4 Kaedah Promosi Jualan Kepada Pengguna

4 kaedah promosi jualan kepada pengguna

Kehendak atau keperluan pelanggan menjadi salah satu faktor kepada peningkatan atau penurunan sesuatu jualan produk atau perkhidmatan.

Namun, pelanggan tidak akan membeli produk atau perkhidmatan tersebut sekiranya apa yang ditawarkan tidak menarik hati mereka.

DIMENSIKOOP berkongsi kaedah promosi jualan pengguna yang boleh digunakan dalam melariskan jualan dan memikat hati pelanggan.

1.       Kupon

Kupon ialah suatu sijil penjimatan yang diberikan kepada pelanggan. Selalunya kupon dicetak dalam surat khabar atau majalah-majalah tertentu.

Ia juga boleh dikepil atau diselitkan dalam bahan-bahan bacaan.

Malah kupon boleh diberikan terus kepada pelanggan yang memenuhi syarat tertentu. Ia bertujuan untuk memberi penjimatan dan merangsang pembelian yang berikutnya.

Walau bagaimanapun, kebiasaanya kupon akan mempunyai tarikh luput dan ia tidak boleh digunakan lagi setelah tamat tarikh luput.

Selaras dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi pada masa kini, kupon juga boleh didapati daripada internet melalui laman web sesebuah perniagaan itu dan juga boleh dihantar secara terus kepada pelanggan mereka melalui emel.

2.       Sampel

Sampel merupakan suatu pek percubaan dalam kuantiti yang sedikit yang diberikan kepada pelanggan.

Kebiasaannya pemasar melakukan ini bagi memberi kesedaran kepada pembeli tentang kewujudan produk baharu mereka di pasaran.

Tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang bayaran yang akan dikenakan bagi setiap sampel yang diberikan kepada pelanggan.

Secara tidak langsung, melalui cara ini pelanggan dapat didedahkan atau diperkenalkan dengan produk baharu.

3.       Kad kesetiaan

Kad kesetiaan telah digunakan secara meluas di dalam perniagaan. Lazimnya, sebelum pelanggan dapat menggunakan kad kesetiaan tersebut mereka perlulah terlebih dahulu mendaftar dengan organisasi atau sesebuah perniagaan itu.

Melalui kad kesetiaan ini, pelanggan akan menikmati keistimewaan seperti memperolehi mata ganjaran.

4.       Potongan harga

Potongan harga atau lebih dikenali dengan diskaun bermaksud harga sesuatu produk itu dikurangkan daripada harga asal.

Lazimnya ia dilakukan pada musim atau masa tertentu. Sebagai contoh, musim perayaan kebanyakan pemasar akan mengatur strategi dengan memberikan potongan harga kepada produk yang dikeluarkan.

Masa tersebut merupakan peluang keemasan untuk melariskan barangan berkenaan dan menarik lebih ramai pelanggan ke premis

Sungguhpun begitu, sekiranya pemasar kerap melakukan atau memberikan diskaun terhadap barang-barang yang dijual kebarangkalian untuk pelanggan jemu adalah tinggi.

Artikel terbaru

Leave a Reply