“Anda Bukan Jutawan Sebenar Selagi Anda Tak Hasilkan Jutawan Baru”- Ini 6 Nasihat Hebat Daripada Master P

“Anda Bukan Jutawan Sebenar Selagi Anda Tak Hasilkan Jutawan Baru”- Ini 6 Nasihat Hebat Daripada Master P

Percy Robert Miller atau lebih dikenali sebagai Master P merupakan seorang usahawan, penerbit rakaman dan ahli perniagaan dari Amerika Syarikat. Beliau juga dikenali sebagai “Percy” atau “P.” Miller. Master P dikenali dengan jayanya dalam industri muzik hip-hop pada tahun 1990-an.

Master P memulakan kerjayanya dengan mewujudkan syarikat rakaman sendiri yang dikenali sebagai No Limit Records.

Syarikat ini membantu menaikkan nama beberapa artis hip-hop terkenal seperti Snoop Dogg, Mystikal dan C-Murder. No Limit Records mencapai kejayaan yang besar pada masa itu dan menjadi salah satu syarikat rakaman hip-hop yang paling berjaya dalam sejarah.

Selain daripada bidang muzik, Master P juga terlibat dalam pelbagai perniagaan lain seperti fesyen, sukan dan filem. Beliau terlibat dalam penajaan dan pengurusan atlet serta mempunyai beberapa rangkaian perniagaan yang berjaya.

Beliau juga dikenali sebagai salah seorang tokoh yang memberikan peluang kepada artis muda dan individu yang ingin berjaya dalam industri hiburan. Di samping itu, beliau turut menjadi contoh kejayaan dalam memanfaatkan peluang perniagaan dan membangunkan jenama sendiri.

Oleh itu, mari kita lihat enam nasihatnya yang boleh dijadikan panduan dalam hidup anda sebagai usahawan.

1. Mindset adalah segala-galanya

Master P bergantung pada pemikiran yang positif untuk mencari kejayaan dan meninggalkan zaman kemiskinan yang dialami sewaktu kanak-kanak. 

“Daripada menangis dan kecewa mengenainya, saya pergi dan melakukan sesuatu untuk mengatasinya.

“Semua orang perlu sedar bahawa anda mengawal mood anda sendiri. Tidak kira apa yang anda lalui, anda perlu kekal dalam perjalanan.

“Kita tidak akan menang sepanjang masa, tetapi kita akan menang dari setiap kesilapan dan setiap kegagalan. Setiap kehilangan akan menjadi pengajaran,” katanya.

Pemikiran anda ialah satu perkara dalam perjalanan keusahawanan anda yang akan mempunyai kawalan penuh. Imaginasi adalah percuma dan sikap positif akan mendorong anda untuk terus mencapai tahap yang lebih tinggi.

2. Kelilingi diri anda dengan orang yang positif

“Anda perlu berada di sekeliling orang yang sentiasa berkembang.

“Berapa ramai orang yang akan berada di sekeliling apabila ia menjadi sukar? Berapa ramai orang yang akan berhenti apabila mereka tidak menang? Berapa ramai orang berputus asa apabila mereka hampir tiba di sana? 

“Suara negatif boleh menghakis minda positif dengan cepat dan anda akan hadapinya dengan banyak sewaktu dalam perjalanan untuk mencapai kejayaan dalam bisnes.

“Penawar yang terbaik adalah dengan mendekatkan diri anda dengan individu yang berfikiran terbuka dan berorientasikan sasaran yang akan sentiasa berada di sana untuk membantu anda,” ujarnya.

3. Konsisten adalah kunci

Master P berkata konsistensi adalah satu tabiat penting untuk mana-mana usahawan yang bercita-cita tinggi. 

“Konsisten. Jangan pernah berputus asa. Teruskan bekerja keras dan teruskan perjalanan anda.

“Jangan lakukannya untuk wang. Anda perlu melakukannya kerana anda menyukainya. Anda perlu bersemangat tentang apa sahaja yang anda percayai dan visi yang diterajui,” jelasnya.

4. Berikan kembali kepada komuniti anda

Kejayaan datang dengan keupayaan untuk memberi kembali. Master P amat berbangga dengan penglibatannya dalam pelbagai organisasi bukan berasaskan keuntungan di seluruh negara yang menangani isu penting yang dapat memberi kesan kepada belia dalam komuniti yang kurang mendapat layanan termasuklah 2X Game Changers, di mana Master P berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah.

Apabila bercakap tentang bagaimana perniagaan dan sifat dermawan berjalan seiring, beliau berkata, perkara ini bukanlah tentang penjanaan wang. 

“Saya suka perjalanan ini. Tetapi, saya juga suka memberi kembali. Saya mengukur kejayaan apa yang anda berikan, bukan apa yang anda ada.

“Saya telah diberkati. Saya berterima kasih kepada Tuhan kerana memberkati saya dan memberi  peluang untuk saya memberi kembali. Jadilah seperti Muhammad Ali yang kembali dan jaga komuniti serta budaya sendiri,” tuturnya.

Pencapaian peribadi lebih bermakna apabila kita memberi kembali kepada komuniti yang menyokong kita. Cari sebab anda yang tersendiri dan jadikannya sebagai misi untuk memanfaatkannya.

5. Hargai perjalanan itu

Adakah Master P membayangkan akan melancarkan jenama bijirin sarapan pagi apabila beliau membuka syarikat rakaman? Mungkin tidak. Tetapi, beliau sentiasa menghargai setiap detik keusahawanan yang dilalui.

Sejak memulakan No Limit Records, beliau telah menjual segala-galanya daripada kemeja-T dan air botol kepada ais krim dan produk kesihatan holistik. Kasut sukan mewah dan agensi pelancongan juga tidak ketinggalan! 

Master P dapat mengembangkan pelaburan $10,000 menjadi ratusan juta dolar dalam tawaran sepanjang kerjayanya dalam pelbagai industri.

Menetapkan matlamat dan memutuskan ke mana anda mahu pergi adalah penting. Tetapi, anda juga perlu ada hati dan minda terbuka untuk mengubah haluan. 

“Usahawan akan gagal. Anda hanya perlu bangkit semula dan teruskan perjalanan. Hargailah perjalanan itu,” kongsinya.

6. Hasilkan individu hebat

“Tiada had untuk kejayaan saya. Saya hanya membantu mencipta ‘bos’ lain. Anda bukan jutawan sebenar sehingga anda mencipta jutawan lain,” luahnya.

Secara keseluruhannya, Master P merupakan individu yang serba boleh dengan pencapaian besar dalam bidang muzik dan perniagaan. Beliau telah meninggalkan impak yang besar dalam industri hiburan dan menjadi inspirasi bagi ramai individu yang ingin mengejar impian mereka.

Sumber: Nate Morris

Artikel terbaru

Leave a Reply