Jangan Pandang Ringan Isu ‘Burnout’! Ini Cara Bagi Atasinya

Jangan Pandang Ringan Isu ‘Burnout’! Ini Cara Bagi Atasinya

Terma ‘burnout’ sering digunapakai akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres di tempat kerja.

Pada 11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan burnout sebagai satu fenomena pekerjaan dan bukannya satu keadaan kesihatan.

Secara asasnya, ‘burnout’ didefinisikan sebagai satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan secara fizikal mahupun secara psikologikal yang disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan profesional individu tersebut.

Antara lima simtom anda sedang  mengalami ‘burnout’ adalah :-

  • Runsing untuk pergi bekerja, dan ingin pulang sebaik sahaja anda berada di sana.
  • Mempunyai perasaan kekosongan apabila berada di tempat kerja
  • Mudah berasa jengkel dengan ahli pasukan atau pelanggan
  • Mempunyai pemikiran bahawa kerja anda tidak mempunyai makna atau membuat perubahan
  • Anda sedang berfikir untuk berhenti kerja atau menukar peranan

Jika anda mengalami salah satu daripada tanda-tanda tersebut, anda perlu melakukan sesuatu untuk mengatasinya dengan segera. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:-

1. Merehatkan diri dan bercuti daripada kerja.

2. Melakukan aktiviti relaksasi seperti meditasi, yoga, mendengar muzik atau apa jua aktiviti santai lain yang dapat membantu merehatkan minda serta mengisi masa anda daripada berfikir tentang kerja secara berterusan.

3. Cari hobi serta aktiviti luar yang disukai. Adakala, perkara mudah seperti keluar minum petang bersama rakan juga dapat membantu ada menghilangkan tekanan.

4. Mengamalkan pemakanan yang seimbang, senaman dan tidur yang cukup.

5. Belajar cara untuk mengurus tekanan dan mengurus masa dengan berkesan.

6. Kurangkan masa bersama gajet serta matikan telefon bimbit. Penggunaan telefon bimbit tanpa had menyebabkan tekanan yang berterusan kerana pada masa kini kita sentiasa boleh dihubungi sama ada ketika bercuti atau selepas waktu pejabat. Untuk mengatasi hal itu, anda perlu memberikan batasan dengan mematikan telefon bimbit di malam hari serta menyisihkan waktu tertentu untuk memeriksa dan membalas e-mel atau WhatsApp.

7. Buat perancangan serta jadual yang teratur. Ini membantu anda menggunakan masa secara optimum serta mengenal pasti kepentingan sesuatu tugasan. Atur tugasan mengikut kepentingan dan tarikh akhir serta pastikan anda gunakan waktu bekerja sepenuhnya. Pergi dan pulang dari kerja pada waktunya.

8. Kenal pasti punca masalah serta mengapa berlakunya ‘burnout’. Adakah ianya disebabkan faktor diri sendiri, rakan sekerja atau pekerjaan tersebut. Kenal pasti apa yang perlu diperbaiki dan adakah ianya di bawah kawalan sendiri.

9. Mengetahui batasan serta keupayaan diri.

10. Tingkatkan komunikasi antara rakan sekerja serta majikan.

11. Tetapkan matlamat diri serta kerjaya. Tahu apa yang ingin anda capai dalam kerjaya dapat menjadikan anda lebih fokus dan bersemangat.

12. Dapatkan khidmat nasihat profesional sekiranya gejala ‘burnout’ yang dialami menjejaskan fungsi kehidupan serta tidak lagi mampu ditangani dengan baik.

Ingatlah, walaupun kerja lebih masa menjanjikan habuan pangkat atau ganjaran kenaikan upah atau gaji, anda juga perlu memastikan kesihatan mental anda turut terjaga.

Cuba elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan sindrom burnout. Anda pasti boleh lakukannya.

Sumber: Astro Awani, Hello Doktor & UPM

Artikel terbaru

Leave a Reply