3 Amalan Menghidupkan Malam al-Qadar

3 Amalan Menghidupkan Malam al-Qadar

Memasuki hari-hari terakhir dalam bulan mulia, Ramadan.

Terasa begitu sekejap masa berlalu, tentunya dalam meniti kepergian bulan Ramadhan ini, 10 hari terakhir akan menjadi rebutan semua umat Muslim.

Lailatul Qadar, malam yang disebutkan dalam surah Al-Qadr, di mana ia lebih baik dari seribu bulan.

Sesungguhnya umat Islam diseru untuk melipat kali gandakan amalan kepada Allah SWT dan hikmah malam ini dirahsiakan supaya kita semua berusaha untuk ‘mencarinya’.

Apa yang perlu kita buat?

Niat – dari niatlah akan lahir kesungguhan dan membakar hati untuk bangkit bersungguh-sungguh untuk menggapainya.

Bertaubatlah dan bersihkan hati dari dosa dan jangan jadikan dosa-dosa penghalang untuk kita melihat kehebatan Lailatul Qadar ini, seperti sabda Rasulullah S.A.W:

“Dari Abu Hurairah R.A, dari Rasulullah S.A.W, beliau bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, ada titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (dari cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.””

(Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab Sunan-nya)

Bila akan berlakunya malam Lailatul Qadar?

Dalam isu ini, terdapat banyak Hadis dan juga pendapat dalam menentukan malam al-Qadar.

Walaupun begitu, Rasulullah S.A.W memberi beberapa isyarat kepada kita berkaitan malam al-Qadar ini.

Antaranya, Baginda S.A.W menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadan.

Amalan-amalan yang dilakukan untuk menghidupkan malam-malam Lailatul Qadar, antaranya:

1. Solat malam

Mendirikan solat tarawih dengan Iman dan mengharap pahala daripada Allah S.W.T.

Ditambah lagi dengan bacaan al-Qurannya dan di tingkatkan kualiti solatnya.

2. Memperbanyakkan doa

Berdoa dengan bersungguh-sungguh, yakin penuh harap bahawa Allah akan mengampuni dosa kita dan mengabulkan doa yang kita panjatkan.

“Wahai Rasulullah, Bagaimana menurutmu andai aku mendapatkan Lailatul Qadar? Doa apa saja yang harus aku baca?” tanya Aisyah

Rasulullah SAW bersabda, “Ucapkanlah, Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Mulia, dan Engkau menyukai ampunan. Maka ampunilah aku.” (HR Tirmidzi).

3. Amal soleh

Kita semua maklum bahawa, kemuliaan dan keagungan malam Lailatul qadar sehingga melebihi daripada 1,000 bulan. Setiap amalan yang kita lakukan akan diberi pahala 1,000 kali ganda.

Justeru, hendaklah kita melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian dan rasa malas.

Isikanlah malam tersebut dengan qiyamullail, memperbanyakkan bacaan al-Quran, basahi lisan dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah), berselawat buat Nabi S.A.W, memperbaiki kualiti solat (solat berjemaah di masjid), bersedekah dan memberi makan orang berbuka.

Pada masa sama, memohon maaf (kalau ada berbuat salah dengan keluarga atau sahabat-sahabat, mohon maaf kepada mereka sebelum malam lailatul Qadar), munajat dan doa, terutamanya doa mengharapkan keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Tiada nikmat yang lebih besar yang diharapkan oleh seseorang yang beriman, selain daripada nikmat keampunan Allah S.W.T dan nikmat berjaya meraih ganjaran syurga yang dijanjikan-Nya di akhirat kelak.

Oleh itu marilah kita berusaha pada 10 malam yang terakhir ini untuk beribadah dan melakukan amalan soleh sebanyak-banyaknya dengan bersungguh-sungguh dengan niat kerana Allah S.W.T.

Artikel terbaru

Leave a Reply