Kenapa Restoran Mamak Tak Mudah Gulung Tikar? 4 Faktor Boleh Usahawan Belajar

Kenapa Restoran Mamak Tak Mudah Gulung Tikar? 4 Faktor Boleh Usahawan Belajar

Nak tahu kenapa restoran mamak tak mudah tutup, lingkup atau gulung tikar? Jom lihat sejarah macam mana ia bermula di negara ini.

Menurut kajian, sebelum tahun 1786, telah ada kaum India Muslim yang membuat aktiviti perniagaan di Kuala Kedah. Pada kurun ke-18, Pulau Pinang telah mencatatkan rekod kemasukkan peniaga India Muslim yang ramai.

Mereka ini ialah keturunan yang membawa nama “Merican”, “Rawther” dan banyak lagi. Kebanyakan dari mereka terlibat dengan perniagaan rempah ratus, pakaian dan juga kedai makan.

Antara pendapat salah tentang bisnes mamak adalah ramai orang beranggapan mereka ini berasal dari keturunan usahawan dan bangsawan di India yang memang sudah ada perniagaan, tetapi ramai yang tidak tahu perniagaan nasi kandar contohnya, merupakan makanan yang dijual kepada buruh kasar berbangsa India yang bekerja di pelabuhan.

Anehnya, bisnes restoran kedai mamak kini tumbuh dengan pantas di setiap pelusuk negeri.  Antara hidangan utama yang pasti ada di setiap kedai mamak adalah seperti teh tarik, roti canai, rojak, nasi kandar dan ada juga hidangan melayu seperti nasi lemak dan hidangan panas seperti mi goreng mamak dan lain-lain.

Mamak! Roti Canai Satu! – Kenapa Bisnes Restoran Mamak Tak Mudah Gulung Tikar?

Sehinggakan ramai yang kata “restoran mamak, pantang bukak bisnes pasti akan laku…”

Tak dinafikan, restoran mamak adalah nadi kehidupan di setiap kawasan. Di mana ada restoran mamak, pasti ianya akan menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Sebelum ini, restoran mamak akan menjadi tempat perhimpunan keluarga, rakan pejabat, rakan kolej, sahabat, tempat mesyuarat, tempat gathering dan juga tempat pasangan ‘berdating’.

Tahan kebal, dan tak mudah gulung tikar – Itu antara kejayaan penting yang sinonim dengan bisnes Restoran Mamak.  Tak kira apa saja situasi ekonomi sekarang di Malaysia, restoran mamak akan bertahan dan jika tutup pun, kedai yang akan menggantikannya tak lain tak bukan adalah restoran mamak juga, mungkin nama saja yang berbeza!

Asal lalu je depan kedai mamak mesti ‘full-house’ tak kira pagi atau petang, siang atau malam. Pantang ada ‘corner lot’ jer mesti ada restoran mamak. Tak cukup ruang makan di dalam kedai, bila malam menjelma mereka akan keluar susun kerusi meja di tepi jalan pulak. Haa…nampak tak, laku tak laku restoran mamak ni?

Ada 4 perkara yang bisnes kedai makan lain boleh contohi dari Restoran Mamak yang menyebabkan mereka tahan lama dan tak mudah ‘gulung tikar’ ni.

4 Faktor Restoran Mamak Tak Mudah Gulung Tikar :

  1. Servis yang terbaik

Mereka selalu memberikan servis yang pantas dan terbaik. Mereka juga ada sistem pengurusan yang cekap dan berkesan. Jarang kita lihat meja di restoran mamak yang tak dibersihkan segera dengan pinggan kotor yang berlonggok dan tak dibersihkan. Betul betul?

Mereka juga sangat cepat mengambil pesanan pelanggan dan mereka akan berusaha untuk sekurang-kurangnya menghantar pesanan minuman terlebih dahulu.

Perasan tak kalau kita pergi kedai mamak, masuk saja ke kedai semua pekerjanya akan pandang dan dengan segera mereka cakap “bang duduk sini bang, abang sini ada meja…” Kebiasaannya, pekerja kedai mamak sangat faham dengan bahasa isyarat pelanggan. Contohnya, kita panggil “anne… (angkat tangan pusing jari telunjuk)” dia sudah tahu kita suruh kira.

Mereka juga sangat pandai menarik hati pelanggan dengan cara mereka menawarkan menu seperti yang mereka selalu guna “teh tarik ada, roti canai ada, nasi ayam ada, nasi lemak ada, semua ada, saya pun ada. Adik manis mau apa?”

  1. WiFi Yang Laju

Boleh kata semua restoran mamak menyediakan WiFi percuma dan laju. Ini menyebabkan lagi ramai pelanggan yang sanggup duduk lama-lama di kedai mereka, dan bila dah lepak berjam-jam lamanya, pasti mereka akan makanan dan minuman lebih dari sekali!

Restoran mamak tahu apa yang dapat menarik hati pelanggan dan apa yang dapat membuatkan mereka ‘melekat’ di restoran mereka untuk jangka waktu yang lama.  Dan, bila pelanggan duduk lama di restoran mereka, lagi mudah untuk mereka ‘pancing’ pelanggan untuk order lebih banyak minuman dan makanan.

  1. Konsep Stadium Terbuka

Restoran mamak pandai lihat peluang dan pandai ambil peluang. Mereka faham apa yang pelanggan nak. Di mana lagi orang ramai boleh dapat keseronokan untuk menonton bola sepak bersama kawan-kawan dan boleh sokong team masing-masing sambil menonton skrin besar dan boleh menjerit sekuat hati tanpa perlu ke stadium? Hanya di restoran mamak jer lah!

‘Lepak Mamak’ sambil tengok bola dah jadi seperti satu budaya moden untuk rakyat Malaysia. Kemampuan Restoran Mamak untuk jadikannya sebagai satu ‘budaya’ adalah sangat bagus untuk bisnes mereka.

  1. Menu Terbaik

Cakap pasal menu Restoran Mamak pula, boleh kata apa yang kita nak semua ada dari yang ringan sampailah ke makanan berat. Jadi pelanggan suka datang sebab mereka rasa tak jadi masalah untuk pilih makanan apa yang mereka nak, semua ada.

Restoran Mamak berjaya tukarkan masalah pelanggan sebagai satu peluang untuk mereka buat bisnes. Mereka gunakan konsep bantu selesaikan masalah pelanggan untuk tarik perhatian mereka. Persaingan yang sihat antara sesama mereka juga menjadikan mereka sentiasa cari jalan untuk berikan yang lebih baik.

Bisnes restoran kedai mamak yang bernilai RM8 billion ini juga adalah antara bisnes yang paling cepat perkembangannya di Malaysia. Jadi banyak perkara yang anda boleh pelajari dari mereka.

Perkara-perkara yang disebutkan di sinilah yang boleh anda jadikan panduan untuk terus membina perniagaan yang maju seperti mereka. Perkara ini juga penyebab restoran mereka susah nak ‘gulung tikar’.

Artikel terbaru

4 Comments

Leave a Reply