Semua orang mahu dilimpahkan rezeki. Rezeki yang melimpah ruah, rezeki yang mewah, rezeki yang tak putus-putus mengalir seperti air zam-zam.
Apakah sebenarnya makna rezeki?
Dalam tafsir al-Quran al-Sya’rawi, rezeki ialah apa yang memberi manfaat bagi kita.
Allah SWT sudah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
1. Rezeki yang terjamin
Sebagai manusia di muka bumi yang diberikan akal dan fikiran oleh Allah SWT, hendaklah memanfaatkan nikmat tersebut dalam mencari rezeki.
Ini kerana Allah SWT telah menjamin rezeki seseorang sejak mulai dari kandungan ibunya lagi. Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 6 maksudnya: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menetapkan rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
2. Rezeki asbab usaha individu
Sumber rezeki kedua adalah dari hasil usaha manusia.
Allah SWT tidak akan menutup rezeki bagi umatnya yang telah bersungguh-sungguh berusaha serta berdoa demi mendapatkan rezeki dari-Nya. Dan Allah akan memberikan yang setimpal dengan apa yang telah diusahakan. Firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 39 maksudnya: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.
Jika anda membaca kisah inspirasi anak didik Mentor Usahawan Jutawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman dan RichWorks, pelbagai usaha yang dilakukan mereka untuk berada di puncak kejayaan. Termasuk usaha menuntut ilmu.
3. Rezeki asbab bersyukur
Alhamdulillah. Sebanyak mana rezeki yang kita peroleh, hendaklah kita sentiasa mensyukurinya.
Ini kerana dengan banyak bersyukur, Allah akan menambahkan nikmat itu berkali ganda kepada kita.
Dijelaskan dalam firman Allah Surah Ibrahim ayat 7 maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur niscaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
4. Rezeki tidak terduga
Pernahkah kita mendapat sesuatu rezeki yang tak terduga dari seseorang, seperti hadiah, pakaian, makanan atau benda-benda lain?
Sudah tentu itu juga dinamakan rezeki. Tidak semesetinya wang ringgit semata-mata. Jika seseorang beriman dan bertakwa pada Allah SWT, maka hal yang tidak diduga ini akan mudah untuk diperoleh.
Firman Allah dalam Surah At-Talaaq ayat 2-3 maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”
5.Rezeki asbab istighfar
Selain dapat menghapuskan dosa, istighfar dan mengucapkan tahmid juga dapat mendatangkan rezeki melimpah ruah dan tidak disangka-sangka.
Firman Allah dalam Surah Nuh ayat 10-11 maksudnya: “Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyak harta.”
6. Rezeki asbab bernikah
Berkahwin juga termasuk salah satu sumber rezeki untuk seseorang.
Sehubungan itu, janganlah takut untuk berkahwin, kerana Allah telah berjanji dalam Surah An-Nur ayat 32 maksudnya: “Dan kawinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang saleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah karunia-Nya karena Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah karunia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Tetapi jangan lakukan perkara yang menghalang rezeki datang kepada anda seperti sering bergaduh, merungut rasa anak terbeban, mengeluh denga napa yang dimiliki serta lokek dengan pasangan dan anak-anak.
7. Rezeki asbab kerap bersedekah
Sedekah, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, ahli keluarga sendiri yang memerlukan.
Yakinlah bahawa limpahan rezeki akan datang melalui amalan bersedekah. Hal ini tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 245 maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”
Oleh sebab itu, janganlah takut untuk tidak dikurniakan rezeki, kerana rezeki akan datang dari pelbagai sumber yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Tak salah anda kaya, anda jutawan, hartawan. Kenapa? Daripada rezeki yang anda peroleh anda boleh bersedekah dan memberi manfaat kepada keluarga, agama, negara dan insan lain.
3 Comments
Alhamdulilah Syukur
Elmu yg diberi
Amin yrb
👍
Rezeki Allah swt amat luas. Disediakan untuk seluruh hambaNya untuk diraih dan dinikmati sepuas-puasnya dengan rasa penuh kesyukuran.
Bagi yang berusaha lebih, mereka akan dapat lebih dan perlu dikongsikan hasilnya itu untuk manfaat orang lain dengan cara bersedekah.
Alhamdulilah kerana berkongsi ilmu..ini pun rezeki,terima kasih