Habib Jewels Dari Pitt Street Ke Bursa Malaysia

Habib Jewels Dari Pitt Street Ke Bursa Malaysia

Siapa ada kedai barang kemas kesukaan? Salah satu daripada kedai yang jadi kesukaan anda mungkin Habib Jewels.

Tahukah anda kisah di sebalik jenama Habib Jewels ini?

Di belakangnya adalah usaha dan titik peluh pengasasnya sendiri iaitu Datuk Haji Habib Mohamed Abdul Latif.

Datuk Habib merupakan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Habib, yang telah ditubuhkan pada tahun 1958 yang kemudiannya telah menjadi entiti tersenarai pada tahun 1998.

Pitt Street, Pulau Pinang

Habib Jewels pertama didirikan di Pitt Street, Pulau Pinang. Kemudian, berkembang menjadi dua bahagian dengan pembukaan cawangan di sebuah hotel di Burma Road. Bermula dari lokasi itu, Habib Jewels berjaya menguasai pasaran pelancongan.

Pembukaan cawangannya di Burma Road juga menarik ramai pembeli termasuk tentera Amerika yang datang untuk berehat dan beriadah semasa Perang Vietnam suatu ketika dulu.

Apabila perniagaan semakin menguntungkan, pada 1970-an beliau menambah dua lagi cawangan iaitu Siti Emas dan Puteri Emas, tetapi kedua-duanya kurang memberangsangkan, mungkin kerana nama tidak begitu komersial.

Pertama di BSKL

Sementara itu, cawangan pertama luar Pulau Pinang dibuka di Semua House, Kuala Lumpur pada 1986.

Perniagaan terus berkembang sehingga menjadi kedai perhiasan barang kemas pertama tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Bermula sebagai perniagaan keluarga yang diusahakan secara kecil-kecilan, berkembang kepada Habib Corporation Berhad yang menyediakan pelbagai pilihan barangan kemas untuk semua golongan usia.

Berkolaborasi Dengan Jenama Luar

Mencari kelainan dan mahu memenangi hati pelanggan, Habib Jewels berkolaborasi dengan pelbagai jenama antarabangsa seperti Hearts On Fire® dari Amerika Syarikat yang mempunyai potongan berlian yang sempurna di dunia.

Selain itu, Stephen Webster dari London, Pandora dari Denmark, Les Georgettes by Altesse dari Perancis, TOUS dari Sepanyol dan  Ice-Watch dari Belgium (pengedar tunggal jam tangan mewah mampu milik).

Datuk Habib meninggalkan Habib Jewels yang berdiri kukuh dengan nama jenama yang tidak boleh dilupakan.

Beliau juga membuktikan jika nak berjaya dalam perniagaan, kita perlu bijak merebut peluang. Semoga kita juga dapat mencontohi sikap sebegini.

Artikel terbaru

Leave a Reply