5 Filem Menarik Tentang Bisnes Yang Usahawan Patut Tonton!

Selain membaca atau mendengar kisah-kisah orang yang telah berjaya, kita juga boleh menonton drama atau filem untuk mendapatkan inspirasi kejayaan dalam hidup.

Mungkin ada yang hanya akan menontonnya sebagai hiburan namun sebenarnya tidak kurang ramai juga yang terpengaruh dan mengubah gaya pemikiran mereka selepas habis menontonnya apatah lagi jika filem itu diinspirasikan daripada sebuah kisah benar.

Jika anda perlukan motivasi dalam bisnes untuk tidak berputus asa dalam dunia keusahawanan, ini 5 saranan filem yang boleh anda tonton sebagai inspirasi. Belajar sambil berhibur!

1. The Wolf of Wall Street

Filem komedi gelap ini mengisahkan tentang Jordan Belfort, broker terkenal Amerika yang telah memperoleh kekayaan luar biasa. Perkara itu bagaimanapun telah menarik perhatian FBI sehinggakan dia disabitkan dengan kes penipuan dan pengubahan wang haram.

Filem ini sentiasa mendahului senarai teratas dalam carta filem terbaik tentang perniagaan, kejayaan dan kewangan.

Ia mempunyai segala-galanya seperti kisah jatuh bangun, masalah jenayah, penipuan kewangan, gaya hidup mewah, dan cara paling luar biasa untuk melenyapkan wang.

Dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio, Margot Robbie dan ramai lagi bintang ternama, anda pasti tidak akan terpukau dengan jalan cerita yang hebat serta lakonan yang mantap daripada mereka.

2. The Billionaire

Jika anda rasa kerja keras seperti tidak membuahkan hasil hingga rasa hampir putus asa, filem ini akan menjadi pendorong yang pastinya dapat meningkatkan semangat anda.

Filem ini berdasarkan kisah  sebenar seorang remaja di Thailand yang menjalani laluan berliku sebelum mencapai kejayaan yang diimpikan dalam hidupnya.

Kesungguhan, kepintaran dan usaha Tom tidak dipandang oleh orang yang lebih berusia daripadanya malah mendesaknya menerima pendidikan seperti remaja lain.

Sekolah, universiti dan alam pekerjaan tidak menarik minat Tom kerana matlamatnya adalah perniagaan. Ketahui kisah selanjutnya bagaimana dia berjaya mendapatkan gelaran ‘billionaire’ menerusi filem ini.

3. Moneyball

Filem biopik sukan yang menampilkan Brad Pitt ini boleh menjadi pendorong kuat untuk ramai usahawan moden. Seperti tajuknya, plot filem ini berkenaan dengan perubahan asas dalam kehidupan dan perubahan peraturan permainan.

Begitu juga dalam dunia perniagaan, jika anda mengatasi ketakutan dan mempunyai sikap tidak peduli, anda boleh mencapai hasil yang cemerlang dan mencari penyelesaian yang berkesan untuk masalah itu dengan sumber yang minimum.

4. Jerry Maguire

Kejayaan sebenar adalah jauh di luar zon selesa anda. Untuk mencapainya, anda perlu keluar dari kebiasaan biasa, menentang provokasi dan serangan pengkritik, mengatasi kesukaran dan menanggung kegagalan.

Menampilkan Tom Cruise sebagai peranan utama, filem cereka ini semestinya dapat meyakinkan penonton bahawa adalah penting untuk percaya pada diri sendiri, mengenali sasaran dan mengabaikan halangan untuk mencapai kejayaan.

5. The Social Network

Filem yang mendedahkan sejarah penciptaan Facebook ini adalah seperti sebuah buku teks perniagaan yang akan mencuri perhatian ramai penonton.

The Social Network menerangkan psikologi di sebalik keusahawanan moden dan hubungan antara ahli perniagaan dan pelabur, rakan kongsi, pesaing dan pemiutang. Apakah matlamat anda sebagai seorang usahawan dan sebagai seorang individu? Mengapa anda begitu bersemangat untuk berjaya? Jawapan jujur kepada soalan-soalan ini boleh mengubah hidup anda secara mendadak.



Leave a Reply