Al-Quran Dan Perniagaan, 8 Ciri Usahawan Islam Berjaya

Al-Quran Dan Perniagaan, 8 Ciri Usahawan Islam Berjaya

Kesempurnaan Islam bukan setakat merangkumi hal-hal keduniaan malah meliputi tatacara penghidupan yang baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah sejak azali lagi.

Al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber rujukan utama dan merupakan panduan terbaik dalam mendidik manusia menjalanai kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Islam juga menganjurkan umatnya agar tidak meletakkan kehidupan duniawi semata-mata.

Segala perlakuan manusia semasa di dunia ini akan dihitung dan dipersoalkan secara satu-persatu di akhirat kelak walaupun sebesar zarah sekalipun.

Bagaimanapun, Islam tidak menggalakkan umatnya untuk meninggalkan terus kehidupan dunia bagi mengejar kehidupan akhirat.

Allah sukakan manusia yang seimbang kedua-duanya dari segi rohani dan jasmani.

Allah telah mengurniakan sebahagian nikmat untuk kehidupan manusia di dunia ini.

Dalam pada itu, salah satu sumber rezeki adalah menjalankan perniagaan.

Usahawan merupakan penggerak utama dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara.

Tanpanya, negara kita akan mengalami kemunduran bukan sahaja dari segi ekonomi malah rakyatnya akan hidup dalam serba kekurangan walaupun kaya dengan sumber khazanah dan alam.

Ciri-ciri Usahawan Berjaya

 Di dalam al-Quran terdapat dua istilah yang dikemukakan oleh Allah yang kebanyakannya dimaksudkan oleh ahli tafsir ialah kejayaan.

Istilah pertama disebut dengan perkataaan falaha, aflaha. Terdapat hampir 40 kali Allah menyebut perkataan yang berasal daripada kata kerja tersebut dalam pelbagai bentuk dan firman.

Sementara istilah kedua pula, sebahagian daripada ahli-ahli tafsir memaksudkannya dengan kejayaan ialah perkataan yang berasal daripada kata kerja faza, fawzan.

Terdapat lebih kurang 29 kali perkataan tersebut dikemukakan oleh Allah di dalam al-Quran (Hamad Hj. Ghazali 1992).

 Menurut Mohd. Salleh Din et al. (2005), menyebut bahawa berdasarkan ayatayat alQuran, hadis dan sirah nabi terdapat banyak ciri-ciri orang berjaya dalam kehidupan terutamanya usahawan Islam.

Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Mempunyai keinginan dan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya

2. Mempunyai niat yang betul

3. Mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi di dalam bidang yang diceburi

4. Mempunyai kemahiran membuat keputusan

5. Mempunyai kemahiran berkomunikasi

6. Sentiasa menilai tindakan dan berwaspada

7. Bersyukur dengan kejayaan

8. Sentiasa menjaga kualiti

Bidang Keusahawanan yang Dilarang

Bidang ini merupakan semua jenis transaksi yang melibatkan unsur-unsur riba, ihtikar (sorok barang), gharar (penipuan) dan perjudian.

Islam membenarkan semua bentuk perniagaan selagi ia tidak mengandungi unsur riba dan gharar.

RIba adalah satu perkara yang amat keji oleh Islam.

Al-Quran menyifatkan riba sebagai satu dosa yang amat besar sama ada bagi orang yang membayar mahupun yang menerimanya.

Ia merupakan salah satu dosa yang berat sehingga Allah dan rasulNya akan memerangi mereka.

Terdapat bentuk penipuan yang dijelaskan di dalam al-Quran iaitu mengurangkan timbangan, tidak jujur serta memungkiri janji.

Kenyataan ini disokong oleh sunnah. Rasulullah SAW bersabda: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah berjalan dan bertemu dengan seorang penjual makanan, kemudian baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan itu. Ternyata baginda menemukan adanya penipuan.”

Keusahawan pekerjaan mulia

Al-Quran secara terang telah mengajak manusia untuk mencari pekerjaan di muka bumi ini khususnya menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan yang dianggap sebagai pekerjaan yang paling mulia dan merupakan warisan nabi terdahulu termasuklah Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, kedudukan dan keperluan perniagaan amat penting dalam kehidupan manusia.

Lebih-lebih lagi jika ditinjau dari sudut al-Quran dan al-sunnah yang meletakkannya di satu tahap yang paling tinggi sehingga menyamai ibadat solat dan haji yang membawa keuntungan bukan sahaja di dunia malah di akhirat asalkan berlunaskan Islam.

 Apabila manusia melibatkan diri dalam keusahawanan di atas muka bumi ini maka, harapan mereka supaya terselamat daripada kepapaan dan kemiskinan adalah sangat besar.

Marilah kita menjadikan alQuran sebagai rujukan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam menjalankan perniagaan.

Berkat dan selamat hidup, dunia dan akhirat.

Artikel terbaru

Leave a Reply