7 Tips Mula Berani Berniaga

7 Tips Mula Berani Berniaga

Berniaga memang menjadi idaman semua. Tak kira besar atau kecil, anda pasti rasa seronok bila anda ada perniagaan sendiri, ada kedai atau pejabat sendiri, ada jenama sendiri. Best ‘kan?

Anda berani berniaga?

Ramai orang tahu berniaga boleh berikan lebih pendapatan. Kita pun dapat melihat ramai orang diluar sana hidup mereka semakin baik setelah mereka berniaga, terutamanya bila mereka ada ilmu yang betul dari mentor yang dah berjaya mendidik ramai usahawan.

Kami nak kongsikan 7 Tips Berani Berniaga untuk anda yang mahu memulakan perniagaan. Semoga tips ini dapat menjadi inspirasi untuk anda teruskan tindakan.

7 Tips Berani Berniaga untuk anda :

1. Tahu apa matlamat dengan jelas, mana hala tuju yang nak pergi

Kesilapan ramai peniaga baru ialah mereka salah pasang niat. Mereka berniaga kerana suka-suka. Setakat lepas duit dapur. Ini tak boleh!

Bila anda mula berniaga anda perlu ada matlamat yang sangat jelas, matlamat untuk dunia dan akhirat. Anda juga perlu tahu bagaimana cara nak capai matlamat anda. Apa tindakan yang anda nak buat sebulan, 3 bulan, 6 bulan, setahun dari sekarang.

Tanpa matlamat, anda akan mudah putus asa dan jadilah anda seorang yang asyik tukar bisnes setiap bulan!

2. Bila jumpa seorang MenThor, sedut ilmu dia dalam-dalam

Ini penting. Berniaga perlu ada MenThor. MenThor yang dah berjaya bina perniagaan. Silapnya kita bila berniaga hanya sebab ikut-ikut orang. Tak boleh ye!

Bila dah jumpa satu mentor yang sudi berkongsi ilmu dan sudi meluangkan masa untuk mengajar anda sebaik-baiknya, sedut ilmu mentor itu banyak-banyak. Dah habis, baru belajar dengan orang lain.

Baru faham dengan jelas apa ilmunya. Ada ramai orang suka lompat-lompat. Tak habis berguru dengan cikgu ‘ni, dah melompat berguru dengan cikgu lain. Akhirnya, tak faham apa-apa.

3. Tidak akan berlaku sesuatu pun tanpa izin Allah SWT

Dalam hidup, anda perlu sangat yakin dengan Allah SWT. Bila berniaga, anda perlu yakin setiap pelanggan yang berurusan dengan anda adalah kerana Allah yang menggerakkannya.

Anda pasti akan berhadapan dengan ujian dan setiap yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Jadi bersedia untuk bertindak sebaiknya.

4. Tingkatkan fokus

Kunci kejayaan dalam berniaga ialah fokus. Buat sampai habis. Buat sampai jadi.
Contoh, kalau jual produk kesihatan, fokus kepada 1 masalah atau penyakit sahaja. Pakar perubatan terkenal pun tak ada yang jual ubat yang boleh fokus kepada semua penyakit.

Ada peniaga yang suka lompat-lompat perniagaan kerana mereka tak fokus. Bila berhadapan dengan masalah dalam perniagaan yang sedang dibuat, mereka akan putus asa dan buat bisnes lain.

Jangan mudah diperalatkan dan diganggu dengan persekitaran. Bila rasa macam nak lari fokus, ingat kembali apa sebab anda nak berniaga.

5. Gunakan teknologi sebaiknya

Zaman sekarang teknologi sangat penting dan pantas. Kita dapat tengok berapa ramai peniaga yang jualannya menjadi hebat kerana pandai menggunakan teknologi yang ada.

Adalah rugi dan pelik kalau anda tak gunakan teknologi untuk kebaikan. Gunakanlah teknologi untuk bina perniagaan yang lebih besar dan lebih berjaya. Teknologi juga boleh membawa keburukan, jadi anda perlu kejar untuk manfaatnya sahaja.

6. Komited

Mula latih diri untuk komited. Komited untuk ubah diri anda menjadi yang lebih baik dari semalam. Komited untuk membaiki dan mengubah perkara-perkara yang membuatkan kita tak gembira.

Kita perlu buat perkara yang tidak pernah kita buat untuk dapat perkara yang tak pernah dapat. Berniaga perlu komited dan jangan hangat-hangat tahi ayam.

7. Berani bertindak dengan ilmu

Mesti berani bertindak tapi berani tanpa ilmu, hasil yang diperolehi tak banyak. Berani tanpa ilmu ibarat seperti anda pergi berperang tanpa senjata atau bawa keris pendek dan nak lawan dengan senjata moden.

Ubtuk buatkan anda berani berniaga, sediakan diri anda dengan ilmu perniagaan dan bertindak dengan berani dan penuh yakin bahawa semua usaha anda akan bawa kejayaan.

Artikel terbaru

Leave a Reply