Bijak Bergaya Ke Pejabat, 5 Tip Tampil Yakin

Bijak Bergaya Ke Pejabat, 5 Tips Tampil Yakin

Hari ini rasa bersemangat nak ke tempat kerja sebab pakaian dipakai rasa selesa dan cantik. Nak jumpa pelanggan, nak buat pembentangan rasa yakin sahaja.

Begitu besar sekali pengaruh pakaian terhadap mood kita hari itu.

Tetapi, kesilapan memilih gaya atau imej ke pejabat, bukan saja boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada diri, malah turut menggamit pandangan sinis rakan sekerja. Ia satu yang amat memalukan.

Bagaimanapun, jika terlalu ringkas, apatah lagi selekeh, ia tidak mencerminkan penampilan yang baik bagi seorang pekerja. Realitinya, tidak dinafikan imej positif memberi keyakinan dan semangat untuk anda bekerja dengan lebih baik.

Ingatlah, gaya juga melambangkan personaliti anda. Apa kata, ikuti beberapa panduan disarankan ini supaya kekurangan dan ilmu dalam berpakaian ketika berada di pejabat dapat ditambah.

Selepas ini mungkin anda meraih perhatian ramai rakan sekerja kerana lebih bijak bergaya ke pejabat.

1. Warna minimum

Cukup hanya menggunakan dua rona ketika berada di pejabat. Warna minimum dan tidak berlebihan, pilihan paling tepat bagi wanita berkerjaya untuk memilih pakaian ke pejabat. Warna yang paling maksimum adalah tiga warna. Jika anda memakai pakaian melebihi tiga warna, kesannya adalah kurang sesuai.

2. Rona sesuai

Warna sesuai adalah coklat, krim, biru, merah jambu muda atau hitam. Pastikan juga pakaian anda tidak terlalu sarat dengan corak dan motif. Motif kosong menampilkan anda dengan imej lebih profesional. Ia juga memudahkan anda menyuai padan pakaian

3. Pelbagai gaya

 Tidak semestinya berada di pejabat anda perlu memakai kemeja, skirt dan blaus saja. Baju kurung antara pilihan terbaik kerana bukan saja sopan, tetapi selesa. Walaupun begitu, elakkan memakai warna terlalu terang dan tidak perlu memakai baju dengan rekaan labuci dan manik terlalu sarat. Jenis ini hanya sesuai digayakan ketika pergi kenduri atau majlis makan malam.

 4. Elak kain berkilat

 Anda perlu faham dan bezakan jenis kain yang sesuai digayakan di pejabat. Elak memakai kain berkilau atau terlalu melekat pada badan seperti satin dan sifon.

Lebih kemas dan sopan jika anda menggayakan baju fabrik kapas yang menyerap peluh dan selesa untuk anda ketika bekerja.

5. Gandingan aksesori

Ketahui fesyen itu bukan saja membabitkan pakaian, tetapi juga pemilihan aksesori. Jadi, kasut dan tas tangan anda juga memainkan peranan untuk menampilkan anda sebagai seorang pekerja di dalam pejabat, bukan seorang model atau ‘badut’.

Dah rasa yakin sekarang nak bergaya ke pejabat? Gaya hebat, hasil kerja pun hebat!

Artikel terbaru

Leave a Reply