda ‘demam Barbie’ yang turut mengangkat warna merah jambu sebagai warna temanya.

Harga koleksi istimewa Blackpink ini bermula daripada RM148 untuk Blackpink Doodle Cold Cup dan meningkat sehingga RM478 untuk Rhinestones Stainless Steel Cold Cup berkualiti tinggi.

Namun begitu, situasi ini turut mencetuskan perdebatan dan perbalahan di mana terdapat individu yang memborongnya dalam kuantiti yang banyak hingga membuatkan individu seterusnya tidak dapat membeli.

Individu tersebut (scalper) kemudiannya menjual di pasaran dengan lebih tinggi lagi dan tidak masuk akal hingga mencecah ribuan ringgit bagi seunit produk edisi terhad ini.

Perkara ini membuatkan ramai yang berang kerana memusnahkan impian mereka untuk memiliki koleksi produk daripada artis kegemaran mereka pada harga yang munasabah.

Hmmm, sebagai seorang usahawan, apa pendapat anda tentang perkara ini?

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply