Ilham Daripada Penutup Cat! 3 Fakta Menarik Tentang Tupperware

tupperware

Baru-baru ini kita menyaksikan kemusnahan harta benda disebabkan bencana banjir.

Namun ada sesuatu yang mengagumkan apabila gambar bekas Tupperware yang penuh dengan keropok ikan tular di media sosial kerana dapat menyimpan makanan di dalamnya dalam keadaan baik dan masih rangup walaupun sudah lama berada dalam air banjir mengakibatkan bahagian luar kotor diselaputi lumpur.

Kisah itu secara tak langsung menyebabkan bekas ini dapat publisiti percuma oleh pengguna produk itu.

Suri rumah atau golongan ibu sering menganggap Tupperware adalah barang bernilai selain pinggan mangkuk yang tersedia cantik di dalam kabinet.

Mana tidaknya, produk isi rumah yang dibuat daripada  bekas plastik ini sering dijual dengan harga yang agak tinggi. 

Misalnya, botol minuman biasa mampu mencecah sehingga RM50 atau satu set bekas makanan mampu mencapai sehingga ratusan ringgit.

Namun begitu, produk ini tetap menjadi pilihan pengguna yang mementingkan kualiti.

Kali ini, kami nak kongsikan anda dengan 3 fakta menarik tentang Tupperware:

1. Ilham daripada penutup cat

Tupperware dicipta pada 1946 oleh Earl Tupper yang berasal dari Amerika Syarikat.

Tujuan ciptaanya untuk menyimpan makanan dengan fungsi kedap udara.

Salah satu keistimewaan produk ini adalah burping seal yang berfungsi untuk mencegah udara luar daripada memasuki ke dalam bekas makanan dan fungsi ini menjadikan produk mereka lain daripada yang lain.

Tupper yang bertanggungjawab mencipta bekas kedap udara dan air ini mengaku mengambil ilham daripada penutup cat.

Manakala plastik yang membentuk Tupperware adalah bioplastik, hasil campuran daripada sayur-sayuran dan buah-buahan diuji  selamat untuk alam sekitar dan makanan.

Inovasi ini  diaplikasi dalam reka bentuk bekas ini sebelum menjadi salah satu reka bentuk ikonik Tupperware.

2. Strategi pintu ke pintu

Penutup Tupperware dikenali dengan jolokan ‘burp seal’ disebabkan oleh bunyi yang dihasilkan seakan sendawa.

Namun, pengguna ketika itu tidak faham cara menggunakan produk tersebut ketikan itu sehingga seorang wanita bernama Brownie Wise bertemu dengan Tupper dan memberi cadangan kreatif untuk mengadakan Parti Tupperware.

Parti yang menerapkan strategi pintu ke pintu ini bertujuan menerangkan kepada bakal pengguna bagaimana cara yang betul menggunakan produk ini.

Hasilnya, melalui parti ini produk Tupperware diterima ramai dan dijual secara eksklusif.

Strategi penjualan seterusnya adalah meletakkan wanita di pusat jualan pintu ke pintu. Ini juga banyak membantu wanita zaman tersebut, terutamanya semasa Perang Dunia Ke-2 untuk memperoleh pendapatan sendiri.

3. Guinness Book of World Record

Bekas makanan ini merupakan pengeluar bekas makanan pertama meletakkan huruf Braille pada bahagian bawah produk mereka.

Pada tahun 1956, Tupperware dimasukkan dalam senarai penemuan terbaik Guinness Book of World Record abad ke-20, hasil inovasi penutup kedap udara dan kedap air.

Rakyat Malaysia diperkenalkan dengan Tupperware pada tahun 1964.

Produk yang berkualiti adalah produk pilihan pelanggan walau harganya sedikit tinggi berbanding produk lain.

Soalnya bukan murah atau mahal, tetapi adakah produk atau perkhidmatan yang diberikan dapat bantu menyelesaikan masalah/isu dihadapi pelanggan anda? 

Peniaga mestilah menghasilkan sesuatu produk dengan jujur dan ikhlas agar tidak mendatangkan keburukan kepada pengguna sebaliknya memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Artikel terbaru

Leave a Reply