Elak Jadi Mangsa ‘Scam’ Dengan Formula T.I.P.U.

Elak Jadi Mangsa ‘Scam’ Dengan Formula T.I.P.U.

SETIAP individu perlu mempunyai tanggungjawab untuk mempersiapkan diri dengan kewangan yang kukuh ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Senario ini membawa kepada ramai memilih jalan singkat untuk memulakan pelaburan tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, pelabur perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan dan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan.

Justeru, pelabur dinasihatkan tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik dan mengingati formula T.I.P.U, yang mana ‘T’ merujuk kepada tidak akan rugi; ‘I’ – indah khabar dari rupa; ‘P’ – peluang hanya sekali dan ‘U’ merujuk kepada untung besar.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), skim penipuan pelaburan lazimnya akan menjanjikan pulangan yang lumayan yang tidak masuk akal dalam masa yang singkat tanpa sebarang risiko.

Namun, jelasnya, ia hanyalah indah khabar dari rupa kerana peluang pelaburan dan keuntungan yang kononnya akan diperoleh itu sebenarnya tidak wujud.

Oleh itu, SC mengingatkan agar orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terhadap peluang pelaburan seperti itu terutamanya yang ditawarkan melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Telegram.

Antara ayat-ayat manis ‘scammer’ ialah:-

  • ‘Dengan pelaburan RM300, anda boleh peroleh keuntungan RM3,000 dalam masa enam jam saja’
  • ‘Pelaburan kami tidak ada risiko… janji income ‘masyuk’ 
  • ‘Anda adalah pelanggan bertuah yang menerima tawaran kami ini…bayar sekarang untuk menikmati peluang sekali seumur hidup. Dan jangan risau, pelaburan kami patuh Syariah’

Antara taktik digunakan ialah pelabur sering diarahkan untuk memindahkan wang atau ‘deposit’ ke dalam akaun bank peribadi seseorang yang mendakwa mewakili entiti yang sah atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.

Bagi mendapatkan kepercayaan dan meyakinkan mangsa untuk tidak curiga, ‘scammer’ akan mendakwa bahawa entiti mereka dan skim pelaburan berkenaan telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

Mereka juga akan menggunakan lesen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti SC atau Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengaburi mata mangsa.

SC adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Pengawal selia pasaran modal mengingatkan orang ramai, walau apa pun produk pelaburan yang mereka pilih, amat penting untuk melabur melalui syarikat yang dilesenkan atau berdaftar dengan SC.

Proses pelesenan memastikan bahawa syarikat atau individu mematuhi peraturan dan garis panduan untuk mengendalikan aktiviti pelaburan dalam pasaran modal.

Jika ragu-ragu mengenai skim pelaburan yang ditawarkan, orang ramai atau pelabur boleh membuat pertanyaan dan laporan terus kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.

Sumber: Harian Metro

Artikel terbaru

Leave a Reply