5 Kehebatan Media Sosial Dalam Perniagaan Digital

5 Kehebatan Media Sosial Dalam Perniagaan Digital

Perniagaan digital yang pesat berkembang memerlukan media sosial sebagai platform utama yang berkesan.

Komunikasi dan penyebaran maklumat yang pantas serta teknik pemasaran yang lebih jimat amat diperlukan oleh usahawan digital.

Dengan adanya media sosial, jumlah perniagaan digital meningkat dengan mendadak selari dengan peningkatan pengguna laman sosial di Malaysia dan seluruh dunia.

Walau sebelum ini kami telah mengeluarkan pelbagai artikel mengenai kelebihan media sosial tetapi mungkin masih ada yang belum mencuba.

Jom kita baca 5 kehebatan media sosial dalam perniagaan digital sumber dari Journal terbitan Universiti Teknologi MARA (UiTM), ASPIRASI FPP.

1.   Berbaloi

Penggunaan media sosial di kalangan usahawan memerlukan kos yang minimal dan adakalanya tiada kos yang dilaburkan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan di platform digital.

Ini kerana terdapat aplikasi-aplikasi percuma yang boleh digunakan oleh para usahawan seperti Facebook, Instagram, Youtube, Twitter dan pelbagai lagi yang mampu memperlihatkan produk kepada pelayar digital.

Platform ini mampu mengatasi keupayaan media tradisional seperti televisyen, radio, surat khabar dan majalah yang pastinya memerlukan belanja yang besar.

2.   Liputan merentas dunia

Media sosial seperti Facebook dan Youtube menghubungkan manusia di seluruh dunia tanpa mengenal masa, usia, sempadan dan budaya.

Peluang besar ini memberi keistimewaan kepada pengusaha menarik perhatian masyarakat dunia untuk mengenali produk mereka asalkan tidak melanggar tatatertib dan undangundang tertentu.

Pulangan yang baik pasti diperolehi oleh usahawan yang komited dan agresif mengadaptasikan media sosial dalam perniagaan mereka.

3.   Keperluan asas

Usahawan tidak perlu bimbang dalam memula dan menggunakan media sosial sebagai percaturan mengembangkan empayar perniagaan.

Gajet seperti telefon pintar atau komputer, dan jaringan internet adalah keperluan asas kepada platform media sosial. Ini adalah kos yang kecil jika dibandingkan dengan pulangan yang berlipat kali ganda.

Di samping itu, menuntut ilmu dan praktikal berterusan tanpa jemu mampu meningkatkan kemahiran penggunaan aplikasi media sosial.

Bak kata pepatah Melayu ‘malu bertanya, sesat jalan’. Rajinkan diri mencari ilmu untuk memantapkan kemahiran penggunaan laman sosial dalam perniagaan.

4.   Perantara terhebat di zaman moden

Platform media sosial menyediakan peluang yang hebat untuk berinteraksi dengan pelanggan disamping menjalin hubungan perniagaan.

Usahawan boleh mendapatkan idea-idea, maklum balas, dan mengurus perkhidmatan pelanggan secara terus dalam laman sosial yang mana ianya lebih berkesan berbanding media tradisional. 

Facebook, Youtube, Twitter, TikTok dan sebagainya memberi ruang kepada pelayar dan pelanggan untuk berinteraksi dengan lebih cepat, mudah dan efektif dengan usahawan digital. 

Kecanggihan komunikasi media sosial dari segi perbualan dan rakaman video amatlah berguna bagi pengguna yang ingin melihat produk dan demonstrasi secara langsung.

Selain itu, promosi secara langsung dapat dimuat naik dengan mudah, cepat dan murah.

5.   Keuntungan berganda

Di zaman globalisasi dan serba moden ini, sesebuah perniagaan mampu untuk menjana jualan dalam sekelip mata.

Penggunaan internet yang meluas dan kuasa media sosial dalam perniagaan memberi peluang kepada usahawan menerima jumlah pelanggan yang mungkin tidak terjangkau oleh fikiran.

Ini kerana di laman-laman sosial terdapat lambakan iklan produk yang mampu menarik mata untuk melihat. Bak kata pepatah; segalanya di hujung jari.

Pelayar media sosial di seluruh dunia mempunyai 24 jam sehari untuk membeli produk yang diidamkan.

Impaknya, hasil jualan dan keuntungan peniaga adaptasi digital naik mendadak di kala peniaga lain masih lagi dibuai mimpi.

Kemampuan media sosial terhadap usahawan digital tidak dapat dinafikan lagi. Kejayaan dan keuntungan telah diraih oleh golongan ini berkat kesabaran dan komited mengadaptasikan media sosial dalam perusahaan mereka.

Gunakanlah dengan sebaiknya platform ini dalam mencipta nama di mata dunia sekaligus memajukan perniagaan masing-masing.

Bangsa usahawan perlu bijak dan kreatif dalam memastikan media sosial mereka menarik untuk dilawati dan memaparkan maklumat terkini tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply