4 Sebab Muzik Mempengaruhi Minda & Hidup Anda

4 Sebab Muzik Mempengaruhi Minda & Hidup Anda

Perasan atau tidak, muzik adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Bukan sahaja mendengar lagu-lagu di radio, di hospital, pasaraya, gim, malah di sekolah menggunakan muzik dengan alasan penggunaan yang tertentu. 

Jika anda pernah menghadiri program anjuran RichWorks, pasti anda perasan bagaimana RichWorks sendiri menggunakan lagu untuk menaikkan semangat serta tenaga peserta yang menyertai majlis ilmu tersebut. Tak adalah rasa mengantuk je sepanjang hari.

Ini kerana muzik mempunyai keupayaan untuk memberi impak kepada seseorang kerana ia mengaktifkan sistem otak yang memberi isyarat penting, berharga, perlu lakukan dan sebagainya. 

Muzik adalah satu alat yang membolehkan kita berfikir dan merasa dengan cara yang kita tak biasa lakukan. Ia juga mampu memberi inspirasi kepada pendengar.

Muzik mempengaruhi minda dan hidup

Muzik dalam perubatan

Pasti anda tahu bahawa muzik boleh membangkitkan tindak balas emosi tertentu kepada pendengarnya. 

Dengan muzik boleh membuatkan kita tertidur, dengan muzik boleh merehatkan minda kita selepas seharian bekerja dan dengan muzik juga boleh meningkatkan kemarahan bergantung kepada jenis muzik yang anda sedang dengari. 

Adakah anda tahu bahawa muzik sebenarnya boleh dikaitkan kepada manfaat fisiologi?

Menurut kajian oleh University of London, penyelidik memeriksa pesakit yang akan menjalani pembedahan dan memantau kesan muzik terhadap tahap tekanan mereka. 

Mereka mendapati bahawa mendengar muzik sebelum, semasa dan selepas prosedur dapat mengurangkan kesakitan, anxiety serta membuat pesakit lebih tenang.

Muzik dalam pendidikan kanak-kanak

Kanak-kanak lebih mudah untuk tertarik dengan sesuatu yang menghiburkan seperti muzik, permainan dan juga kartun. 

Sebab itu banyak lagu-lagu yang digubah khas untuk kanak-kanak dan disiarkan di televisyen dengan klip video yang ceria dan menghiburkan.

Dalam pendidikan juga banyak diselitkan dengan lagu-lagu agar memudahkan kanak-kanak untuk menghafal dan faham ilmu yang diterima. 

Muzik telah terbukti dapat membantu kanak-kanak untuk mengingati fakta asas kerana lagu yang memasuki sistem asas dalam otak kita sensitif kepada melodi dan rentak.

Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji bagaimana kanak-kanak dan remaja menangani isu emosi. 

Penyelidik mendapati bahawa, kanak-kanak berumur daripada 8 hingga 16 tahun yang menerima terapi muzik dapat meningkatkan keyakinan mereka dan mengurangkan kemurungan dengan ketara jika nak dibandingkan dengan mereka yang menjalani rawatan tanpa terapi muzik. 

Mereka juga mendapati terapi muzik dapat membantu remaja meningkatkan kemahiran komunikasi dan interaktif mereka.

Muzik dalam perkembangan bayi

Pernah tak anda nampak secara nyata atau di media sosial seorang ibu mengandung meletakkan headphone pada perutnya yang semakin membesar? Tahukah anda ada kebaikan disebaliknya? 

Ada kajian mendapati bahawa bayi yang baru lahir kelihatan bertindak balas terhadap bunyi semasa tempoh janin dan bertindak balas dengan jelas kepada mereka selepas kelahiran. 

Apa yang menarik tentang kajian ini adalah implikasi jangka panjang. 

Para penyelidik mendapati bahawa pendedahan kepada muzik boleh mempunyai kesan ketara pada otak yang sedang berkembang dan meningkatkan tindak balas saraf pada bunyi yang digunakan dalam latihan pranatal atau secara ringkasnya memainkan muzik kepada anak dalam kandungan akan meningkatkan prestasi kognitif di kemudian hari. 

Pengalaman muzik yang menarik dan interaktif boleh memberi impak yang besar kepada perkembangan tumbesaran bayi.

Muzik dan kehidupan seharian anda

Bagaimanakah muzik dapat membantu dan meningkatkan kehidupan seharian anda? 

Muzik bukan sahaja mampu untuk mempengaruhi mood atau emosi seseorang, ia sebenarnya boleh mempengaruhi cara anda melihat dunia dan berinteraksi dengan orang lain.

Kajian daripada Universiti Groningen mendapati bahawa orang akan lebih cenderung untuk mengenali aspek positif persekitaran sekeliling mereka apabila berada dalam mood yang positif. 

Dengan memainkan muzik yang gembira akan membuatkan anda berasa lebih baik dan anda akan mempunyai perspektif yang lebih baik.

Hasil Kajian dari Cornell pula mendapati apabila muzik yang ceria dimainkan, team di tempat kerja lebih gembira dan mudah untuk bekerjasama serta membawa kepada manfaat yang lebih besar. 

Manakala apabila muzik yang tidak menyenangkan dimainkan. Team lebih cenderung untuk membuat hal sendiri di tempat kerja.

Inilah kuasa muzik

Seperti yang anda lihat sekarang, muzik berupaya untuk meningkatkan mood kita. 

Malah, kajian juga menunjukkan ia boleh mengurangkan tekanan setiap hari, meningkatkan daya ingatan dan kreativiti, meningkatkan fungsi saluran darah dan memberi rangsangan tambahan kepada sistem imun anda.

Artikel terbaru

Leave a Reply