Elakkan Perpecahan Berlaku Dalam Sebuah Syarikat

Syarikat atau perusahaan memiliki pelbagai fungsi yang penting bagi usahawan. Salah-satu fungsi utamanya adalah membantu usahawan dalam mengurus dan mengembangkan bisnes mereka dengan lebih efektif. 

Penting untuk usahawan menguruskan syarikat dengan baik dan berkembang mencapai matlamat yang diimpikan. Jika tak diurus dengan baik, perpecahan boleh berlaku sehingga menyebabkan kegagalan bisnes beroperasi.

Perpecahan ini boleh berlaku disebabkan oleh konflik dalaman, perbezaan pendapat dan tiada persefahaman antara satu sama lain. Sangat susah sebuah syarikat nak mendaki naik ke puncak jika tiada kerjasama daripada setiap ahli pasukan. 

Kesan daripada perpecahan ini hanya merugikan syarikat anda. Oleh itu, sangat penting untuk buat tindakan segera agar perpecahan tidak berlaku.

Faktor berlaku perpecahan dalam syarikat

1. Perbezaan misi dan visi

Konflik akan timbul apabila setiap orang dalam syarikat memiliki misi dan visi yang tak sehaluan kerana mereka berusaha untuk capai perkara yang berbeza, maka tiada kerjasama dalam pasukan. Ini membuatkan sangat susah untuk mencapai kata sepakat dalam membuat keputusan dan strategi.

2. Kepentingan peribadi

Semua orang ada sesuatu yang ingin dicapai dan sudah tentu ia berbeza-beza untuk setiap orang. Namun syarikat bukanlah tempat untuk mencapai kepentingan peribadi. Kepentingan anda perlu selari dengan yang lain. Sudah tentu anda boleh capai kepentingan peribadi, akan tetapi dahulukan kepentingan dan keperluan syarikat terlebih dulu.

3. Masalah komunikasi

Kurangnya komunikasi yang efektif antara pasukan bakal menyebabkan salah faham yang membawa kepada perpecahan. Hati manusia ini pelbagai, salah cakap pasti ada yang terguris. Jadi penting untuk berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.

4. Kepimpinan yang lemah

‘Bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Bagaimana sifat dan sikap seorang pemimpin begitulah terhasilnya team. Ahli dalam syarikat secara tak sengaja akan terikut apa yang ditunjukkan oleh pemimpin. 

Bukankah memang tugas seorang pemimpin itu memimpin pasukannya untuk capai matlamat yang sama? Jika seorang pemimpin gagal, maka pasukannya juga akan gagal. Apa terjadi kepada syarikat? Hanya ‘retak menanti belah.’

5. Tiada kepercayaan

Kepercayaan adalah antara pilar penting dalam setiap syarikat. Jika tak ada kepercayaan antara satu sama lain, hubungan kerja yang sihat sangat susah untuk dicapai dan menyukarkan untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam syarikat.

Bagaimana nak atasi perpecahan?

Disiplin

Sangat penting untuk berdisiplin kerana ia membantu bina asas yang kukuh bagi kejayaan dan pertumbuhan bisnes. Dengan adanya proses bisnes yang teratur dan berdisiplin, bisnes akan dapat mencapai hasil yang diingini dari semasa ke semasa. Tanpanya, arah tuju bisnes tak jelas dan menyebabkan peluang mencapai matlamat anda semakin nipis. 

Tetapkan matlamat yang jelas dan mudah diukur untuk bisnes anda. Pastikan team faham dan beri komitmen untuk mencapainya. Amalkan proses bisnes yang teratur dan berstruktur untuk tingkatkan produktiviti dan tetapkan tugas serta tanggungjawab pasukan anda dengan jelas supaya tidak mencetuskan kekeliruan dan salah faham.

Energi

Energi adalah kunci penting untuk bina bisnes berjaya. Tanpa energi yang cukup, sukar sesebuah organisasi nak capai matlamat. Energi yang tinggi membantu bisnes terus berkembang dan mampu bertahan dalam jangka waktu yang panjang. 

Dalam menghadapi cabaran dan perubahan, tanpa energi anda lebih cenderung untuk terkandas di tengah jalan. 

Penting untuk menjaga energi yang positif dan bersemangat dalam perjalan bisnes untuk capai kejayaan jangka panjang. Cipta persekitaran kerja yang seronok dan segar untuk menjaga semangat dan energi pasukan. Berikan ruang untuk mereka explore dan bereksperimentasi.

Komunikasi

Tanpa komunikasi yang baik, susah bisnes nak berjalan lancar kerana tidak mendapat kesepakatan di dalam membuat keputusan. Seorang leader yang baik perlu berkomunikasi dengan baik sehingga mampu menjadi inspirasi dan memberi motivasi kepada team. Dengan komunikasi yang baik, bisnes dapat berfungsi dengan lebih baik serta mencapai kejayaan jangka panjang.

Selalu berjumpa dengan team untuk membincangkan tentang perkembangan, cabaran dan penyelesaian dalam bisnes. Pastikan saluran komunikasi terbuka antara semua team dan pihak pengurusan. 

Beri perhatian kepada maklum balas dan pendapat dari semua pihak. Fokuskan kepada komunikasi yang jujur dan telus untuk menangani masalah yang timbul dan elak perpecahan yang lebih besar.

Cipta persekitaran yang positif

Dengan memperbaiki disiplin, energi dan komunikasi dalam sebuah organisasi dapat mencipta persekitaran yang positif dan produktif dalam bisnes serta dapat mengatasi perpecahan yang mungkin berlaku. 

Selalu ingat bahawa perubahan memerlukan masa, kesabaran dan tekad untuk berjaya tetapi dengan komitmen dan usaha dapat memperbaiki dinamik dalam pasukan untuk capai kejayaan bersama.



2 Comments

Leave a Reply