9 Power Sedekah

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud barangsiapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari usahanya yang halal, maka Allah akan menerima sedekahnya itu dengan tangan kanan-Nya, kerana sesungguhnya Allah hanya mahu menerima sedekah dari usaha yang halal, dan akan memberi tambahan kepada pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang terus menambah tabungnya yang sedikit, sampai menjadi gunung.”

(HR Bukhari dan Muslim)

——-

Antara sebab kenapa kita perlu berniaga ialah kerana dengan berniaga, dengan keuntungan yang kita dapat, dengan kekayaan masa yang kita ada, kita dapat buat lebih pilihan. Pilihan untuk berbelanja termasuk untuk bersedekah, berzakat, berwaqaf dan sebagainya.

Kami ingin kongsikan 9 Power of Sedekah untuk manfaat bersama. Sama-sama kita kongsikan ilmu bermanfaat ini untuk kebaikan bersama di hari Jumaat yang mulia ini, insyaAllah.

9 Power of Sedekah

1) UBAT SEGALA PENYAKIT

Sedekah merupakan ubat segala penyakit. Jika anda ada penyakit, tidak kiralah berbahaya atau biasa-biasa sahaja, bersedekahlah. Insya Allah, ada penawarnya.

Selain itu, sedekah boleh mengubat penyakit hati seperti dengki, sombong, kedekut, riak, dan bongkak dengan harta yang dimiliki.

2) MENAMBAH KEAKRABAN MANUSIA

Secara tidak langsung, sedekah dapat menjalin dan mengeratkan silaturrahim antara kita.

Ini kerana, kita dapat membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak-anak yatim, insan yang memerlukan seperti untuk pembedahan, rawatan penyakit dan sebagainya.

Dengan bantuan anda, mereka akan rasa lebih bersyukur dan berterima kasih.

3) MENAMBAH HARTA

Seperti kita sedia tahu, sedekah akan menambahkan harta kita, BUKAN makin berkurang. Jadikan bersedekah sebagai amalan hidup anda, tidak kiralah banyak atau sedikit asalkan anda mampu.

Allah tidak memandang pada nilai yang banyak atau sedikit, tapi keikhlasan hati anda.

4) MENANAMKAN PERASAAN BELAS KASIHAN 

Apa perasaan anda bila lihat seorang ibu meriba anaknya yang kecil meminta sedekah di tepi jalan?

Tentu sedih dan bersyukur kerana kita tidak dibesarkan dalam keadaan sebegitu. Itulah yang Allah cuba lihatkan pada kita, rasa bersyukur dan belas kasihan.

Hulurkan apa yang anda mampu untuk mereka, tidak kiralah wang ringgit atau makanan. Mungkin anda terfikir, betul ke mereka ni miskin, mungkin ada ejen yang letak mereka kat sini.

Jangan! Cuba ikhlaskan hati, itu urusan dia dan Allah. Kita jaga urusan kita.

5) HARTA LEBIH BERKAT

Pernah tak anda rasa, dengan gaji yang sedikit tetapi anda mampu hidup untuk sebulan dan ada lebihan lagi dari gaji anda?

Dengan untung yang mungkin kecil tapi anda boleh gunakannya untuk banyak perkara. Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan.

Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

6) MEMANJANGKAN UMUR

Dari Amru bin Auf R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”(Hadis Riwayat Bukhari)
——
Dari hadis berikut, dapat kita simpulkan dengan bersedekah Allah akan memanjangkan umur seseorang, jauhkan dari mati dalam keadaan mengaibkan dan menghapuskan sifat sombong, takbur dan riak.

7) MEMUDAHKAN URUSAN HIDUP

Bersedekah mampu menolak dan menjauhkan diri kita dari bala. Jika kita tiada harta, doalah semoga kehidupan mereka akan jadi lebih baik kerana doa juga merupakan sedekah.Dengan bersedekah yang ikhlas, Insya Allah akan dilindungi dan dirahmati hidup kita sepanjang hari. Melalui sedekah juga, kita telah menunaikan peranan seorang hamba iaitu dengan memudahkan urusan orang lain, maka Allah membalasnya dengan memudahkan urusan kita.

8) MENGHAPUSKAN SIFAT SOMBONG

Sudah menjadi lumrah apabila harta kita sudah banyak dan makin kaya, akan datang satu ujian perasaan iaitu perasaan riak atau sombong. Perlu diingat, harta kita bukan milik kita tetapi pinjaman dari Allah semata. Dengan bersedekah, Allah akan menghapuskan sifat-sifat mazmumah (tidak elok) dalam diri kita.

9) MENAMBAH RASA SYUKUR 

Apabila kita bersedekah, akan timbul perasaan syukur dan nikmat dalam diri dengan rezeki yang diperolehi.

Jika kita tidak bersyukur, kita akan rasa rezeki tidak cukup walaupun dengan gaji yang besar. Sekiranya kita bersyukur dengan rezeki yang ada, hidup akan lebih bahagia dan aman. Untuk menambahkan rasa syukur, kita harus lihat pada orang yang lebih susah dari kita seperti peminta sedekah dan fakir miskin.

Artikel terbaru

9 Comments

Leave a Reply