Jangan Sabotaj Diri Sendiri!

Jangan Sabotaj Diri Sendiri!

Memulakan tahun baharu dengan perasaan yang teruja adalah sesuatu yang ramai di antara kita mahukan.

Masing-masing pastinya turut bersemangat membuat azam baharu walaupun azam terdahulu mungkin belum terlaksana lagi. Apa salahnya, bukan?

Namun begitu, diharapnya semangat itu tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam saja seperti kebiasaannya.

Situasi ini sering terjadi di kalangan kita contohnya:-

– Cuba untuk menurunkan berat badan, tetapi anda akhirnya makan lebih banyak dan kurang bersenam

– Berazam untuk menulis buku, namun gangguan berterusan di media sosial sepanjang hari

– Ingin menjana pendapatan yang lebih, namun terperangkap dengan pekerjaan semasa

– Tidak mahu lagi bertangguh, tetapi tidak mengambil tindakan dan sebagainya

Bagi mengatasinya, kita memerlukan disiplin dalam diri. Dengan disiplin, anda boleh menjadi lebih konsisten, mengelakkan gangguan dan mengekalkan emosi anda daripada mengganggu keputusan kerjaya dan pelaburan anda.

Cakap senanglah tapi nak melakukannya memang payah, bukan? Terdapat dua perkara penting untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Pertama ialah tak perlu buat banyak-banyak, fokus pada satu perkara saja. Apabila anda fokus kepada suatu perkara, usaha dan tenaga anda akan lebih tertumpu dan hasilnya lebih memberangsangkan. Jadi, semangat dan motivasi anda tidak akan mudah hilang.

Adalah lebih penting untuk meninggalkan tabiat buruk yang mungkin anda miliki contohnya mengkritik diri sendiri. Hmm, pernah tak anda melakukannya?

Terdapat perbezaan antara memanjakan diri sendiri dan menjadi terlalu tegas. Di samping itu, ramai juga individu yang membesar dengan percaya bahawa mereka tidak boleh manjakan diri sendiri untuk mencapai sesuatu.

Seperti yang dikatakan oleh pelabut Wall Street awal abad ke-20, Jesse Livermore:-

“Seorang lelaki mesti percaya pada dirinya sendiri dan pilihannya jika dia berharap untuk mendapat rezeki dalam permainannya.”

Kita semua memerlukan keyakinan diri yang tinggi jika ingin berjaya. Berkata perkara negatif terhadap diri sendiri adalah sangat tidak produktif.

Mengkritik diri sendiri untuk hasil yang anda tidak dapat kawal adalah satu pembaziran tenaga. Sebaliknya, fokuslah untuk melakukan yang terbaik dalam proses mencapai matlamat anda.

Nak turunkan berat badan? Mulakan berjalan atau berlari setiap hari. Anda juga boleh cari rutin senaman yang sesuai untuk diikuti setiap hari.

Berikan komitmen dan jangan cuba tinggalkannya. Jika anda terpaksa ‘skip’ disebabkan perkara tertentu, teruskan lagi pada hari berikutnya.

Ingin menulis buku? Tulis satu halaman hari ini. Kemudian sambung pada keesokan hari dan seterusnya.

Mahu menukar kerjaya? Selidik kemahiran yang mampu menjana pendapatan dan cari masa setiap hari untuk memantapkan kemahiran tersebut.

Apabila anda sudah bersedia, anda boleh menggunakan kemahiran tersebut dalam pekerjaan atau kerjaya baharu anda.

Ini semua tentang konsisten dengan proses serta melakukan yang terbaik setiap hari. Hasilnya pasti akan menyusul nanti.

Percayalah, usaha tidak akan mengkhianati hasil. Oleh itu, anda tidak perlu mengkritik diri sendiri kerana anda tahu bahawa anda telah melakukan semampu yang boleh.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply